Rabu, 31 Ogos 2011

ROH ORANG MATI BOLEH BALIK KE DUNIA?

  
             
              
 بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ َالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

اللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِيْ قـُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا رَبَّنَاإنَّكَ رَءُوْفٌ رَحِيْمٌ

 أَمَّا بَعْـدُ 

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنْزَلَ رَبُّكُمْ قَالُوا خَيْرًا لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَلَدَارُ الآخِرَةِ خَيْرٌ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ
                                 Maksudnya : 
"Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertaqwa:'Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?' Mereka menjawab: '(Allah telah menurunkan) kebaikan'. Orang-orng yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa."   
   [Al-Quran  سورة النحل‎‎  surah An-Nahl : 30]

*****************
وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَى كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُمْ مَا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ وَمَا نَرَى مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ لَقَدْ تَقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنْكُمْ مَا كُنْتُمْ تَزْعُمُونَ
                                  Maksudnya : 
" Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya, dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu; dan Kami tiada melihat bersertamu pemberi syafa'at yang kamu anggap bahawa mereka itu sekutu-sekutu Tuhan di antara kamu. Sungguh telah terputuslah (pertalian) kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah)." 
   [Al-Quran سورة الأنعام surah Al-An'aam : 94]
*****************************************
وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ 
                                Maksudnya: 
"Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata : 'Mereka itu adalah pemberi syafa'at kepada kami di sisi Allah.' Katakanlah :'Apakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak ( pula ) di bumi?' Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan (itu)." 
    [ Al-Quran  سورة يونس‎‎ surah Yunus :18 ]                                                                                        *************************
Kepercayaan terhadap roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia untuk melakukan berbagai-bagai hal seperti membantu orang yang menghadapi kesusahan dalam pelbagai urusan duniawi atau menganggu manusia yang berbuat zalim terhadapnya hingga menyebabkan kematiannya  dan bermacam-macam kepercayaan lagi adalah satu fenomena biasa yang menjadi kepercayaan umum manusia di seluruh dunia. 
Upacara-upacara pemujaan terhadap apa yang dipercayai sebagai roh nenek moyang, roh orang-orang alim yang dikatakan sebagai 'Wali Allah' dan berbagai-bagai jenis roh lagi begitu lumrah dilakukan oleh berbagai golongan masyarakat. 

Perbuatan menyeru/memanggil roh-roh orang mati tertentu yang dilakukan oleh "Pawang", " Bomoh","Paranormal" dan berbagai-bagai gelaran lagi "orang perantraan" dalam satu upacara khas sempena sesuatu perayaan, mencari sesuatu barang yang hilang, mengubati orang sakit atau mengingati orang-orang yang sudah mati sebagai tanda kasih dan ingatan mereka terhadap si mati dan berbagai jenis kepercayaan lagi terhadap roh orang yang sudah mati adalah satu fenomena biasa yang lumrah dilakukan oleh manusia tanpa mengira kepercayaan agama, bangsa dan suku kaum.  
Bagi golongan manusia yang tidak mempercayai tentang wujudnya  roh pada setiap diri manusia beranggapan bahawa jasad manusia sama seperti haiwan. Golongan manusia yang berfahaman seperti ini mempercayai bahawa apabila seseorang itu mengalami kematian maka tamatlah selama-lamanya perihal kehiupannya di dunia sama seperti haiwan. Justeru persoalan ini tidak menjadi satu kemusykilan besar bagi mereka. Bagi golongan ini erti kehidupan manusia hanya bagi memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini sahaja. Persoalan hidup selepas mati hanya satu persepsi kepercayaan atau andaian sahaja tanpa sebarang bukti saintik yang logik, nyata dan boleh dijadikan pegangan. 

Kebanyakan manusia mempercayai memang roh itu wujud pada diri setiap orang manusia. Namun mereka mempunyai berbagai-bagai kepercayaan dan kefahaman tentang roh manusia dan perihal roh manusia apabila jasadnya mengalami kematian. Pemahaman mereka adalah berpandukan apa yang mereka lihat, alami melalui pemujaan dan ritual serta pengajaran  daripada orang yang dianggap mempunyai kuasa 'magis' kebatinan yang 'luar biasa'.

Masyarakat Islam juga tidak terkecuali daripada kepercayaan ini walaupun dalam bentuk yang mungkin berbeza daripada yang dilakukan oleh orang yang bukan beragama Islam.  Umpamanya dalam amalan beberapa golongan yang mendakwa daripada kumpulan tareqat sufi,  'roh si mati' yang dianggap atau dipercayai sebagai 'Roh Wali Allah' pengasas/khalifah/mursyid amalan sesuatu pergerakan tariqat terkenal yang menjadi ikutan ramai boleh dipanggil datang atau balik ke dunia menggunakan kalimah-kalimah berbentuk 'seruan tertentu' atau kaedah khusus yang dinamakan bertawassul, berwasitah  atau berrabitah. Seruan berbentuk spiritual bercirikan pemujaan ini mempunyai tujuan khusus seperti mengubati orang sakit, mencari harta karun, mencari barang hilang, membuat ramalan nasib dan apa jua tujuan duniawi yang dihajati oleh pengamal atau orang yang berhajat. 

Orang perantaran yang boleh memanggil datang roh-roh orang yang sudah mati tidak dinamakan sebagai "Pawang" atau "Bomoh"  tetapi diberi gelaran yang dianggap mulia berciri keislaman seperti; "Syeikh ", "Tok Guru" atau setidak-tidaknya "al-Ustaz"  bagi memberi imej bahawa dia adalah seorang "mursyid" dan "kasyafyang sangat arif dalam urusan berkaitan hukum-hakam agama Islam yang tidak perlu diragukan.  
Kemungkinan kaedah "rawatan dan tindakannya" bersamaan dengan "Pawang" dan "Bomoh" menyeru "roh orang yang sudah mati" atau makhluk "ghaib" tetapi dengan menggunakan kalimah-kalimah jampi serapah yang diselit atau disisipkan secara "rahsia/sirr"  dengan kalimah-kalimah berbahasa "Arab" atau dipersesuai dan dicampur-adukkan dengan ayat-ayat al-Quran atau kalimah-kalimah berbahasa Arab. Hakikat ini dapat dikesan dalam amalan kumpulan tareqat Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh kumpulan Al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Dalam buku amalan Aurad Muhammadiah ini dijelaskan :
" .......mereka yang mendapat ijazah dan mengamalkan Aurad ini mendapat satu faedah lagi yang besar,  iaitu apabila mereka di dalam kecemasan berilah salam kepada yang mempunyai Aurad ini dengan berkata, 'Assalamualaikum Ya Saidi Al Syeikh Muhammad Al-Suhaimi,( 3 kali satu nafas) dan kemudian nyatakanlah segala hajat dan akhir sekali katakanlah dengan izin Allah';  seperti kata kita ,   "Asslamualaikum Ya Saidi Al-Syeikh Muhammad Al-Suhaimi  (3 kali satu nafas ) , Saya mintalah supaya diubatkan orang sakit ini dengan izin Allah.... ."
Kaedah yang hampir sama juga terdapat dalam amalan wirid Tareqat Khojakan yang terkenal di Johor dengan melafazkan kata-kata berbentuk seruan:
"..menyeru Rijal-al-Ghaib, (yang dimaksudkannya ialah roh Syeikh Abdul Qadir Jailani)  iaitu Assalamualaikum Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Ahlal Waqati , Dasturi Ya Ahla Naubati , Dasturi Ya Saidi Al Syeikh 'Abdul Qadir al-Jailani Mahbubillah, Ghautillah, Aghithni (tolonglah aku) biiznillah (dengan izin Allah).
Bagi menolak tanggapan orang ramai bahawa 'syeikh-syeikh' tareqat yang diseru ini adalah jin syaitan, kumpulan-kumpulan ini menjelaskan dengan mengakatakan atau fahaman bahawa 'Wali Allah', 'Syeikh', 'Khalifah' atau guru-guru tareqat ini sebenarnya tidak mati tetapi hanya 'ghaib'  sementara waktu sahaja. Dia tidak dapat dilihat dengan mata kepala manusia kecuali orang-orang pilihan tertentu yang dianggap atau diperakukan di kalangan pengikut-pengikut amalan tersebut sudah mencapai tahap ketinggaian "Wali Allah"bertaraf "Wali  Autad". 
Jasad yang dikuburkan itu bukanlah tubuh badan atau mayat guru-guru tersebut tetapi hanya sebagai 'ganti' kepada tubuh badannya sahaja (walaupun pada hakikatnya yang dikebumikan itu adalah mayat sebenar guru tareqat tersebut).
Di dalam amalan 'perubatan tradisional' juga menggunakan kaedah yang hampir serupa apabila mengubati orang yang sakit kena rasuk jin syaitan atau dikuasai 'saka' keturunan. Orang yang mengamalkan zikir tareqat juga dikatakan apabila dia sudah sampai ke makam Fana' U Billah dia  menjadi majzub  hingga tidak sedarkan diri dan bertindak seperti 'hysteria' kena kerasukan jin. 
Kebiasaannya keadaan menjadi 'majzub' ini berlaku apabila diadakan zikir berjemaah sempena sesuatu majlis tertentu seperti 'pengurniaan ijazah' sesuatu tingkatan atau ketinggian martabat kepada ahli-ahli tareqat tertentu, menerima bai'at ahli-ahli baru, memperingati 'Syeikh' tareqat berkaitan dan sebagainya.  
Dikatakan dia berkeadaan demikian kerana sudah sampai ke makam Fana'U-Billah atau Baqa'U-Billah hingga menjadikan dia tidak sedar atau 'lupakan dirinya' seperti kena kerasukan jin.  Apabila sudah berkeadaan demikian, guru atau khalifah tareqat akan memulihkannya menggunakan jampi serapah atau bacaan-bacaan tertentu dengan menepuk anggota badannya hingga dia pulih kembali sedar semula. 
Kaedah yang hampir sama terdapat juga di dalam sesetengah seni persembahan permainan Melayu/Jawa tradisional dan persilatan yang beranggapan bahawa amalan kebatinan ini adalah 'saka' warisan untuk memperkukuhkan mental, fizikal dan kerohanian seseorang pemain atau pesilat apabila berada di pentas, gelanggng atau apabila dalam pertarungan.

Syeikh-syeikh tareqat ini dikatakan atau mendakwa mempunyai pertalian salasilah amalan zikir tareqat tersebut berterusan hingga sampai kepada Rasulullah s.a.w.. Mereka hanya layak dilantik sebagai 'Syeikh' sesuatu kumpulah tareqat setelah mendapat 'bai'at' secara 'ghaib' atau 'nyata' daripada 'Syeikh' tareqat terdahulu atau seorang 'Wali Allah' yang menjadi sandaran bertawassul, berwasitah  atau berrabitah  melalaui proses kerohanian 'suluk' dalam keadaan berpuasa, tidak makan makanan daripada sumber bernyawa atau berdarah. Di samping itu mereka disyaratkan juga mengamalkan zikir 'Nafi Ithbat Laillaha Illahaillah' sejumlah yang ditetapkan oleh 'Syeikh Mursyid'  yang 'Kasyaf' tersebut dalam tempoh masa tertentu bergantung kepada tujuan atau peringkat dan martabat yang hendak dicapai. 

Kepercayaan-kepercayaan terhadap roh orang mati boleh balik ke dunia juga dijadikan tarikan komersial hiburan sensasi melalui tayangan-tayangan video/filem movie yang begitu popular dan laris menjadi tarikan perhatian jutaan penonton di seluruh dunia.
Di dalam bab Muqaddimah halaman 2Kitab Majmuah Maulud Syaraf Al-Annam (Kitab Berzanji, tanpa nama pengarang), Maktabah Wamatba al-Muariff, Pulau Pinang ada menyatakan bahawa :
" Bahawasanya roh Penghulu kita yang amat suci Sallallahi Alaihi Wassalam itu hadir pada ketika orang berdiri membaca Maulud, demikian juga hadiri pada sekalian Maulud Diba'i......adalah yang demikian kehadiran roh Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w. itu kelebihan kepada Allah Subhanahu Watalla didatangkan-Nya orang yang dikehendaki-Nya."
Tradisi membaca 'Berzanji' ketika mengadakan majlis Maulid Nabi dan majlis-majlis tertentu serta berdiri ketika membaca Salawat Nabi ini telah diamalkan hampir di seluruh dunia Melayu sejak sekian lamanya tanpa sesiapa pun dari pihak berkuasa agama dan para ulama' memberikan teguran atau memberi fatwa mengenainya dengan tanggapan bahawa pemahaman, kepercayaan dan amalan yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. 

Ia hanya dianggap sebagai 'bida'ah hasanah' (بِدْعَةٍ حَسَنَةً ) dan bukan 'bida'ah dhalalah' (بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ) atau sesat.  Maka berterusanlah tradisi Berzanji dan berdiri ketika membaca 'Salawat Nabi' yang kononnya untuk mengalu-alukan kehadiran roh Nabi Muhammad s.a.w. ini tanpa sesiapa pun memperduli dan mengambil tahu langsung apakah implikasinya terhadap akidah keimanan umat Islam kerana tradisi ini sudah menjadi sebati sebagai salah satu budaya dan tradisi hidup beragama orang Melayu. 
Hinggakan pada tanggapan sesetengah pihak sesiapa yang tidak berdiri ketika 'bersalawat' bererti tidak menghormati dan 'biadab' terhadap Rasulullah s.a.w.. Ada kemungkinan juga kebanyakan orang yang mengikuti amalan ini hanya menurut sahaja dan tidak mengetahui atau bertanyakan persoalan yang dibangkitkan ini dengan tanggapan apa juga amalan berbentuk keagamaan yang diajarkan guru-guru agama adalah benar belaka dan tidak wajar dipersoalkan kesahihannya.

Sebagaimana yang telah dibicarakan dalam bab 'Masalah Roh'  yang terdapat di dalam entri blog ini, roh manusia atau Roh Hammalil Amanah (روح حمال للامانة   ) atau badan batin wujud dengan serta merta ketika Malaikat Roh meniup kepada janin bayi yang berada dalam kandungan rahim perut ibu apabila tiba masanya dengan perintah Allah. Roh Hammalil Amanah dikekalkan dan tidak dimatikan selama-lamanya walaupun jasadnya (badan zahir) rosak binasa apabila mati. 

Roh Jasmani atau nyawa yang menghidupkan jasad terbit daripada darah dan apabila mati ia hilang lenyap seperti wap kerana ia hanya dapat bertahan hingga ke satu tahap kesakitan sahaja. Roh Hammalil Amanah (روح حمال للامانة  ) daripada tiupan Malaikat Roh tidak akan mati selama-lamanya walaupun sekuat mana sekalipun kesakitan yang ditanggungnya. 

Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada memperjelaskan :

 اِذَا مَاتَ اِبنُ آدَمِ اِنْقَـطَعَ عَـنْهُ عَمَـلـُهُ إلاّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَـة ٌجَـارِيـَةٌ أوْ عـِلمٌ يُـنْـتَـفَـعُ بـِهِ أو وَلَـــدٌ صَالِحٌ يَدعُـو لَـهُ 
              Maksudnya : 
i.“Jika mati anak Adam itu, terputuslah amalannya melainkan dari tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu (agama) yang dapat dimanfaatkan atau anak yang soleh, berdoa untuknya.”
يَتْبَعُ الْمَيِّتَ ثَلَاثَةٌ فَيَرْجِعُ اثْنَانِ وَيَبْقَى مَعَهُ وَاحِدٌ يَتْبَعُهُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَعَمَلُهُ فَيَرْجِعُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَيَبْقَى عَمَلُهُ
                   Maksudnya :
ii."Tiga perkara yang mengikuti orang yang telah meninggal dunia, yang dua akan kembali dan tersisa satu yang akan terus mengikutinya. (Ketiga perkara itu) yang akan mengikutinya ialah keluarga, harta dan amalnya. Keluarga dan hartanya akan kembali, sementara amalnya akan terus mengikutinya." [HR. Bukhari] 
Hadis Rasullullah s.a.w. juga ada menjelaskan yang maksudnya seperti berikut :
"...Ketahui olehmu aku memberi khabaran sukacita kepada engkau wahai Jabir, yang adalah bapanya itu telah mati syahid pada hari Perang Uhud. Maka katanya: Bahkan.  Allah SWT memberi khabar sukacita kepada engkau dengan kebajikan. Maka sabdanya : Bahawasanya Allah Azawajalla telah menghidupkan bapa engkau dan mendudukkan akan dia 'di hadapan-Nya' dan Firman-Nya : Citailah ( pintalah) ke atas Aku wahai hamba-Ku barang apa yang engkau kehendaki nescaya Aku memberikan kepada engkau akan dia. 
Maka katanya : Wahai Tuhan tiada aku berbuat ibadat kepada engkau sebenar-benar ibadat kepada engkau, aku bercita-cita (berharap) kepada engkau bahawa engkau kembalikan balik akan daku hidup di dunia supaya aku akan berperang fisabillillah bersama Nabi engkau,  maka dengan sebab itu aku mati terbunuh pada agama engkau pada satu kali yang lain. Firman Allah SWT kepadanya : Bahawasanya telah pun terdahulu janjian daripada-Ku bahawasanya engkau kepadanya itu tidak kembali..." [yakni tidak kembali balik ke dunia]." 
Dalam suatu hadis daripada Al-Imam Ahmad menjelaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. mempunyai maksud yang hampir sama menjelaskan:
قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ
                      Maksudnya : 
" Telah berkata kepadaku Rasulullah s.a.w. :'Wahai Jabir!, adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah 'azza wa jala telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: 'Mohonlah kepada-Ku. Lantas ayahmu berkata: 'Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi.' Maka Allah berfirman: 'Aku telah memutuskan bahawa mereka ( jasad yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia'."
 Dalam satu riwayat ada menceritakan hal roh seperti yang bermaksud:
 " Dan kata Abu Umar : Tukang air melalui dengan kami Ibnu Umar dan kami masih budak-budak lagi. Maka ia memandang kepada satu kubur, tiba-tiba terzahir satu tengkorak kepala, maka ia menyuruh seorang lelaki memperlihatkannya, kemudian ia berkata : Bahawasanya badan-badan ini tidak memudaratkannya oleh tanah ini suatu apa pun, hanya roh-roh itulah yang diseksai dan diberi pahala nikmat kesenangan hingga Hari Kiamat. 
Dan ditanya Abdullah bin Amru bin Al-'As : Daripada roh-roh orang mukminin apabila mereka mati ke mana ia? Katanya: Pada temolok-temolok burung yang putih pada naungan al-'Arasy dan roh-roh orang kafirin itu pada (bawah) bumi yang ke tujuh."
Dalam satu lagi riwayat ada juga menceritakan perihal seperti yang bermaksud: 
 "Diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawasanya ia bersabda: Bahawasanya diri orang mukmin (roh orang mukmin) itu apabila diambil (dicabut), datang kepadanya untuk menemuinya oleh orang-orang Ahli Al-Rahmat (orang-orang ahli kebahagian) daripada sisi Allah sebagaimana datang menemui orang-orang yang memberi perkhabaran baik di dalam dunia. 
Kata mereka : Lihatlah kepada saudara kamu hingga ia berehat, maka bahawasanya adalah ia dalam kesusahan yang sangat kuat. Maka bertanya mereka kepadanya : Apa dia perbuat si-polan dan apa dia perbuat si-polanah (perempuan) itu, adakah dia telah berkahwin?.Maka apabila mereka bertanya kepadanya daripada si-polan yang telah mati dahulunya dan ia berkata : Telah mati sebelumku. Kata mereka : Inna lillahi wa inna illaihi rajiun, telah pergi dengannya dibawa kepada ibunya Neraka Hawiyah....."
Petikan daripada maksud sebahagian daripada nas-nas tersebut memberi pengertian bahawa orang-orang mukmin yang soleh pada ketika sakit berhadapan dengan Sakaratul-maut begitu dimuliakan Allah hinggakan roh-roh orang-orang mukmin soleh yang jasadnya sudah mati dan mempunyai tali persaudaraan dengan orang yang sedang nazak itu diutuskan Allah khusus menemuinya untuk menghibur dan meredakan/meringankan kesakitannya itu.
Ia juga menjelaskan lagi roh-roh orang mukmin soleh yang jasadnya sudah mati tidak mengetahui hal-hal dunia lagi setelah mereka bersenang-senang dengan kenikmatan hidup di Alam Barzakh sana hingga menyebabkan mereka bertanyakan apa yang diperbuat si-polan dan si-polanah adakah sudah berkahwin. Tambahan pula apabila roh orang yang nazak sudah sampai ke halkum semasa Sakaratul-maut dia sudah berada di alam akhirat dan taubatnya sudah tidak diterima Allah lagi. Pada saat ini dia hanya melihat para malaikat yang berada di sekelilingnya dan tempat balasannya sama ada di syurga atau neraka.

Jika mereka mengetahui hal-hal dunia tentulah mereka tidak bertanya begitu. Mereka datang pun semata-mata atas rahmat, murah kurnia serta dengan izin dan perintah Allah untuk 'menghiburkan' saudara mukmin soleh yang sedang sakit berhadapan dengan Sakaratul-maut dan bukan datang dengan kehendak mereka sendiri atau diseru datang ke dunia melalui 'orang perantaraan' tertentu untuk sesuatu urusan duniawi.
Dalam satu riwayat yang lain menceritakan ketika Khalifah Abu bakar As-Siddiq sakit tenat dia diziarahi oleh beberapa orang sahabat lalu mereka bertanyakan perihal  yang dimaksudkan seperti berikut : 
".......Dan kata Sa'id bin Al-Masib : Tatkala sakit kehadiran wafat Abu Bakar r.a. datang orang-orang daripada para sahabat, lalu mereka berkata:  'Wahai Khalifah Rasullullah s.a.w. , perbekalkan kami, bahawasanya kami lihati engkau barang apa yang ada dengan hal engkau (sakit)'.  Maka kata Abu Bakar r.a.: 'Barangsiapa berkata (berdo'a) dengan kalimah-kalimah ini kemudian ia mati nescaya dijadikan oleh Allah SWT akan rohnya itu pada Al-Ufukil Mubin.' Mereka berkata: 'Apa dia Al-Ufukil Mubin itu ?' Katanya:  'Ialah satu tempat di hadapan al-'Arasy, ada padanya taman-taman yang disediakan Allah SWT dan sungai-sungai serta pokok-pokok, turun padanya tiap-tiap hari seratus (100) rahmat. Barangsiapa berkata (berdo'a) dengan perkataan-perkataan (kalimah-kalimah) ini nescaya dijadikan oleh Allah SWT akan rohnya itu pada tempat ini'...." 
Riwayat ini memberikan satu lagi petunjuk bahawa orang mukmin soleh yang mengamalkan dan berpegang teguh dengan ilmu-ilmu yang terkandung di dalam do'a berkenaan begitu dimuliakan Allah dengan menempatkan rohnya di satu tempat khas paling istimewa laksana berada di dalam syurga apabila dia kembali ke rahmatullah kelak. Sudah semestinya dia tidak sama sekali berhajat atau berkeinginan langsung untuk kembali ke dunia.

Di dalam al-Quran سورة آل عمران surah Ali-'Imran ayat 169-172 Allah berfirman  :
وَلا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ (169) فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِمْ مِنْ خَلْفِهِمْ أَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (170) يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ (171`) الَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِلَّهِ وَالرَّسُولِ مِنْ بَعْدِ مَا أَصَابَهُمُ الْقَرْحُ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا مِنْهُمْ وَاتَّقَوْا أَجْرٌ عَظِيمٌ (172 
               Maksudnya :
"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup 'di sisi' Tuhannya dengan mendapat rezeki, (169) 
mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak dia kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (170) 
Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang besar dari Allah, dan bahawa Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman. (171) 
(Iaitu) orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sesudah mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud). Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di antara mereka dan yang bertaqwa ada pahala yang besar." (172)  
Maksud yang hampir seerti juga terkandung di dalam سورة البقرة surah Al-Baqarah ayat 154 :
وَلا تَقُولُوا لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَكِنْ لا تَشْعُرُونَ 
                                         Maksudnya :
"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah (bahawa mereka itu) mati, bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya."
[** Peringatan : Maksud 'hidup' 'di sisi' Tuhannya dalam ayat-ayat  ini bererti Roh Hammalil Amanah (badan batin) orang mukmin yang gugur syahid dalam perang fisabillillah mendapat kurniaan berbagai-bagai nikmat kesenangan hidup di Alam Barzakh yang disediakan Allah seperti yang dijanjikan. 
Jasadnya yang sudah mati terkorban berada di dalam perkuburan tetapi rohnya amat bergembira dan bersenang-senang menikmati kebahagiaan di Alam Barzakh, mendapat limpahan rahmat dan kemuliaan tertinggi daripada Allah. Hal ini dapat difahamai juga bahawa segala hal yang terdapat di Alam Barzakh itu amat luar biasa keadaannya yang tidak menyamai sama sekali dengan apa yang terdapat di dunia.
Kegembiraan para syuhadak seperti yang dimaksudkan di dalam ayat-ayat al-Quran ini adalah kegembiraan luar biasa di luar tabi'ie yang berpanjangan hingga hari dibangkitkan semula pada Hari Kiamat kelak yang  tidak sesekali menyamai dengan kegembiraan 'seketika' yang terdapat di dunia. Mereka bersenang-lenang mengecapi segala nikmat hidup seperti berada di dalam taman-taman syurga. Mereka bermohon kepada Allah untuk kembali ke dunia untuk berjuang dan terkorban gugur syahid lagi pada jalan Allah adalah untuk mendapatkan kurniaan gandaan rahmat dan kenikmatan Allah yang amat luar biasa tersedia di Alam Barzakh. Kesakitan seketika semasa gugur syahid dalam medan peperangan fisabilillah itu adalah terlalu kecil dan teramat ringan berbanding balasan kenikmatan hidup teramat luar biasa yang berterusan sebagai balasan Allah terhadap keikhlasan pengorbanan mereka semata-mata kerana Allah dan agama ketika di dunia dahulu. Jika kenikmatan di Alam Barzakah sudah sedemikin rupa, betapa pula kenikmatan dan kebahagiaan di di dalam syurga?.  ]

[Lihat : Masalah Roh ]

Maka amat rugilah golongan manusia yang mengambil mudah dan tidak menghiraukan hal keadaan kehidupan di Alam Barzakh yang setiap diri manusia pasti akan menemui dan tinggal di dalamnya pada bila-bila masa apabila jasadnya mati dan ditanam di dalam tanah perkuburan atau di mana jua perkuburannya yang ditakdirkan Allah.
Roh-roh orang kafirin dan munafiqin pula terus menerima azab seksa di Alam Barzakh seperti berada di dalam lubang neraka sementara menunggu ketibaan Hari Kiamat dunia. Tidak ada jalan dan peluang langsung bagi mereka untuk melepaskan diri daripada azab seksa tersebut dan apa tah lagi untuk balik ke dunia untuk melakukan sesuatu tujuan duniawi, hatta untuk bertaubat dan beramal salih.
Firman Allah di dalam al-Quran سورة المؤمنون surah Al-Mu'minun ayat 99-100 memperjelaskan hal keadaan orang-orang kafir munafik dan ahli maksiat apabila berhadapan dengan kematian mereka bermohon kepada Allah untuk kembali ke dunia untuk berbuat amalan soleh yang ditinggalkannya dahulu :

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100
                Maksudnya :
"(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata : 'Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), (99)
agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan'. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding"Barzakh"بَرْزَخٌ sampai hari mereka dibangkitkan."(100)
Firman Allah dalam سُوۡرَةُ السَّجدَة surah As-Sajadah ayat 12 mengandungi maksud dan pengertian yang hampir sama :
وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ   
                       Maksudnya :
" Dan (alangkah ngerinya ), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya 'dihadapan' Tuhannya, (mereka berkata): 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin'."

Demikian juga hal keadaan mereka apabila berada di dalam neraka sebagimana Firman Allah dalam surah سورة الأنعام Al-An'aam ayat 27-28 :

وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (27) بَلْ بَدَا لَهُمْ مَا كَانُوا يُخْفُونَ مِنْ قَبْلُ وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (28

             Maksudnya :

" Dan jika kamu (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata : 'Kiranya kami dikembalikan (ke dunia) dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman', (tentulah kamu melihat suatu peristiwa yang mengharukan). ( 27)

Tetapi (sebenarnya) telah nyata bagi mereka kejahatan yang mereka dahulu selalu menyembunyikannya. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesunguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka." ( 28)
Dalam peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. ada diperjelaskan bahawa ketika Rasulullah s.a.w berada di Masjidil Aqsa, Baitul Maqddis baginda mengimamkan sembahyang berjemaah yang dihadiri oleh roh para Nabi dan Rasul terdahulu. Mungkin peristiwa ini dijadikan alasan atau hujah kepada golongan tertentu sebagai bukti roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia.

Sebagaimana Allah memuliakan orang mukmin yang sedang nazak berhadapan dengan kesakitan Sakaratul-maut dengan menghantarkan Malaikat Rahmat dan roh saudara mara terdekat yang sudah mati dan bersenang-lenang mendapat balasan kenikmatan dan kebahagian di Alam Barzakh khusus untuk menceria dan meringankan bebanan kesakitan saudaranya, maka demikian jugalah dengan apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w yang sedang mengalami mukjizat besar peristiwa malam Isra' dan Mikraj yang amat besar rahsia, hikmah dan pengertiannya kepada seluruh alam khususnya insan mukmin salih yang paling mulia di sisi Allah. 

Roh-roh para Nabi dan Rasul yang berada di Alam Barzakh diwahyu dan diperintahkan Allah supaya menjadi makmum sembahyang yang diimamkan oleh Rasulullah s.a.w. tidak langsung bertujuan untuk urusan duniawi tetapi mempunyai hikmah dan rahsia tertentu yang hakikatnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Antara hikmah besar yang boleh difahami adalah di samping melakukan ibadat sembahyang mereka bersama-sama Malaikat Jibril AS dan para Malaikat Rahmat berdo'a kepada Allah agar perjalanan Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w memberi rahmat yang besar kepada insan-insan mukmin yang masih hidup di dunia supaya bertambah teguh keimanan mereka kepada Allah dan Rasul serta melimpahkan rahmat-Nya kepada seluruh alam. Di samping itu ia juga mengesahkan lagi kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Penghulu sekalian Nabi dan Rasul Allah terakhir yang dibangkitkan dan diutuskan Allah kepada sekalian umat manusia dan jin sebagaimana yang disebutkan di dalam kitabullah-kitabullah yang diturunkan kepada Rasul-rasul Alaihimussalam terdahulu.

Peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah mukjizat paling besar yang dikurniakan Allah kepada Rasulullah s.a.w. yang tidak dikurniakan kepada Nabi-nabi terdahulu. Sebagai Penghulu semua para Nabi dan Rasul, manusia dan jin, pengakhir sekalian Nabi dan Rasul, peristiwa Isra' dan Mikraj ini memberi pedoman yang lebih jelas kepada manusia terhadap kebenaran alam akhirat dan tidak menjadi sebab atau alasan kepada manusia dan jin mengingkarinya dan tidak mengetahuinya di samping untuk memfardukan ibadat Sembahyang 50 Waktu sebagai ibadat khusus  yang teramat mulia, paling utama dan tertinggi di sisi Allah seperti yang termaklum.

Jelasnya semua perkara yang berlaku di Masjidil Aqsa semasa berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah urusan kenabian, wahyu Allah dan hal akhirat sahaja. Maka dalam hal ini adalah tidak wajar sama sekali untuk menjadikan peristiwa ini sebagai alasan, hujah, nas dan bukti untuk menyokong pendirian yang mengatakan roh orang yang sudah mati boleh dipanggil atau diseru balik ke dunia untuk melakuklan urusan duniawi yang dihajatkan.

[Lihat : Isra' Mikraj dan Fardhu Solat ]

Dalam nas-nas yang lain pula ada menjelaskan yang antaranya ialah :
i."...bahawasanya orang mukmin yang soleh itu dibukakan hijab baginya pada mengiringi mati itu dengan diberi lihat keluasan rahmat Allah dengan pengurniaan Allah yang amat mempunyai kebesaran dan kemuliaan bahawa dunia ini seperti tempat penjara dan tempat sempit dimisalkan seperti orang yang dikurung dalam rumah yang gelap gelita dibukakan baginya satu pintu kepada satu taman teramat luas yang tiada sampai (dilihat) sejauh pemandangan matanya (sangat luas). Di dalamnya terdapat berbagai jenis pokok, bunga-bungaan, buah-buahan, burung-burung serta berbagai keindahan yang amat luar biasa, hingga dia tidak ingin hendak balik kepada tempat penjara yang gelap itu." 
       ii.Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang kira-kira maksudnya: 
"Bahawa seseorang hamba Allah, apabila dihantar ke dalam kuburnya hingga ia mendengar jejak-jejak langkah kasut sekelian sahabat-sahabatnya yang pulang, datanglah dua malaikat mendudukkan dia dan menanya: 'Apa engkau kata pada lelaki ini (Nabi Muhammad s.a.w.)?'.  Orang mukmin akan jawab: 'Aku menaik saksi bahawasanya ia adalah hamba Allah dan Rasul-Nya (Pesuruh-Nya)'. Kemudiannya diperkatakan: 'Lihatlah tempat kedudukan engkau daripada api neraka, sesungguhnya Allah Taala telah tukarkan tempat engkau itu dengan suatu tempat daripada syurga. Maka ia melihat kedua-dua tempat itu, diluaskan baginya di dalam kuburnya itu tujuh puluh hasta, dipenuhi di atasnya tanaman-tanaman yang menghijau hingga hari dibangkitkan sekelian ahli isi kubur daripada kubur mereka'.  
Bagi orang kafir atau munafik  (yang menzahirkan rupa Islam di luarnya dan menyimpan iktikad kufur dan sesat pada agama di dalam hatinya) maka ditanyakan kepadanya: Apa engkau kata pada lelaki ini?Jawabnya: Tidak aku tahu, aku kata ikut apa orang kata.Maka diperkatakan kepadanya: Tidaklah engkau tahukah? Kemudian ia pun dipukul dengan pemukul besi, satu pukulan yang kuat yang mengenainya di antara dua telinganya. Ia pun menjerit dengan jeritan yang dapat didengari suaranya itu oleh yang lainnya selain dari jin dan manusia, disempitkan kuburnya sehingga terselisih segala tulang rusuknya itu."
Rasullullah s.a.w. memperjelaskan apabila seseorang (mukmin soleh ) itu mati dia berpindah daripada dunia meninggalkan kaum keluarganya. Sekiranya dia diredai Allah maka dia:
"tidak menyukai balik ke dunia sebagaimana tidak menyukai seseorang itu balik ke dalam kandungan perut ibunya."
Berpandukan sebahagian daripada nas-nas ini maka tertolak dan ternafilah sama sekali bahawa roh-roh orang yang sudah mati sama ada orang mukmin atau ahli maksiat atau orang-orang kafir/munafik boleh balik ke dunia, masuk ke dalam tubuh manusia atau binatang, atau menjadi 'roh jahat'; syaitan, hantu jembalang, atau memasuki ke dalam tubuh manusia sebagai 'roh baik' sebagai penjelmaan semula (incarnation) seseorang tokoh fahaman agama atau pemimpin tertentu, menggegar pokok-pokok, memindahkah meriam besar dari satu tempat ke tempat lain yang dihajati,  dan bermacam-macam kepercayaan atau sangkaan lagi. 
Kepercayaan seumpama ini boleh memberi erti "tidak percayakan [mengingkari] adanya balasan azab dan kesenangan kubur Alam Barzakh yang termasuk sebagai alam akhirat". Justeru dengan sekaligus mendustakan perkhabaran al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Sekiranya dia orang Islam maka rosaklah akidah keimanan dan gugurlah keislamannya. 
Bagi memperkukuhkan serta memantapkan lagi kefahaman bahawa roh orang yang sudah mati itu tidak mungkin dan tidak sesekali boleh balik ke dunia, seseorang itu hendaklah membaca serta memahami dengan teliti Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menceritakan hal keadaan Roh Hammalil Amanah (روح حمال للامانة  ) apabila sampai ke halkum ketika menghadapi Sakratul-maut yang sangat dahsyat itu.


Hadis-hadis Rasullullah s.a.w.menjelaskan yang antara lain intipati maksudnya dapat dirumuskan bahawa semasa menghadapi Sakratul-maut, Roh Hammalil Amanah setiap orang manusia akan berhadapan dengan situasi berikut  seperti yang diperjelaskan di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :

               i. Berkata Abu Hurairah r.a. : Sabda Rasullullah s.a.w. :
"Bahawasanya orang Mukmin itu apabila hampir ajal matinya datang kepadanya malaikat-malaikat dengan membawakan kain sutera yang adanya bahu harum kasturi dan dahan-dahan pokok Raihan ( daripada syurga). Maka ditarikkan rohnya itu sebagaimana ditarik satu helai rambut daripada tepung beruli dan diperkatakan : Wahai diri yang Mutmainnah (bertetap dalam iman dan taat ), keluarlah olehmu yang sedang meredai lagi yang diredakan ke atas engkau kepada tempat rahmat Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila dikeluarkan rohnya diletakkan ke atas sedemikian itu kasturi dan Raihan dan dilipatkan ke atasnya sutera itu di bawa ke tempat yang tinggi.
Bahawasanya orang yang kafir itu apabila hampir ajal matinya datang kepadanya malaikat-malaikat dengan membawakan suatu tempat yang ada padanya bara api (neraka). Maka direntapkan rohnya dengan rentapan yang sangat kuat dan diperkatakan : Wahai diri yang keji, keluarlah olehmu sedang dalam keadaan marah lagi dimurkai ke atas engkau kepada tempat kehinaan yang disediakan Allah dan azabnya. Apabila dikeluarkan rohnya diletakkan ke atas bara api itu dan bahawasanya ada baginya bunyi suara mendidih menggelegak dan dilipatkan ke atasnya penempatan itu dibawakan dengannya kepada api neraka."
ii. "Bahawasanya apabila Allah SWT meredai seseorang hamba Ia berfirman:  Wahai Malaikat Maut pergilah oleh mu kepada si polan, engkau 'bawakanlah kepada Ku' dengan rohnya supaya Aku memberi kerehatannya, memadai Aku daripada amalan itu. Sesungguhnya Aku telah datangkan ujian kepadanya maka Aku dapati akan dia barang apa yang Aku kasihi. Maka turun Malaikat Maut dan bersertanya 500 orang daripada malaikat-malaikat dan berserta mereka dahan-dahan pokok Raihan yang wangi dan pangkal-pangkal Za'faran, tiap-tiap seorang daripada mereka memberi khabaran sukacita kepadanya dengan khabaran yang berlainan daripada taulan-taulan yang lain. Berdiri malaikat-malaikat itu dua barisan kerana keluaran rohnya berserta mereka dahan-dahan pokok Raihan.
Apabila dilihati oleh Iblis ia pun meletakkan tangannya ke atas kepalanya kemudian dia mengeluh dukacita. Sabdanya (Rasulullah s.a.w.) : Maka berkata tentera-tenteranya kepadanya : Kenapakah engkau wahai tuan penghulu kami? Maka ia (Iblis) berkata : Adakah engkau sekalian tidak lihati barang apa yang diberikan kepada hamba ini dengan kemuliaannya, di manakah engkau sekalian daripada orang ini? Kata mereka : Sesungguhnya telah bersungguh-sungguh kami dengannya (menggoda dan menipu daya terhadapnya), maka dia ini termaksum (terpelihara)."
Pengertian maksud Hadis-hadis ini dapat memberikan penjelasan dan rumusan yang ketara bahawa: 

i. Jika yang menghadapi Sakratul-maut adalah Roh Hammalil Amanah (روح حمال للامانة  ) orang mukmin yang soleh maka Malaikat Maut datang dengan wajahnya yang berseri-seri berbau harum kasturi diiringi pula 500 orang Malaikat Rahmat untuk menyambut dan memuliakan rohnya keluar daripada jasad. Dua orang malaikat pencatat amalan di sepanjang hayat si mati akan memperlihatkan dirinya untuk mengkhabarkan segala perbuatan kebajikan atau kejahatan yang dilakukan di sepanjang hayatnya.
Dia (rohnya)  dibuka hijab hingga dapat melihat sendiri segala perbuatan yang dilakukan di sepanjang hayatnya yang dirakam dan dipancarkan terus dari al-'Arasy. Dia juga akan diperlihatkan dan diberikan perkhabaran tempat balasannya di akhirat kelak sama ada syurga atau neraka. Sekiranya dia melihat dan diberikan perkhabaran bahawa tempat balasannya ialah syurga dia tersangat gembira hinggakan seolah-olah menjadi cair lemak badannya untuk mati segera dan bersegera pergi ke syurga yang dilihatnya itu.

Malaikat Maut akan mencabut keluar Roh Hammalil  Amanah (روح حمال للامانة  ) orang mukmin soleh secara perlahan penuh kelembutan seperti menarik rambut keluar daripada tepung beruli tanpa merosakkan rambut dan tepung tersebut. Setelah rohnya keluar atau berpisah daripada jasad, 500 orang Malaikat Rahmat akan menyambut dan memuliakannya seperti pengantin dan memakaikannya dengan pakaian sutera daripada pokok Raihan dari syurga yang berbau harum kasturi.

Selepas itu rohnya dibawa ke sesuatu tempat di hadapan al-'Arasy dan dikembalikan semula kepada jasad apabila berada di dalam kubur untuk menghadapi Fitnah Kubur (ujian soalan daripada dua orang malaikat) dan menikmati kehidupan seperti dalam taman syurga di Alam Barzakh hingga dikembalikan semula pada jasadnya untuk hidup semula bersama jasad pada Hari Kiamat kelak untuk ditimbang dan dihisab segala amalannya sebelum menyeberangi titian "Sirat" yang terbentang di atas neraka. Maka beruntunglah mereka yang selamat hingga ke seberang dan bertemu dan menekmati air kolam  'Haudh' Nabi Muhammad s.a.w.yang amat luas itu  sebelum masuk ke syurga.

ii.  Jika sekiranya Roh Hammalil Amanah yang berhadapan dengan Sakratul-maut itu adalah orang kafir, munafik, ahli maksiat dan orang yang ingkar dimurkai dan tidak mendapat pengampunan Allah keadaan yang sangat dahsyat akan berlaku. Pada ketika itu roh tersebut didatangi oleh Malaikat Maut yang sangat dahsyat dan menggerunkan rupanya berpakaian dengan pakaian daripada api neraka diiringi pula oleh Malaikat Azab.
Dua orang malaikat pencatat amal akan menghadirkan diri mengkhabarkan berita buruk kerana dosa maksiat yang dilakukan di sepanjang hayatnya dan diperlihatkan pula rakaman amalan dia yang dilakukan di sepanjang hayat. Lebih dahsyat lagi dia diperlihatkan dan diberikan perkhabaran bahawa tempat balasannya ialah neraka.
Malaikat Maut merentap rohnya keluar dengan kasar dan menyerahkannya kepada Malaikat Azab. Malaikat Azab menerima roh itu dan meletakkannya pula di atas tepak bara api neraka menjadikannya mendidih kepanasan.  Pada ketika itu Roh Hammalil Amanah menjerit sekuat-kuat hatinya kerana kepanasan dan kesakitan azab yang tidak terhingga.

Kesemuanya ini berlaku ketika si mati masih lagi berada di dunia sama ada di hadapan keluarga atau orang-orang yang menziarahinya, tanpa sesiapa pun yang mengetahui dan melihatnya dengan mata kepala. Apabila dimasukkan ke dalam kubur Roh Hammalil Amanah (روح حمال للامانة ) si mati akan berhadapan pula dengan soalan-soalan Fitnah Kubur daripada dua orang malaikat yang sangat dahsyat dan menggerunkan itu yang akan bertanyakan hal-hal mengenai Allah, Rasul, dan keimanan seperti yang termaklum di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.

Dia akan merasakan segala kepedihan azab seksa pukulan daripada Malaikat Azab yang sangat dahsyat sekiranya tidak mengetahui jawapannya atau memberikan jawpan yang salah bertentangan dengan apa yang dikehendaki hukum syarak yang hak. Segala jeritan kesakitan yang ditanggungnya bermula pada saat Sakaratul-maut lagi didengari oleh semua makhluk di bumi kecuali manusia dan jin.

Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan dalam maksud Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. ini jelas menunjukkan tidak ada jalan langsung bagi setiap Roh Hammalil Amanah (روح حمال للامانة  ) manusia kembali ke dunia untuk apa jua tujuan sekalipun. Oleh sebab itu, disebutkan sakit Sakratul-maut itu ialah 'kiamat kecil' kerana apa yang berlaku pada saat itu kesemuanya di luar tabi'i yang tidak dapat diketahui dan dijangkau akal fikiran logik manusia yang masih hidup di dunia untuk memikirkannya sama sekali seperti juga apa yang akan berlaku pada Hari Kiamat besar kelak yang akan melanda seluruh alam sebagaimana yang diperjelas dan diperingatkan berulang-ulang kali dengan terang dan nyata dalam nas-nas al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.


Sekiranya seseorang itu beriktiqad dan mempercayai bahawa roh orang mati itu boleh balik ke dunia untuk melakukan urusan duniawi untuk memenuhi hajat oleh orang yang masih hidup di dunia maka terpaksalah dia menafikan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tersebut di atas dan menolak adanya balasan nikmat kebaikan/kesenangan dan azab seksa yang dijanjikan Allah di dalam kubur Alam Barzakh. Maka dengan sendiri rosaklah akidah keimanannya.

Tidak ada sesiapapun yang mengetahui nasib dan apa tah lagi dapat menentukan balasan dan takdir Allah yang diterima oleh roh si mati seseorang apabila berada di dalam kubur Alam Barzakh. Tidak ada sesiapa pun di kalangan manusia yang masih hidup di dunia dapat mengesahkan sama ada roh si mati tersebut mendapat balasan kenikmatan seperti berada di dalam keindahan taman syurga yang amat luas terbentang atau menerima azab seksa seperti di dalam lubang neraka walaupun ketika hidup di dunia pada zahirnya dia beriman, beragama Islam dan dikebumikan sebagai jenazah orang Islam atau didakwa dan dipercayai bahawa si mati itu sebagai 'Wali Allah' dengan diberikan gelaran-gelaran kemuliaan lain yang seumpama dengannya.

Sekiranya dia termasuk sebagai golongan mukmin/mukminat soleh yang mendapat balasan nikmat berada di Alam Barzakh seperti taman syurga, maka tidak berkeinginan langsung baginya untuk kembali ke dunia yang hanya diumpamakan 'sebesar perut ibu' dan 'penjara yang gelap' itu kerana dia mendapat limpahan kenikmatan tidak terhingga yang tersedia di dalam kubur Alam Barzakh mengatasi segala kenikmatan yang terdapat di dunia. Hadis Rasulullah s.a.w. memperjelaskan hal ini  : 

         إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

                    Maksudnya :
“Kubur itu sama ada salah satu lubang api neraka atau salah satu taman syurga."
                      [HR At-Tirmizi ] 

Sabdanya lagi yang bererti : 
“Apabila mati seseorang kamu, dia diperlihatkan tempat duduknya, pagi-petang, jika dia ahli syurga maka syurgalah (baginya), jika ia ahli neraka maka nerakalah (baginya) dan diperkatakan (kepadanya): Inilah tempat kedudukan engkau hingga engkau dibangkitkan (dibawakan kepadanya) pada Hari Kiamat kelak.”
Sekiranya roh si mati yang terjumlah sebagai ahli neraka dan menerima azab seksa seperti berada di dalam lubang neraka, tidak ada jalan atau berpeluang langsung baginya kembali ke dunia untuk melakukan amalan soleh walaupun sangat berhajat berbuat demikian kerana takdir Allah telah menetapkan segala keperluan dan hukuman di akhirat yang bermula daripada saat Sakaratul-maut adalah berteraskan amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia dan keampunan Allah. 
Kubur Alam Barzakh adalah alam akhirat yang akan disusuli pula dengan Hari Kiamat Dunia dan dibangkitkan semula semua manusia daripada perkuburan masing-masing walaupun jasadnya sudah hancur menjadi debu tanah atau dalam apa jua bentuk sekalipun untuk menghadapi Hari Pembalasan seperti yang dimaksudkan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Dalam hal ini dapatkah seseorang itu menentu atau mengesahkan hal keadaan roh si mati seseorang sama ada dia menerima balasan nikmat berada seperti di dalam taman syurga atau menerima azab seperti berada di dalam lubang neraka? Sudah pastinya jauh sekali dia dapat mengetahuinya kerana segala hal Alam Barzakh adalah semata-mata urusan Allah dan hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui mengenainya.
Di dalam al-Quran  سورة آل عمران surah Ali-'Imran ayat 179  Allah berfirman :  
مَا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ حَتَّى يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِنْ رُسُلِهِ مَنْ يَشَاءُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَإِنْ تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌ           
       Maksudnya:
"Allah tidak sesekali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk (munafik) dengan yang baik (mukmin).Dan Allah tidak sesekali akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara Rasul-rasul-Nya. Oleh sebab itu berimanlah kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka bagimu pahala yang besar."
Mungkin akan timbul pertanyaan siapakah yang sebenarnya kelihatan dan dianggap hadir apabila 'orang perantaraan' itu menyeru roh seseorang yang sudah mati atau membuat upacara-upacara pemujaan sama ada untuk tujuan perubatan atau apa-apa tujuan duniawi sekalipun?. Dakwaan atau sangkaan ini berdasarkan perubahan atau kesan fizikal seperti orang 'kerasukan' yang dapat dilihat pada 'orang perantaraan' yang menyeru/ memanggilnya dan hal keadaan orang yang dirawati atau upacara ritual mistik yang dikendalikan.


Hakikat ini perlu difahami bahawa syaitan boleh menipu manusia dengan berbagai-bagai cara kerana berdasarkan Hadis Rasullullah s.a.w. syaitan boleh masuk ke dalam tubuh manusia melalui saluran darah, matanya pada mata manusia, rohnya pada hati manusia dan dia menguasai seluruh tubuh manusia. Perihal ini ada disebut dalam satu riwayat yang bermaksud :
i. "....Kemudian ia (Syaitan/Iblis)berkata kepadanya : Wahai Musa  bahawasanya bagi engkau di atasku hak dengan sebab barang apa yang telah engkau syafaatkan bagiku kepada Tuhan engkau. 
Hendaklah engkau ingatkan akan daku pada tiga (3) perkara nescaya aku tidak membinasakan engkau padanya iaitu : Engkau ingatkan akan daku pada ketika engkau marah, bahawasanya roh aku pada hati engkau dan mata aku pada mata kau dan aku berjalan daripada engkau sebagaimana perjalanan darah. Ingatkanlah akan daku apabila engkau marah, maka bahawasanya apabila marah manusia itu nescaya aku tiupkan pada hidungnya.  Maka tidak ia tahu akan barang apa yang ia perbuat. Dan engkau ingatkan akan daku pada ketika engkau menemui pertempuran, maka bahawasanya aku datang kepada anak Adam pada ketika itu mengingatkan akan isterinya, anak-anaknya dan ahli-ahlinya hingga ia berpaling.  Dan engkau peliharai daripada duduk kepada perempuan yang bukan mempunyai mahram, bahawasanya aku ialah jadi pesuruhnya kepada engkau kepadanya hingga aku memfitnahkan engkau dengannya dan aku memfitnahkan akan dia dengan engkau.."[hingga akhir Hadis.] 
 ii. "Maka sesungguhnya diriwayatkan bahawasanya Noh Alaihisalam tatkala menaiki bahtera iapun menghitungkan ke dalamnya daripada tiap-tiap dua kelamin itu dua sebagaimana disuruhkannya oleh Allah Taala.  Maka ia melihat dalam bahtera itu seorang tua yang dia tidak mengenalinya. Maka kata Noh kepadanya : 'Apakah sebab yang memasukkan engkau'. Maka jawabnya : 'Aku masuk supaya aku dapat mengenai hati-hati sahabat-sahabat engkau supaya jadilah hati-hati mereka bersertaku dan badan-badan mereka berserta engkau'. Maka kata Noh a.s. kepadanya : 'Keluarlah olehmu daripadanya wahai seteru Allah yang dilaknati'.  Maka kata Iblis kepadanya : 'Ada lima (5) perkara aku binasakan dengannya manusia,  dan aku khabarkan kepada engkau daripadanya dengan tiga (3) perkara dan tiada aku khabarkan kepada engkau dengan dua (2) perkara lagi'. Maka Allah mewahyukan kepada Noh bahawasanya tiada berhajat bagi engkau dengan tiga (3) perkara itu. Hendaklah ia mengkhabarkan kepada engkau dengan dua (2) perkara itu....[hingga akhir Hadis...] 
Mungkin akan berlaku dakwaan yang dijadikan pegangan amalan seperti dikata bahawa seseorang itu mendakwa bertemu roh si mati orang tertentu di dalam mimpinya dan roh si mati yang dianggap/didakwa sebagai seorang "Wali Allah" itu mengajarkan sesuatu amalan tertentu untuk diamalkannya. Dalam hal ini amat perlu ditelitikan dahulu adakah ilmu yang terkandung di dalam amalan yang diajarkan oleh 'roh si mati ' dalam mimpi itu selaras dan menepati dengan hukum syarak atau tidak. Jika apa yang dikhabarkan itu bertentangan dengan hukum syarak ternyata bahawa 'roh si mati' yang ditemui dalam mimpi itu adalah dari kalangan syiatan untuk menipu dan menyesatkannya. 

Syaitan boleh mengaku atau menyerupai wajah orang-orang soleh dan mengaku dia itu orang soleh ( Wali Allah ) yang berkenaan atau wajah-wajah ibu bapa dan siapa juga yang diseru [kecuali wajah sebenar Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang diperjelaskan di dalam nas].Maka tertipulah manusia oleh syaitan laknatullah.


Riwayat berikut boleh dijadikan ingatan dan perhatian kita bersama agar lebih berhati-hati apabila membuat sesuatu penilaian dan kata putus sekiranya berhadapan dengan sesuatu keadaan yang pada zahirnya nampak elok dan benar :
روي أن إبليس لعنة الله تمثل لعيسى ابن مريم صلى الله عليه وسلم فقال له  قل: "لا إله إلا الله". فقال كلمة حق ولا أقولها بقولك لأن له أيضا تحت الخير تلبيسات وتلبيسات الشيطان من هذا الجنس لا  تتناهى وبها يهلك العلماء والعباد والزهاد والفقراء والاغنياء وأصناف الخلق ممن يكرهون ظاهر الشر ولا يرضون لأنفسهم الخوض في المعاصي المكشوفة
             Maksudnya :
Diriwayatkan bahawa Iblis (laknatullah) telah muncul seperti rupa manusia kepada (Nabi) Isa Bin Maryam Alaihisalam maka ia berkata kepadanya:

قل: "لا إله إلا الله"


                           Ertinya: 
                    Sebutlah (wahai Isa) : لا إله إلا الله  

Jawab Nabi Isa Alaihisalam:
"Itu adalah kalimah hak dan aku tidak akan menyebutnya dengan (suruhan) kata engkau."
Lihatlah betapa Iblis laknatullah begitu berani menemui Nabi Isa Alaihimussalam, seorang Rasul Allah yang maksum seolah-olah untuk mengajarkan kalimah hak yang pada zahirnya memang benar, amat elok dan bertepatan dengan hukum syarak. Namun sebagai seorang Rasul yang maksum Nabi Isa a.s. sentiasa terpelihara dan mendapat bimbingan wahyu Allah enggan menuturkan pengajaran kalimah hak tersebut daripada seteru Allah yang dilaknat. 

Bagaimana pula hal kita sebagai manusia biasa sekiranya bertemu suasana begini?

Antara kandungan Khutbah Terakhirnya di padang Arafah pad 9 Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah s.a.w. ada memperingatkan yang bermaksud :
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia (syaitan) telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil..."

Firman Allah di dalam al-Quran سورة الانفطار surah Al-Infithaar ayat 14-19 ada memperjelaskan hal keadaan azab seksa yang ditanggung oleh ahli neraka :
وَإِنَّ الْفُجَّارَ لَفِي جَحِيمٍ (14) يَصْلَوْنَهَا يَوْمَ الدِّينِ (15) وَمَا هُمْ عَنْهَا بِغَائِبِينَ (16) وَمَا أَدْرَاكَ مَا يَوْمُ الدِّينِ (17) ثُمَّ مَا أَدْرَاكَ مَا يَوْمُ الدِّينِ (18) يَوْمَ لا تَمْلِكُ نَفْسٌ لِنَفْسٍ شَيْئًا وَالأمْرُ يَوْمَئِذٍ لِلَّهِ (19                  
          Maksudnya:
" Dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka. (14)
Mereka masuk ke dalamnya pada Hari Pembalasan.(15)  
Dan mereka tidak sesekali dapat keluar dari neraka itu.(16) 
Tahukah kamu apakah Hari Pembalasan itu? Sekali lagi, tahukah kamu apakah Hari Pembalasan itu?(17) 
               Sekali lagi, tahukah kamu apakah Hari Pembalasan itu?(18) 
(Iaitu) hari (ketika) seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah."(19)
Setiap makhluk Allah itu mempunyai lima (5) kelemahan iaitu tidak memiliki bagi dirinya sendiri untuk: 
  i.     Memberi Kemanfaatan 
 ii.      Memberi Kemudaratan
 iii.     Memberi Kematian 
 iv.     Memberi Kehidupan 
 v. Menolak daripada dibangkitkan hidup semula kemudian daripada mati.
Firman Allah di dalam al-Quran سورة الأعراف‎‎ surah Al-A'raaf ayat 188 ada menyatakan : 

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

                       Maksudnya:
" Katakanlah : 'Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman."
Terdapat juga beberapa Firman Allah dalam al-Quran yang memperjelaskan perkara yang hampir serupa. Antaranya ialah :
أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ شُفَعَاءَ قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا لا يَمْلِكُونَ شَيْئًا وَلا يَعْقِلُونَ (43) قُلْ لِلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (44)
                      Maksudnya :
i." Bahkan mereka mengambil pemberi syafa'at selain Allah. Katakanlah : 'Demi apakah (kamu mengambilnya juga) meskipun mereka tidak memiliki sesuatu pun dan tidak berakal?'(43) 
Katakanlah :' Hanya kepunyaan Allah syafa'at itu semuanya. Kepunyaan-Nya kerjaan langit dan bumi. Kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan.'"(44)
                [Surah سورة الزمر‎‎ Az-Zumar : 43-44 ]
 اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ
                          Maksudnya : 
ii."Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
                      [ Surah سورة البقرة  Al-Baqarah : 255 (Ayat Al-Kursi) ]

                اللَّهُ الصَّمَدُ
                     Maksudnya :
iii." Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu."  
            [Surah الإخلاص Al-Ikhlas : 2 ]
Pengertian yang hampir sama juga dapat difahami daripada maksud Do'a Al-Imam As-Syafi'e Rahimullah:
        اَللَّهُمَّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا وَلَا مَوْتًا 
وَلَا حَيَاةً وَلَا نُشُورًا وَلَا  
أَسْتَطِيْعُ أَنْ آ  خُذَ إِلَّا مَا أَعْطَيْتَنِي وَلَا أَتَّقِي إِلَّا مَا وَقَّيْتَنِي  
 اَللَّهُمَّ فَوَفِّقْنِي لِمَا  
تُحِبُّ وَتَرْضَى مِنَ القَوْلِ وَالْعَمَلِ فِي عَافِيَةٍ 
                    Maksudnya: 
"Ya Allah!, bahawasanya aku tiada memiliki bagi diriku kemanfaatan, tiada memiliki kemudaratan, tiada memiliki kematian, tiada memiliki kehidupan, tiada memiliki hidup kemudian daripada mati, tiada aku berupaya mengambil melainkan barang apa yang Engkau berikan kepada ku dan tiada dapat aku memelihara melainkan barang apa yang telah Engkau pelihara akan daku. Ya Allah!, Engkau berilah taufik kepada aku bagi barang apa yang Engkau kasihi dan Engkau redai daripada perbuatan dan amalan dalam 'afiat."
Do'a Imam As-Syafi'e Rahimullah ini amat bertepatan dan selaras dengan Firman Allah dalam سورة التغابن‎‎ surah At-Taghabun ayat 11 :
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ 
                       Maksudnya :
" Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengethui segala sesuatu."
Kalimah-kalimah yang sering dijadikan amalan zikir harian bersandarkan kepada Hadis Rasulullah s.a.w. seperti di bawah ini mudah-mudahan dapat memperkukuhkan lagi pegangan iktiqad seseorang Mukmin terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ " بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَيَضُرَّهُ شَيْءٌ".( رواه الترمذي 
                    Maksudnya : 
" ...........Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tidak ada sesuatupun yang dapat memberi kemudaratan di bumi dan di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui......"
[Lihat : Mukh Ad- Do'a Fil Iman

Hadis Rasullullah s.a.w. juga ada memperjelaskan dalam sebuah Hadis: 

Dari al-Hasan (الحسن) diriwayatkan:
 ان رسول الله صلى الله عليه وسلم كان رأسه في حجر عائشة رضي الله عنها فنعس فذكرت الآخرة فبكت حتى سال دمعها فنقط على خد رسول الله صلى الله عليه وسلم فانتبه فقال ما يبكيك يا عائشة؟ قالت ذكرت الآخرة هل تذكرون أهليكم يوم القيامة قال والذي نفسي بيده في ثلاث مواطن فإن أحدا لا يذكر إلا نفسه اذا وضعت الموازين ووزنت الاعمال حتى ينظر ابن آدم أيخف ميزانه أم يثقل وعند الصحف حتى ينظر أبيمينه يأخذ كتابه أو بشماله وعند الصراط 
                        Maksudnya:
"Pada ketika kepala Rasulullah s.a.w berada pada ribaan 'Aisyah r.a. lalu ia mengantuk. Maka ia pun mengingati tentang hal akhirat lalu menangis hingga menitis air matanya ke atas pipi Rasulullah s.a.w lalu ia terjaga, sabdanya: 'Apakah yang membuat engkau menangis wahai Aisyah'?
Kata Aisyah: 'Aku mengingati hal akhirat, adakah engkau kalian mengingati ahli keluarga engkau kalian pada hari kiamat'. Sabdanya: 'Demi yang diriku di bawah kuasa-Nya, (terdapat) pada tiga (3) tempat maka (pertamanya) seseorang itu tidak mengingati (apa-apa) selain dari dirinya sendiri (iaitu) ketikanya diletakkan penimbang-penimbang dan ditimbang segala amalannya sehinggalah anak Adam itu melihat apakah penimbangnya ringan atau berat dan (keduanya) pada ketika (dibentangkan) segala surat amalan sehingga ia melihat adakah dengan tangan kanannya ia menerima kitabnya (surat amalannya itu) atau dengan tangan kirinya, dan (ketiganya) pada ketika meniti di atas titian 'Sirat'."
Diriwayatkan juga bahawa akan didatangkan kepada anak Adam pada Hari Kiamat hingga didirikan dua daun neraca penimbangan itu dan diwakilkannya dengan seorang malaikat. Jika berat timbangannya maka menyeru malaikat itu dengan suara yang didengari semua makhluk :

       Dan dari Anas:
"يؤتى بإبن آدم يوم القيامة حتى يوقف بين كفتي الميزان ويوكل به ملك فإن ثقل ميزانه نادى الملك بصوت يسمع الخلائق سعد فلان سعادة لا يشقى بعدها أبدا وعند خفة الحسنات تقبل الزبانية وبأيديهم مقامع من حديد عليهم ثياب من نار فيأخذون نصيب النار الى النار"
                         Maksudnya :
"....'Telah bahagia si polan kebahagian yang tidak celaka kemudiannya selama-lamanya'. Jika ringan timbangannya menyeru malaikat itu dengan suara yang didengari oleh semua makhluk :  'Telah celaka si polan dengan kecelakaan yang tidak ada bahagia kemudiannya selama-lamanya'. Pada ketika ringan daun neraca penimbangan pihak kebajikan datang berhadap Malaikat Az-Zabaniah dan di tangan mereka ada pemukul-pemukul daripada besi, mereka berpakaian daripada api neraka dan mereka mengambil akan manusia yang menjadi ahli neraka untuk menghumbankan mereka ke dalam api neraka." 
Demikian juga ada Hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan bahawa dibentangkan titian merentasi di antara tengah-tengah api Neraka Jahanam. Rasullullah s.a.w. adalah orang yang mula-mula melalui titian tersebut dan pada ketika itu semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul berdo'a yang berbunyi :
      "Allahumma Sallim Allahumma Sallim  اللهم سلم اللهم سلم." 
       Yang bermaksud :
         "Ya Allah selamatkanlah oleh Mu." 
Rasullullah s.a.w. sendiri akan hanya boleh memberi syafa'at pada umatnya sekiranya diizinkan Allah . Hadis tersebut ialah :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "يُضْرَبُ الصِّرَاطُ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ جَهَنَّمَ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ أُجِيزُ بِأُمَّتِهِ مِنَ الرُّسُلِ وَلاَ يَتَكَلَّمُ يَومَئِذٍ اِلاَّ الرُّسُلُ وَدَعْوَى الرُّسَلِ يِومَئِذٍ  اللَّهُمَّ سَلِّمْ اللَّهُمَّ سَلِّمْ. وَفِي جَهَنَّمَ كَلاَليِبٌ مِثْلُ شَوْكِ السَّعْدَانِ هَلْ رِأَيْتُمْ شَوْكَ السَّعْدَانِ قَالُوا نَعَمْ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ فَاِنَّهَا مِثْلُ شَوْكِ السَّعْدَانِ غَيْرَ اَنَّهُ لاَ يَعْلَمُ قَدْرَ عِظَمِهَا اِلاَّ اللهُ تَعَالَى تَخْتَطِفُ النَّاسَ بِأَعْمَالِهِمْ فَمِنْهُمْ مَنْ يُوبَقُ بِعَمَلِهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يُخَرْدَلُ ثُمَّ يَنْجُو".
                       Maksudnya :
"Sabda Rasulullah s.a.w. : Dibentangkan titian di antara tengah-tengah api neraka Jahanam, maka adalah aku awal-awal orang yang melaluinya dengan umatnya daripada Rasul-rasul.  Dan tiada berkata-kata pada hari itu melainkan Rasul-rasul.  Perdo'aan Rasul-rasul pada hari itu : Allahuma Salam, Allahuma Salam, اللهم سلم اللهم سلم[Ya Allah selamatkanlah oleh Mu Ya Allah, Selamatkanlah oleh Mu].
Dalam Neraka Jahanam itu ada beberapa penyangkuk besi seperti duri pokok Sa'dan (سعدان) , adakah engkau sekalian melihat duri pokok Sa'dan?Kata mereka : Bahkan, wahai Rasulullah. Sabdanya : Bahawasanya seumpama duri Sa'dan selain daripada bahawasanya tiada mengetahui kadar besarnya itu melainkan Allah Taala, menyambari manusia dengan amalan-amalan mereka,  maka ada  yang binasa dengan amalannya dan  ada yang susah dan terlambat kemudian ia terlepas."
Hadis tersebut amat bertepatan dengan Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah البقرة(ayat al-Kursi) ayat 255 yang tersebut di atas dan : 
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُدَبِّرُ الأمْرَ مَا مِنْ شَفِيعٍ إِلا مِنْ بَعْدِ إِذْنِهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ أَفَلا تَذَكَّرُونَ 
                       Maksudnya :
" ........ Tiada seorang pun yang akan memberi syafa'at kecuali sesudah ada keizinan-Nya. (Zat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu, maka beribadatlah kepada Dia. Maka apakah kamu tidak mengambil pelajaran?"
                         [Al-Quran سورة يونس‎‎ surah Yunus : 3]  

Dalam maksud Hadis yang lain ada menceritakan bahawa Rasullullah s.a.w. itu sendiri diganggu oleh syaitan tetapi setelah membaca ayat-ayat al-Quran syaitan tersebut masih tidak pergi. Pada ketika itu Malaikat Jibrael Alaihisalam ada berhampiran dengannya tetapi Rasullullah s.a.w. tidak meminta pertolongan daripada Malaikat Jibrael yang sangat kuat itu. Apabila melihatkan hal yang demikian itu Malaikat Jibrael A.S. mengajarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan satu do'a seperti berikut:

             أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ الَّتِي لَاْ يُجَاوِزُهَنَّ
بِرٌّ وَلَاْ فَاجِرٌ مِنْ شَرِّ مَا يَلِجُ فِيْ الأَرْضِ وَمَا
يَخْرُجُ  مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ

فِيْهَا وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمِنْ طَوَارِقِ

اللَّيْلِ  وَالنَّهَارِ إِلاَّ طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَن 
                               Maksudnya:
" Aku meminta peliharakan [perlindungan] dengan segala kalimah yang sempurna yang tiada melampaui oleh orang yang baik dan tiada melampauinya oleh orang yang jahat daripada kejahatan barang apa yang masuk pada bumi dan barang apa yang keluar daripadanya, dan barang apa yang turun daripada langit dan barang apa yang naik kepadanya, dan daripada segala fitnah malam dan siang, dan daripada segala yang datang malam dan siang melainkan yang datang mendatangkan dengan kebajikan, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah."
Apabila ia [Rasulullah s.a.w. ] mengatakan [ berdo'a] yang demikian itu maka padam sepotongan nyalaan api itu jatuh ke atas muka syiatan tersebut. 
Terdapat juga  Hadis yang lain mempunyai maksud yang hampir sama  seperti yang diamksudkan seperti berikut :
"Apabila engkau meminta, maka mintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu dengan suatu mudarat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)." 
          [ Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. ]
Hadis-hadis di atas amat bersesuaian dan selaras dengan Firman Allah dalam al-Quran  سورة سبأ surah Saba' ayat 1-2 yang berbunyi :
  الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِي الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ (1) يَعْلَمُ مَاا يَلِجُ فِي الأرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنََ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ الرَّحِيمُ الْغَفُورُ (2)
                  Maksudnya :
." Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dia juga Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. (1) 
Dia Mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun." (2) 
Di samping itu Allah memperingatkan juga supaya hamba-hambaNya memohon perlindungan daripada-Nya dari tipu-daya dan gangguan bisikan syaitan sebagaimana Firman-Nya dalam surah سورة المؤمنون al-Mu'minun ayat 97-98 :
 وَقُلْ رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ (97) وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونِ (98
                       Maksudnya : 
" Dan katakanlah : 'Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. (97)  
Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku dari kedatangan mereka kepadaku." (98) ]
Nas-nas yang dipaparkan ini menjelaskan bahawa setiap sesuatu yang diadakan Allah daripada debu sekecil zarrah hinggalah kepada sebesar-besar kejadian seperti 'Arasy, Kursi dan yang seumpama dengannya itu adalah Allah juga yang mengadakan daripada semata-mata tidak ada kepada ada.. Tidak ada sesuatu barang pun yang terlepas daripada kekuasaan dan pemilikan Allah bahkan kesemuanya di miliki dan di bawah kekuasaan Allah belaka. Justeru seseorang makhluk hamba Allah itu hanya dikehendaki memohon pertolongan daripada Allah sahaja dan bukan daripada sesama makhluk kerana setiap makhluk yang dijadikan Allah itu mempunyai lima [5] kelemahan pada diri masing-masing seperti yang disebut di atas.
Sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai sifat Al-Karim seperti yang yang terkandung di dalam Asma' Ullah Al-Husna yang bererti :
"Yang Amat Berkemurahan yang tiada meluputkan orang yang berwasilah (berbuat ta'at kepada-Nya) dan tiada membiarkan dan tiada meninggalkan orang yang berlindung meminta peliharaan kepada-Nya."
Dia juga memiliki sifat :
               Al-Wahab  yang bererti :
 "Yang Amat Besar pemberian dan penganugerahan Yang Amat Banyak memberi nikmat dan murah Pengurniaan-Nya. [atau ] Yang Maha Besar Taufik dan Pemeliharaan-Nya dan Amat Pengasih dengan tidak payah memohon dan tiada memutuskan Pemberian-Nya kepada hamba-hamba-Nya sama sekali ."
Di samping itu Allah juga  memberi petunjuk dan peringatan supaya berdo'a kepada-Nya dengan menyebut kalimah-kalimah yang terkandung di dalam Asma' Ullah Al-Husna seperti Firman-Nya:
وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
                  Maksudnya :
"Allah mempunyai nama-nama yang sangat indah 'Asma' Ul Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut 'Asma' Ul Husna' itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut ) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
                  [ Al-Quran  سورة الأعراف‎‎  surah Al-A'raaf : 180]

Firman Allah di dalam al-Quran سورة الحشر  surah Al-Hasyr ayat 22-24 memperingatkan lagi:

هُوَ اللَّهُ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ (22)هُوَ اللَّهُ الَّذِي لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ (23) هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (24 
                       Maksudnya :
" Dialah  Allah Yang tiada Tuhan selain Dia. Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.(22)  
Dialah Allah Yang tiada sah diibadatkan selain Dia, Raja Pemerintah Yang Maha Suci. Yang Maha Sejahtera. Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.(23) 
Dialah Allah Yang Menjadikan, Yang Mengadakan (daripada semata-mata tiada kepada ada) Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-nama Yang Paling Indah (Asma' Ul Husna). Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."(24) 
Mungkin terdapat dakwaan yang konon mengatakan bahawa si polan/polanah itu sudah mati dan sudah ditanam di dalam kubur tetapi dia bangkit hidup semula, keluar daripada kubur dan hidup seperti biasa. Andainya terbit dakwaan seperti ini hendaklah ditanya kepadanya perihal Sakaratrul-maut, Fitnah Kubur dan juga Himpitan Kubur seperti yang dijelaskan di dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
" Dan daripada Annas ia berkata : Telah wafat Zainab binti Rasulullah s.a.w. dan adalah ianya perempuan yang sentiasa mengidap sakit. Maka mengikutinya Rasulullah s.a.w. dan mendukacitakan kami halnya. Maka manakala sampai kami kepada kubur ia memasukinya dan berubah mukanya pucat. Tatkala ia keluar berubah mukanya. 
Maka kami berkata: Wahai Rasulullah, kami lihat daripada engkau ada perkara, maka daripada kerana apakah itu? Maka ia bersabda: Aku teringat himpitan anak perempuanku dan bersangatan azab kubur. Maka aku datang dan khabarkan bahawa Allah telah meringankan daripadanya. Sesungguhnya dihimpiti satu himpitan yang didengari suaranya barang yang ada di antara masyriq dan maghrib."
Dalam Hadis yang lain yang mempunyai maksud yang hampir sama :
"Aisyah r.a. berkata bahawa Rasuluillah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya setiap kubur memiliki himpitan. Seandainya seseorang selamat daripadanya, pastilah Sa'ad bin Mu'adz akan selamat...".
Hadis ini memberi penjelasan bahawa setiap mayat [badan batin atau roh atau kedua-duanya mengikut kehendak Allah] yang dikebumikan di dalam kubur menerima himpitan kubur mengikut kadar dan bahagian seseorang. Bagi Zainab, anak perempuan Rasulullah s.a.w. dan juga orang-orang mukmin/mukminat soleh/soleha himpitan ini adalah himpitan sayang seperti ibu memeluk dengan kasih mesra terhadap anak kesayangannya. Sebaliknya bagi mayat dan roh orang-orang kafir dan ahli maksiat yang dimurkai Allah akan mendapat himpitan azab yang amat dahsyat dan sangat menyeksakan.

Dalam hal ini sekiranya orang yang mengaku/mendakwa dirinya sudah mati, mayatnya dikuburkan dan hidup semula balik ke dunia seperti masnusia biasa, hendaklah ditanya mengenai himpitan kubur ini. Demikian juga sekiranya terjadi kes atau kepercayaan yang mendakwa roh orang yang sudah mati masuk ke dalam badan seseorang dan mengaku roh orang alim terkenal, Wali Allah atau roh sesiapa juga, hendaklah ditanya soalan-soalan yang sama dan perihal kesakitan ketika menghadapi Sakaratul-maut, Fitnah Kubur dan Alam Barzakh dan tempat dia berada sama ada di taman yang indah seperti taman syurga atau lubang neraka.
Sekiranya mereka tidak memberikan jawapan yang selaras/sama seperti yang diperjelaskan di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tersebut maka jelaslah dakwaan tersebut adalah dusta/palsu belaka ataupun orang tersebut belum mati tetapi hanya mengalami 'pengsan' sahaja sama seperti dirasuk jin syiatan. 
Sekiranya dia mengaku roh orang alim atau orang-orang tertentu yang masuk di dalam badan 'orang perantaraan' atau orang sakit yang dirawatinya nyatalah yang datang itu ialah makhluk jenis  jin atau syaitan.

[Adalah sudah menjadi lumrah kehidupan manusia khususnya mereka yang sudah sebati dengan kepercayaan dan amalan ini enggan merujuk dan apa tah lagi bertaubat kepada Allah walaupun mereka gagal memberikan jawapan-jawapan yang benar dan mengakui kebenaran ilmu yang berteraskan al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.].

Berbagai-bagai alasan yang diberikan untuk mempertahankan kepercayaan dan amalan salah mereka. Antara jawapan yang biasa diberikan ialah:  "Itu semua hanya pandangan ulama'-ulama' dan orang  syariat yang jahil ilmu tareqat, hakikat dan makrifat.Tok Guru dan Syeikh tareqat si polan adalah ulama' terkenal yang mempunyai ribuan murid dan pengikut setia sejak sekian lamanya, semua orang alim 'berguru' ' berubat' dan merujuk kepadanya", dia adalah 'Wali Allah' yang 'mursyid' dan 'kasyaf' dan bermacam-macam alasan atau dakwaan lagi.

Maka tidak menghairankan sekiranya kepercayaan dan amalan sesat di sebalik  'roh orang mati' ini berpanjangan hingga ke satu masa yang sukar untuk ditentukan atau apabila manusia sudah tidak memerlukan lagi khidmat kebatinan daripada golongan mistik dan kebatinan ini.
Mudah-mudahan penjelasan yang dipaparkan ini dapat membantu untuk menafi, menyanggah dan menolak sama sekali hujah, kepercayaan atau dakwaan yang mengatakan "roh orang yang sudah mati itu boleh balik ke dunia" bagi melakukan apa juga tujuan duniawi sekalipun dan orang yang hidup boleh menyeru meminta pertolongan daripada roh orang yang sudah mati.

Adapun membaca do'a yang disusun dan dijadikan amalan para mukmin solehin,  ulama'-ulama' mujtahid muktabar yang termasyhur, para sahabat Rasullah s.a.w. serta do'a Nabi-nabi adalah sangat digalak dan dituntut oleh syarak kerana do'a-do'a tersebut tersusun dengan bahasa yang begitu indah mengandungi keluasan ilmu pengetahuan yang mudah dibarkati, dirahmati dan dimakbulkan Allah. Do'a-do'a daripada Rasulullah dan Nabi-nabi adalah sama seperti wahyu Allah juga kerana semua kata-kata para Nabi dan Rasulullah s.a.w. adalah datangnya dari wahyu Allah jua.

Kalimah-kalimah yang terkandung di dalam "do'a-do'a" tersebut juga tidak mengandungi sebarang kalimah yang bermaksud 'meminta tolong' kepada makhluk dan tidak mempunyai lima (5) kelemahan seperti yang dijelaskan di atas.
Berubat menggunakan khidmat kepakaran doktor perubatan melalui kaedah dan proses penyelidikan perubatan saintifik berteknologi tinggi terhadap bahan-bahan daripada kekayaan sumber alam tabi'ie adalah sangat digalakkan dan dituntut oleh hukum syarak kerana ilmu perubatan ini mengandungi rahsia menggunakan khasiat-khasiat tabi'ie kekayaan sumber alam yang Allah jadikan untuk kemanfaatan hidup manusia di dunia. 
Ilmu perubatan saintifik juga tidak mengiktiqadkan bahawa roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia untuk melakukan kerja-kerja duniawi dan tidak mengaitkannya sama sekali dengan hal roh orang yang sudah mati yang berada di Alam Barzakh.

Huraian mengenai permasalahan ini telah dilakukan oleh ramai golongan ulama' yang hak sejak sekian lamanya lagi. Mereka yang mempercayai dan mengamalkan perbuatan "bertawassul" kepada roh orang yang sudah mati adalah perbuatan bida'ah sesat dan melarang umat Islam melakukannya.
Namun bagi golongan yang sudah sebati dengan kepercayaan dan amalan tradisi "bertawassul" kepada roh yang didakwa/dipercayai sebagai roh "Wali Allah" yang sudah sekian lama meninggal dunia ini adalah amat sukar untuk bertaubat dan melupuskannya. Mereka amat takut dan mempercayai akan ' ditimpa malapetaka atau tulah guru ' sekiranya kepercayaan ini ditinggalkan dan amalan berbentuk ritual kebatinan ini tidak dilaksanakan. 

Terdapat juga di antara mereka beranggapan bahawa apa yang diperkatakan oleh golongan ulama' tersebut adalah pendapat golongan ulama' syari'at sahaja yang tidak memahami dan mengamalkan perjalanan 'ilmu hakikat' dan tareqat ahli-ahli sufi dari golongan yang bermartabat 'Wal-wali Allah' atau 'Wali Autad' (Pasak Dunia) yang sudah mencapai ke tahap makam tertinggi 'ahli makrifat' Insan Kamil. Lebih-lebih lagi apabila terdapat juga sesetengah golongan ulama' yang bercanggah pendapat mengenai permasalahan ini di samping tidak terdapat penyelesaian atau fatwa muktamad mengenainya daripada pihak berkuasa agama Islam. 

Maka mungkin akan berterusan dan berpanjanganlah permasalahan di sebalik kepercayaan "Roh Orang Mati Boleh Balik ke Dunia" ini diperturunkan dari satu generasi ke satu genarasi seterusnya sehingga menjadi salah satu amalan biasa sahaja yang tidak lagi dianggap satu kesalahan besar atau bida'ah sesat 'bida'ah dhalalah'(بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ) yang ketara kerana sudah menjadi amalan biasa sebahagian besar umat Islam negara/dunia ini. 

Sebaliknya mungkin akan 'difatwakan' pula bahawa sesiapa yang tidak mengamalkan dan menentang kepercayaan ini dijatuhkan hukuman 'sesat' dan terkeluar daripada agama Islam.
Marilah kita sama-sama memikir serta memahami peringatan dan Firman Allah di dalam al-Quran سورة الحجر  surah Al-Hijr ayat 39-42 : 
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأرْضِ وَلأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ   (39) إِلا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ (40) قَالَ هَذَا صِرَاطٌ عَلَيَّ مُسْتَقِيمٌ (41) إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ (42
                           Maksudnya :
" Iblis berkata : Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, (39) 
kecuali hamba-hamba Engkau yang MUKHLIS di antara mereka. (40) 
Allah berfirman : Ini adalah jalan yang lurus; kewajipan Aku-lah (menjaganya).(41)  
Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat."(42)
Demikian juga dengan peringatan Firman Allah dalam  سُوۡرَةُ الکهف surah Al-Kahfi ayat 103-104 ini:
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأخْسَرِينَ أَعْمَالا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104 
                        Maksudnya :
" Katakanlah : 'Apakah akan Kami beritahukan kepada mu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?' (103)
Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatnnya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya."(104)
                         والله أعلمُ بالـصـواب 

[Lihat : 


i.            Kitab Tipu Daya Syaitan 
ii.           Tipu Daya Syaitan Iblis Bhg 2
iii.          Adab Hati Ketika Sakit Tenat Membawa Maut       
iv.          Bilakah Kiamat Dunia Akan Berlaku?
v.           Polemik Wujudiah, Nuur Muhammad dan Awal Makhluk 
vi.          Pembinaan Iktiqad Ahli Sunnah

                     ************************************************************
وَلَوْ أَنَّنَا نَزَّلْنَا إِلَيْهِمُ الْمَلائِكَةَ وَكَلَّمَهُمُ الْمَوْتَى وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَيْءٍ قُبُلا مَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ
                     Maksudnya :
 " Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan (pula) segala sesuatu ke hadapan mereka, nescaya mereka tidak (juga) akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (jahil)."
                          [Al- Quran surah سورة الأنعام  Al-An'aam : 111 ]

                                        *******************************
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنِ‏‎ ‎ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ 
          Maksudnya : 
“Sesungguhnya syaitan itu dapat berjalan pada tubuh anak cucu Adam (manusia) melalui aliran darah.” [HR. Al-Bukhari dan Muslim ]

                            Imej yang berkaitan
Upacara tradisi " Ritual Ma'nene", pemujaan terhadap mayat dengan mayat dikatakan pulang ke rumah melalaui proses ritual khusus adalah budaya dan kepercayaan tradisi masyarakat Toraja di Sulawesi Selatan yang berpegang kepada fahaman berunsur anamisme.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...