Khamis, 25 Ogos 2011

POLEMIK WUJUDIAH, NUUR MUHAMMAD (نورمحمد) dan AWAL MAKHLUK



 

 بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ خَلاَّقُ الْعَظِيْم ،إِنَّكَ سَمِيْعٌ عَلِيْم ، إِنَّكَ غَفُوْرٌ رَحِيْم ، إِنَّكَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم
           أَمَّا بَعْـدُ                 
 
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ
عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَلَئِنْ قُلْتَ
إِنَّكُمْ مَبْعُوثُونَ مِنْ بَعْدِ الْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَذَا
إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ 
      Maksudnya :
“Dan Dia-lah yang mengadakan langit dan bumi dalam 'enam hari', dan adalah 'Arasy-Nya (sebelum itu) di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan jika kamu berkata (kepada penduduk Mekah) : 'Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan sesudah mati', nescaya orang-orang yang kafir itu akan berkata : 'Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata'."
        [Al-Quran surah سورة هود  Huud: 7]
                                 *******************************

قُلْ هَلْ مِن شُرَكَآئِكُمْ مَّن يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ
 قُلِ اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ فَأَنَّى تُؤْفَكُونَ

                         Maksudnya : 
 "Katakanlah : 'Apakah di antara sekutu-sekutumu ada yang dapat memulai menjadikan makhluk, kemudian mengulangi (menghidupkannya) kembali?'. Katakanlah : 'Allah-lah yang memulai mengadakan makhluk, kemudian mengulanginya (menghidupkannya) kembali; maka bagaimanakah kamu dipalingkan (kepada menyembah selain daripada Allah)?'."
[Al-Quran  سورة يونس‎‎  surah Yunus : 34 ]


                      ********************************

        مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى

                          Maksudnya :
" Dan bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain. "
                         [Al-Quran surah  سورة طه  Thaahaa : 55 ]
 
*****************************************


Pemahaman terhadap pengertian wujud atau adanya Allah SWT, kaedah kewujudan alam dan kefahaman terhadap makhluk apakah yang mula-mula sekali diadakan Allah SWT sering menjadi kekeliruan dan salah faham di kalangan umat Islam yang sesetengahnya menjurus kepada kerosakan aqidah dan kesesatan beragama kerana terpengaruh dengan teori-teori  tertentu dan berbagai jenis fahaman falsafah mengikut tafsiran tersendiri ataupun yang merujuk kepada nas al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. yang disalahertikan atau diselewengkan pengertian dan pentafsirannya. 

Dalam kandungan kitab Risalah At-Tawhid yang membicarakan "20 Sifat Allah" atau "Sifat 20" yang begitu terkenal diajarkan di kebanyakan surau, masjid dan sekolah-sekolah di negara ini menyatakan :
"Yang Pertama -Al-Wujud: Ertinya ada, dimaknakan dengan tetap, benar dan sungguh yang wajib bagi Zat Allah SWT yang tiada dikeranakan dengan suatu kerana (?), maka wujud itu di sisi Imam Fakharul bukan ia 'ain mawujud dan bukan lain daripada 'ain mawujud, maka atas qaul ini adalah wujud "khaliah" itu (yang menepati antara ada dengan tiada),  tetapi pada pendapatan Imam Abu Al-Hassan Al-Ashaari wujud itu 'ain al-mawujud yakni itulah zat mawujud kerana tidak disebutkan wujud melainkan pada zat ."
Dalam kitab Kasyfa Al-Asrar pula mengibaratkan wujud Tuhan dengan wujud makhluk itu dikatakan :
"...Adapun zahir sifat ini kepada makhluk tempat memandang sifat Tuhan yang zahir pada makhluk yakni bayang-bayang sifat Tuhan kepada hamba seperti wujud kita bayang-bayang bagi wujud Allah, mustahil wujud bayang-bayang dengan tiada wujud empunya bayang-bayang dan mustahil pula bergerak bayang-bayang dengan tiada bergerak ampunya bayang-bayang dan mustahil pula bercerai bayang-bayang dengan mempunyai barang-barang ...seperti wujud nur matahari menunjukkan ada matahari..."
Terdapat juga tanggapan dan pengajaran yang mengelirukan mengenai asal kejadian alam ini yang besar kemungkinan telah sebati buat sekian lamanya sebagai satu doktrin kepercayaan atau pegangan iktiqad golongan yang mendakwa dirinya sebagai pengamal ajaran tareqat sufi yang digelar atau dianggap sebagai 'mursyid' dan 'kasyaf' atau gelaran-gelaran yang amat mulia oleh para pengikut yang begitu ramai jumlahnya.

Asas kepercayaan ini mengatakan bahawa makhluk yang terawal dijadikan Tuhan ialah 'Nuur Muhammad' (نورمحمد)  dan daripada 'Nuur Muhammad' inilah dijadikan makhluk-makhluk lain seperti malaikat, syurga, neraka, langit dan bumi dan sekalian alam ini. 'Nuur Muhammad' itu dikatakan dijadikan daripada Zat Tuhan. Kepercayaan terhadap adanya 'Nuur Muhammad' ini dikatakan berpunca daripada beberapa ungkapan kata yang didakwa kononnya sebagai Hadis Nabi. Antaranya ialah :
i.    Aku (Muhammad) daripada Tuhan dan kebenaran adalah daripada ku.
         ii.    Aku (Muhammad) daripada Tuhan dan alam ini daripada ku.
iii.  Aku adalah  daripada cahaya Tuhan dan alam ini daripada cahaya ku.
Kata-kata ini dikaitkan pula dengan Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. yang lain bermaksud : 
 i.   Adam ialah bapa segala jasad dan aku [Muhammad] adalah bapa segala roh.
 ii.  Aku [ Muhammad] telah menjadi Nabi semasa Adam masih berada di antara tanah lumpur dan air.
iii.  Aku [Muhammad] daripada Tuhan dan kebenaran adalah daripada aku.
 iv.  Aku [Muhammad] daripada Tuhan dan alam ini daripada aku.
v.  Aku [Muhammad] adalah daripada cahaya Tuhan dan alam ini daripada  cahaya aku.
Dalam konteks yang lain terdapat ajaran yang dikatakan ilmu 'mengkaji diri' yang dikaitkan pula dengan Hadis yang berbunyi :

                    مَن عَرَفَ نـَـفسَهُ فــقد عرَفَ ربًّه 
 ["MAN ARAFA NAFSAHU FAQAD ARAFA RABBAHU" ] 
yang boleh diertikan: 
 "Siapa yang mengenal dirinya mengenal Tuhannya."
Daripada maksud Hadis ini dikaitkan pula dengan andaian teori kejadian manusia itu dikatakan mempunyai beberapa unsur yang terdapat di dalam badan manusia dalam bentuk huruf yang berindukkan huruf: 
"Alif , Lam, Lam,  Ha (  ا. ل. ل. هـ(ALLAH) dan huruf : Mim, Ha, Mim, Dal (.م. ح. م. د) (MUHAMAD) atau huruf : Alif, Ha, Mim, Dal (   ا. ح. م. د)   (AHMAD)." 
Daripada huruf-huruf ini  terdapat pula unsur-unsur berikut yang dikatakan berada di dalam badan manusia :
 i.   Allah, Adam, Muhammad,  Insan Kamil.
 ii.  Api, Air, Angin, Tanah.
iii.  Jibarel, Israfil, Mikail, Izrael.
 iv. Abu Bakar, Umar, Usman, Ali.
Konsep falsafah pemahaman ini dikatakan sebagai Wahdat-al-wujud ( وحدة الوجود ) yang bererti wujud yang satu. Penerapan ilmu yang mengelirukan ini besar kemungkinan telah tersebar luas ke seluruh negara atau dunia Islam buat sekian lamanya tanpa siapa yang dapat mengekang, memperbetul, mengawal apa tah lagi mengharamkannya kerana kemungkinan kurang arif mengenainya hinggakan tidak mempunyai kemampuan untuk menyanggah pengajaran ilmunya yang berselindung di sebalik pemikiran falsafah dan kefahaman ilmu al-sufi/ kebatinan. 
Keadaan ini lebih menyulitkan lagi apabila pengajarannya begitu meluas melalui penyebaran ilmu yang diajarkan kepada masyarakat umum di segenap institusi pendidikan agama yang didokong pula oleh golongan cerdik pandai agama tertentu yang berwibawa, berketrampilan dan berpengaruh di kalangan masyarakat.
Pengajaran 'Al-Wujud' untuk menghuraikan "Sifat Allah Yang 20" atau "Sifat 20" sebagaimana yang terkandung dalam kitab Risalah Tawhid tersebut bukan sahaja boleh mengelirukan fahaman bahkan membawa implikasi pengertiannya yang menjurus ke arah kerosakan aqidah keimanan. 
Ini adalah disebabkan sekiranya wujud Allah itu "khaliah" ( yang menepati antara ada dengan tiada) maka orang yang membacanya boleh menimbulkan perasaan was-was dan syak wasangka kefahamannya dalam hati terhadap kebenaran kitab Allah al-Quran al-Karim adakah ia benar kalam Allah atau bukan kalam Allah disebabkan rasa was-was dan syak wasangka kepada adanya Allah itu adakah "Dia ada atau tidak ada." Perasaan syak wasangka dan was-was ini akan berterusan menjangkiti kepada semua perkara mengenai keimanan dan kebenaran agama Islam.

Huraian yang mengatakan wujud itu
'ain al-mawujud ( عين الموجود ) yakni wujud itu ialah 'zat mawujud' ( ذات موجود ) boleh membawa erti bahawa huruf "Wau, Jim ,Wau, Dal" ( د ,و ,  ج , و ) itu sahaja yang wujud ( وجود ) atau jika ianya diertikan huruf "Alif,( ا) Lam (ل ), Lam (ل ), Ha" ( هـ)itu 'ain mawujud ( عين الموجود ) atau zat mawujud ذات موجود ) maka ini boleh memberi erti bahawa huruf "Alif,( ا) Lam (ل ), Lam (ل ), Ha" ( هـ)  itulah yang sebenarnya Allah ( الله). Dari segi rasionalnya jika demikian maksudnya maka bolehlah disamakan huruf "A, P, I," [Alif, Fa, Ya, ا. ف. ي ] itu ialah 'ain atau sebenarnya api.  Jika sekiranya huruf "A, P, I,"[Alif, Fa, Ya, ا. ف. ي] itu 'ain bagi api maka terbakarlah kertas atau monitor komputer ini. Pengertian seperti ini sangat mengelirukan dan amat nyata sekali salahnya yang boleh merobohkan aqidah keimanan seseorang Muslim .
Maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :

                    مَن عَرَفَ نـَـفسَهُ فــقد عرَفَ ربًّه    
 ["MAN ARAFA NAFSAHU FAQAD ARAFA RABBAHU" ]
yang diertikan;
 "Siapa yang mengenal dirinya mengenal Tuhannya",
bukan bererti diri fizikal yang dihidupkan oleh roh jasmani atau nyawa yang sama juga dengan nyawa binatang tetapi ia merujuk kepada 'Roh Hammalil Amanah' yang hanya terdapat atau diberikan kepada malaikat, jin dan manusia. Sekiranya seseorang itu memahami hal 'Roh Hammalil Amanah' seperti yang  dibicarakan di dalam artikel Masalah Roh yang terdapat dalam blog ini barulah dia dapat memahami dan mengenali melalui 'Ainul Qalbi,  Al-Basirah atau Mata Hatinya akan Tuhannya seperti yang terkandung di dalam pembelajaran Ilmu At-Tawhid.
Badan zahir yang dihidupkan oleh roh jasmani yang terbit daripada darah dan sama hal keadaannya dengan nyawa binatang tidak termasuk dalam bab ini kerana apabila mati ianya hilang lenyap seperti wap sahaja. Namun 'Roh Hammalil Amanah' hidup kekal selama-lamanya untuk menerima amanah Allah dalam segala hal ketika hidup di dunia dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak seperti yang disebut di dalam nas-nas al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Hal jasad fizikal manusia sekiranya menghadapi sakit kebiasaannya dirawat menggunakan ilmu perubatan secara saintifik oleh doktor-doktor perubatan dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing. 
Kaedah rawatan menggunakan perubatan saintifik tidak sesuai sama sekali digunakan pada roh yang mengalami sakit kerana hal keadaannya bukan dalam bentuk fizikal tetapi sama jenis dengan hal keadaan malaikat yang memerlukan rawatan bersesuaian dengannya juga. Justeru adalah satu bida'ah sesat yang begitu ketara sekiranya diiktiqadkan bahawa di dalam diri manusia itu mempunyai unsur-unsur seperti yang disebut di atas dan apa tah lagi mengandungi huruf-huruf kalimah yang dimaksudkan.

Pemahaman iktiqad manusia dalam bab mengenal Allah ini boleh dibahagikan kepada empat [4] golongan sekiranya disuakan dengan pertanyaan bagaimanakah "Ibarat Tuhan dengan makhluk-Nya?." Kesimpulan pemahaman pemikiran manusia mengenai ibarat Tuhan dengan makhluk-Nya ini boleh dirumuskan sebagaimana berikut :
i. Seperti matahari dengan cahaya atau panasnya, ataupun orang dengan bayangnya, ombak dengan buih atau lautnya dan misalan-misalan lain yang seumpama dengannya.

ii. Alam ini dahulu tidak ada, kemudian dia ada dengan sendiri. 

iii. Tuhan ini tempat bagi segala yang baharu.

iv. Alam ini dahulu tiada, kemudian Allah mengadakan dengan Qadarat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim.
Golongan yang pertama hingga ketiga adalah dari golongan yang berfahaman Mu'tazilah dan Ahli Falsafah. Golongan yang ke empat pula adalah dari golongan yang berfahaman dan berpegang kepada Iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak.

Kalimah "Allah"   الله  bukanlah direka oleh makhluk tetapi adalah salah satu nama Allah yang amat mulia dan indah di dalam Asma' Ul Husnaاَسْمَاءُ اللهِ الْحُسْنَى yang tidak terhingga banyaknya tetapi di dalam al-Quran terkandung 99 nama sahaja bagi memperjelaskan Zat dan Sifat-sifat Allah yang Qadim lagi Azali. Setiap kalimah yang terkandung di dalam al-Quran (dan kitabulah-kitabullah yang lain) adalah Kalam Allah yang wahyukan kepada Rasulullah s.a.w. melalui Malaikat Jibrael AS. Jelasnya kalimah "Allah"الله  ini bukanlah sengaja direka-reka oleh para Malaikat, Nabi, Rasul, manusia dan jin. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui akan Zat (Diri-Nya) dan Sifat-Nya sendiri yang Qadim lagi Azali. 

Tanpa perkhabaran dan penjelasan daripada Wahyu-Nya semua makhluk Allah tidak terdaya memikir, mengetahui dan mengenali sama sekali Qadimnya Zat [Diri] dan Sifat Allah yang tidak menyamai segala sesuatu walau dalam apa jua hal, jalan dan cara sekalipun. Manusia yang mencuba membuat andaian menggunakan kebijaksanaan akalnya sendiri untuk mengenali dan memahami Allah akan terdedah dengan berbagai-bagai prasangka dan andaian yang menjurus ke jalan buntu yang mengelirukan diri sendiri dan orang lain yang akhirnya menjerumuskan mereka kepada kesesatan beragama. 
Maksud Pengertian kalimah "Allah"الله  yang terkandung di dalam Asma' Ullah al- Husnaاَسْمَاءُ اللهِ الْحُسْنَى ialah :
"ALLAH الله- ialah sehabis-habis besar nama-nama Allah yang amat mulia dan indah bagi menunjukkannya ke atas Zat Yang Maha Tinggi Darjat atau “Martabat” yang berhimpun bagi kesemua sifat ketuhanan."
Pengertian ini memberi erti kesemua nama Allah yang terkandung di dalam Asma' Ul Husna yang tidak terhingga banyaknya itu terhimpun di dalam kalimah "Allah" الله . 
Pegangan iktiqad keimanan Ahli Sunnah wal Jemaah adalah sebagaimana yang diperjelaskan di dalam "Terjemah Aqidah Ahli Sunnah wal Jemaah Pada Makna Syahdat At-Tauhid" yang antara lain mejelaskan bahawa :
         AT-TANZIHU  (الـتـنـزيه )
".....Maka sebelum ada masa dan tempat (الزمان والمكان),  lapang, cahaya, warna, rupa, huruf, suara, sukatan, bilangan, ukuran, gerak, diam, sunyi, senyap; dan sebelum ada 'Arasy, Kursi, syurga, neraka, tujuh lapis langit dan bumi dan segala isinya; dan sebelum ada apa-apa juga benda pun, barang yang diadakan oleh Allah Taala itu, maka Allah Subhanahu Wa Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza itu , Ia-Nya ada sebagaimana Ia ada itu juga; yang sentiasanya Ia ada dan selama-lamanya Ia ada; mempunyai kebesaran, kemuliaan dan kesempurnaan.  
Maka makna hampir Tuhan itu ialah hampir rahmat dan nikmat-Nya; dan berserta Tuhan itu ialah berserta rahmat pertolongan dan nikmat-Nya. Maka tidak menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk dan tidak menyamai persertaan Tuhan itu dengan persertaan makhluk, sebagaimana juga Zat Tuhan itu tiada menyamai zat makhluk; dan Tuhan itu tidak menerimai perubahan, perpindahan, sebagaimana juga Zat Tuhan itu tidak menyamai segala zat yang baharu, dan tidak zat-zat yang baharu itu menyamai Zat Tuhan, dan Zat Tuhan itu tidak masuk bersatu-padu pada zat-zat yang baru dan tidak zat-zat yang baru itu masuk bersatu-padu pada Zat Tuhan. Bahkan sentiasalah Allah Subhanahu Wa Taala Tuhan kita  Jalla Aza Wajalla itu  dengan kemuliaan dan kesempurnaan-Nya yang tidak sesekali menyamai sesuatu daripada segala makhluk-Nya dan tidak sesekali menerimai berlebih dan berkurang kemuliaan Allah Subhanahu Wa Taala....."
Berbagai kepercayaan tanggapan dan kontroversi telah sekian lama wujud untuk membicarakan tentang makhluk apakah yang mula-mula diadakan Allah. Terdapat tanggapan umum yang begitu ketara bahawa awal-awal makhluk yang dijadikan Allah ialah 'Nuur Muhammad' (نورمحمد) seperti yang disebut pada perenggan di atas. 
Pemahaman terhadap Nuur Muhammad amat sukar untuk disanggah kerana kebanyakan orang tidak memahami dengan jelas apakah yang sebenarnya 'Nuur Muhammad' ini dan apakah kaitannya awal makhluk dengan aqidah keimanan orang Islam. Mereka diyakinkan lagi dengan kata-kata yang tidak dipastikan kebenarannya yang didakwa sebagai Hadis Rasulullah s.a.w. seperti berikut:                      
أن الله خلق روح النبي صلى الله عليه وسلم من ذاته وخلق العالم بأسره من نور محمد صلى الله عليه وسلم 
            Maksudnya: 
i."Sesungguhnya Allah menjadikan roh Nabi Muhammad s.a.w. dari Zat-Nya dan dijadikan alam seluruhnya dari Nur Muhammad s.a.w. 
أنا من الله والمؤمن مني
                Maksudnya :
ii."Aku dijadikan daripada Allah (daripada Nur Ilahi) dan orang mukmin dijadikan daripada aku."
Polemik 'Nuur Muhammad' ini terus berlarutan tanpa penyelesaian dan ia boleh menimbulkan kekeliruan yang ketara. Berbagai-bagai persoalan boleh dibangkitkan mengenai pemahaman terhadap 'Nuur Muhammad' ini.  Antaranya ialah :
i.  Sekiranya 'Nuur Muhammad' dijadikan daripada Zat Allah bermakna 'Nuur Muhammad' itu adalah sebahagian daripada Allah. Pemahaman ini boleh memberi erti, sekiranya sekalian alam ini daripada 'Nuur Muhammad' maka alam ini juga daripada Zat Allah dan boleh dikatakan apa yang wujud ini Allah belaka. Jika sekiranya 'Nuur Muhammad' itu daripada Tuhan dan zat 'Nuur Muhammad' itu berlainan, adakah Zat Tuhan itu ada berjuzuk? Sekiranya Zat Tuhan itu berjuzuk, ini boleh membawa erti bahawa Tuhan itu mempunyai ukuran kecil besar dan memerlukan tempat yang melazimkan bagi sesuatu zat yang berjuzuk sedangkan masa dan tempat adalah makhluk Allah juga yang dijadikan daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan kehendak Allah yang Qadim berbetulan dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali. 
Bagaimana pula dengan Firman Allah dalam surah al-Ikhlas سورة الإخلاص ayat 3-4 yang bercanggah dengan pemahaman tersebut?
                 4)لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ 
            Maksudnya :
" Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan,         
dan tidak ada seseorang/sesuatu pun yang setara dengan Dia."  
Sesungguhnya Allah itu Qadim Sifat dan Zat-Nya. Justeru jika Allah itu Qadim maka ukuran, sukatan dan tempat pun Qadim juga. Bila semuanya sudah Qadim bermakna tempat itu wujud dengan sendiri dan bukan dijadikan Allah.  Apa yang wujud di dalam alam ini juga bukan dijadikan Allah kerana semuanya Qadim belaka atau wujud dengan sendiri belaka. Kesimpulan iktiqad ini ialah Tuhan itu sebenarnya tiada. Jika kesemua yang ada di bumi ini Allah belaka atau bayangan Allah, maka tidak perlulah berikhtiar untuk hidup kerana semuanya sudah menjadi Tuhan belaka!
ii.  Sekiranya 'Nuur Muhammad' itu makhluk yang terawal/yang mula-mula dijadikan Allah,  apakah sebenarnya 'Nuur Muhammad' itu? Adakah ianya cahaya ? Jika sekiranya 'Nuur Muhammad' itu cahaya Nabi Muhammad adakah cahaya itu berjuzuk yang mempunyai ukuran besar atau kecil ? Walau sebesar mana atau sekecil mana sekalipun cahaya tersebut, ia adalah berjuzuk dan setiap sesuatu yang berjuzuk memerlukan tempat untuk berdiri.  Jika sekiranya tempat belum diadakan lagi di manakah cahaya 'Nuur Muhammad' yang berjuzuk itu boleh berdiri kerana masa, tempat,terang, gelap, warna, lapang, padu, suara, huruf, sunyi, gerak, diam dan apa juga sesuatu atau makhluk kejadian yang memerlukan tempat belum diadakan lagi ?
iii.  Semulia-mulia makhluk di sisi Allah adalah kerana taqwanya. Adakah 'Nuur Muhammad' yang didakwa sebagai semulia-mulia makhluk/kejadian itu mempunyai sifat-sifat ketaqwaan ? Jika tidak apakah ciri-ciri kemuliaan 'Nuur Muhammad' itu ?
iv.  Setiap makhluk seperti malaikat, jin, manusia, haiwan dan sebagainya ada mempunyai lima [5] kelemahan pada diri mereka iaitu; tidak memiliki bagi dirinya sendiri :
 1. kemanfaatan, 2. kemudaratan, 3. kematian, 4. kehidupan, dan 5. bangkit hidup semula kemudian daripada mati.
Adakah 'Nuur Muhammad' ini ada mempunyai ke lima-lima kelemahan tersebut ?
v. Sekiranya 'Nuur Muhammad' itu ialah Roh Nabi Muhammad s.a.w. nyatalah salahnya kerana Roh Nabi Muhammad belum dijadikan lagi sebelum diadakan jasad [janin] dalam kandungan rahim perut ibunya. Rohnya hanya baru diadakan dengan serta merta apabila Malaikat Roh meniupkan roh kepada janin bayi Nabi Muhammad apabila tiba tempoh masa kandungan di dalam rahim perut ibunya dengan perintah Allah. 
 vi.  Di dalam al-Quran surah سُوۡرَةُ الکهف  Al-Kahfi ayat 110 Allah berfirman :
 قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا 
                               Maksudnya : 
" Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku : 'Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa.' Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan seseorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya."
[Lihat : 

AHLI SYURGA MELIHAT ALLAH DI AKHIRAT DENGAN MATA KEPALA


Ayat al-Quran surah al-Kahfi : 110 ini menjelaskan bahawa kejadian Nabi Muhammad adalah melalui proses tabi'ie biasa seperti manusia lain juga. Yang membezakannya baginda terpelihara dari sebarang dosa kesalahan (maksum), diutuskan wahyu dan dibangkitkan menjadi Rasul Pesuruh Allah. Baginda  dimuliakan Allah dengan pengurniaan sifat-sifat mahmudah yang amat terpuji mengatasi sekalian Nabi, Rasul, manusia dan jin sebagaimana yang termaklum. Adakah ini yang dimaksudkan sebagai 'Nuur Muhammad'?

Bagi menjawab persoalan, kekeliruan dan kekusutan pemahaman ini seseorang itu hendaklah memahami bahawa Perbuatan Allah itu dibahagikan kepada dua [2]  iaitu:
i. Perbuatan Allah yang mengikut hukum tabi'ie.
      ii. Perbuatan Allah yang di luar tabi'ie.

Perbuatan Allah yang mengikut hukum tabi'ie sesuatu benda atau makhluk itu mudah difahami seperti api tabiat atau sifat [ tabi'ie] semula jadinya seperti dikatakan bahawa sifat api itu panas, sifat air batu (ais) itu sejuk, sesuatu benda yang berat jatuh dari atas ke bawah dan bermacam-macam contoh hukum alam tabi'ie  lain yang mudah difahami otak logik pemikiran manusia biasa yang bersandarkan kepada pancaindera yang lima dan hukum tabi'ie alam.
Perbuatan Allah yang di luar hukum tabi'ie amat sukar untuk difahami oleh akal logik pemikiran manusia biasa kerana ia bertentangan sama sekali dengan hukum tabi'ie dan sifat sesuatu benda itu. Hakikat ini dapat dilihat pada mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada Nabi-nabi Allah Alaihimussalam apabila mereka berhadapan dengan sesuatu kesusahan yang amat menyulitkan yang tidak mampu diatasi.  Misalannya laut yang terbentang luas itu terbelah dua dengan serta merta apabila Nabi Musa a.s. mengetuknya menggunakan tongkatnya apabila Allah mewahyukan kepadanya berbuat demikian untuk menyelamatkan dirinya dan pengikut-pengikutnya dari kalangan bani Israil yang dikejar oleh Fira'un bersama tentera-tenteranya.

Peristiwa ini memang tidak atau teramat sukar diterima oleh akal manusia biasa seperti Fir'aun yang hanya semata-mata bersandarkan kepada logik akalnya sahaja dan tidak terlintas di hati dan fikirannya bahawa laut yang begitu luas yang terbelah dua itu boleh terkatup semula dengan serta merta juga setelah Nabi Musa a.s. dan pengikut-pengikutnya selamat sampai di seberang. Fir'aun dan tentera-tenteranya binasa karam ditelan laut kerana membuat keputusan bersandarkan kepada hukum logik akal dan tidak memahami Perbuatan Allah di luar hukum tabi'ie alam.

Sifat tabi'ie yang ada pada api ialah mempunyai kuasa pemanas yang boleh membakar dan membinasakan sesuatu benda. Namun apabila Nabi Ibrahim a.s. dicampakkan oleh Raja Namrod yang zalim itu ke dalam julangan api yang membakar hangus menjadi abu kesemua kayu api yang menjadi bahan bakarannya. Namun dengan perintah Allah api tersebut tidak membakar dan membinasakan Nabi Ibrahim a.s. yang merasakan api itu sejuk dingin sahaja terhadap tubuh badan fizikal Nabi Ibrahim a.s. seperti Firman Allah :
قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانْصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ (68
قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلامًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ (69) وَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الأخْسَرِينَ (70
                                    Maksudnya:
" Mereka berkata : 'Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak.' (68) 
Kami berfirman: ' Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim.'(69) 
Mereka hendak berbuat makar terhadap Ibrahim, maka Kami menjadikan mereka itu orang-orang yang paling merugi."(70)

    [Al-Quran surah سورة الأنبياء  Al-Anbiyaa' : 68-70]
Peristiwa malam Isra' dan Mikraj juga adalah satu mukjizat Allah yang sangat besar hikmah pengajarannya yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk melalui perjalanan yang begitu jauh menggunakan kenaikan binatang Al-Buraq yang didatangkan khas daripada syurga dengan mengambil masa begitu pantas yang tidak dapat diterima dan tidak sesekali terfikir oleh logik akal manusia biasa.
Begitu juga dengan hal kejadian Nabi Isa a.s. adalah di luar tabi'ie kerana dia tidak melalui proses kejadian mengikut tabi'ie seperti manusia biasa yang memerlukan percantuman benih antara lelaki dan perempuan.  Nabi Isa a.s. hanya dijadikan daripada benih ibunya Siti Mariam sahaja dengan kehendak dan Qadrat Allah berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.
  
Hal keadaan yang sama juga berlaku semasa Nabi Adam Alaihisalam dijadikan daripada tanah yang dibentuk oleh para malaikat dengan perintah Allah. Lembaga berbentuk manusia daripada tanah tersebut bertukar dengan serta merta menjadi tubuh badan manusia yang dinamakan (Nabi) Adam Alaihisalam yang serba sempurna dan amat elok sifatnya apabila Malaikat meniupklan roh padanya dengan perintah Allah.

Sebahagian daripada contoh-contoh tersebut dan banyak lagi contoh pengajaran lain yang diperjelaskan di dalam al-Quran kitabullah dapat memberikan pengajaran dan kefahaman bahawa Qadrat dan Perbuatan Allah adalah Qadim iaitu tidak sesekali menyamai perbuatan dan qadrat sekalian makhluk-Nya tanpa misal dan tanpa ibarat dengan begitu mudah dan amat pantas kejadiannya.
Sekiranya seorang raja yang zalim memerintahkan seorang hamba Allah supaya mengadakan sebiji pasir yang bukan berasal dari apa-apa pun dan sekiranya dia dapat mengadakannya akan diberi upah beribu juta ringgit, tetapi sekiranya dia gagal dan tidak berupaya mengadakannya akan dipancung lehernya. Sudah pasti hamba Allah tersebut rela dibunuh sahaja kerana tidak berupaya sama sekali bagi akalnya memikirkan atau mumpunyai qadrat untuk mengadakan sebutir pasir tanpa berasal dari apa-apa bahan pun.
Jika ditakdirkan pula ada seorang mukmin soleh yang berdo'a dengan penuh ikhlas kepada Allah supaya diadakan seekor semut yang bukan berasal daripada telur, ibu, bapa atau daripada apa-apa bahan pun, tiba-tiba dengan serta merta itu juga wujud seekor semut di hadapannya cukup dengan segala sifatnya. Siapakah yang mengadakan semut ini? Berkuasakah Allah mengadakan semut tersebut yang tidak berasal daripada sesuatu apa jua pun? 

Sudah tentu dan sudah semestinya Allah Maha Berkuasa berbuat demikian dengan begitu mudah lagi pantas, lebih pantas daripada kerlipan mata dan gerak lintasan hati. Dalam hal ini dapat difahami juga bahawa Allah Maha Berkuasa mengadakan langit dan bumi dan sekalian makhluk-Nya tanpa berasal daripada apa-apa pun jika Dia kehendaki, lebih cepat daripada segerak lintasan hati tanpa misal dan tanpa ibarat. Demikianlah betapa ajaibnya Qadrat dan Perbuatan Ijadi Allah yang Qadim itu.

Qadrat dan kekuasaan Allah ini amat bertepatan dengan pengertian daripada nama-nama Allah yang amat indah seperti yang terkandung di dalam Asma' Ul Husna iaitu

 i. AN-NUUR النور   :
"Yang Menzahirkan, bagi setiap yang tersembunyi dengan mengeluarkannya kepada ada. Yakni; Yang Mengadakan, bagi setiap suatu yang tidak ada daripada semata-mata tiada wujudnya sama-sekali kepada ada dengan tiada berasal daripada sesuatu apa pun."
ii. AL-KAHLIQ الخالق: 
"Yang Mengadakan, bagi segala sesuatu dengan Qudrat-Nya, menurut Ilmu dan Kehendak-Nya (atau) Yang Menzahirkan (Mengadakan) semua barang yang ada dengan Qudrat-Nya dan Mentakdirkan (Menentukan) tiap-tiap suatu daripadanya dengan kadar tertentu dengan Kehendak-Nya, menurut Hikmah-Nya. (على مقتضى حكمته)"
iii. AL-BARIU' البارئ: 
Yang Mengadakan, bagi segala sesuatu dengan ketiadaan misal (contoh) yang lalu.


 Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada menyebutkan yang bermaksud :
"Sabda Nabi Munhammad s.a.w.: Diadakan oleh Allah SWT akan roh-roh dahulu daripada jasad-jasad dengan 2000 tahun." 
Roh-roh yang dimaksudkan dalam Hadis ini ialah roh malaikat bernama 'Aqal' atau 'Kalam' [malaikat yang sama] dan jasad-jasad yang dimaksudkan bukanlah jasad manusia tetapi jasad alam iaitu al-Arasy, al-Kursi, segala lapisan langit dan bumi, bintang-bintang, syurga, neraka, udara dan sebagainya. Malaikat adalah makhluk-makhluk yang paling mulia, paling taat, amat bijaksana dan sangat bertaqwa kepada Allah dan ukuran juzuk sebenarnya adalah amat besar.
Menurut Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. , Malaikat Israfil AS sangat besar saiz ukuran dirinya hinggakan al-'Arasy yang lebih besar daripada langit dan bumi itu berada di atas bahunya dan dia yang ditugaskan meniup sangkakala Hari Kiamat kelak sudah meletakkan alat peniup yang seperti trompet tersebut pada mulutnya. Besar pangkal tiupan itu sahaja adalah sebesar langit dan bumi. Rupa asal Malaikat Jibrael AS pula seperti yang dilihat oleh Rasullullah s.a.w. di Baq'i, Madinah menutupi setiap ufuk ruang langit hingga menyebabkan Rasullullah jatuh pengsan kerana tidak terfikir sama sekali ada makhluk Allah yang sebesar ini.

Para malaikat juga sangat takutkan azab api neraka hinggakan apabila Malaikat Jibrael AS menceritakan hal keadaan api neraka kepada Rasullullah s.a.w. dia menangis. Menurut katanya lagi apabila dijadikan api neraka semua malaikat tidak pernah ketawa dan tidak pernah mengamankan diri mereka daripada kemurkaan Allah kerana mereka sangat takut dengan apa yang berlaku terhadap Iblis.
Adapun hakikat roh malaikat itu ialah ada berjuzuk yang tiada boleh dibahagi-bahagi sehingga dengan tidak perlu ada tempat mereka boleh diadakan oleh Allah SWT dengan Qadrat-Nya tetapi Zat Allah TIDAK berjuzuk. 

Di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan :

خلقت الملآئكت من نور وخلق الجان من مارج من نار وخلق  ادم  مما وصف لكم
                        Maksudnya :
" Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, sedangkan jin daripada nyalaan api dan Adam dijadikan daripada apa yang telah diterngkan kepada kamu semua (daripada tanah)." [HR Muslim dan Aisyah]
Sungguhpun nas tersebut menyatakan malaikat dijadikan daripada cahaya tetapi malaikat yang terawal atau yang mula-mula dijadikan Allah iaitu roh Malaikat bernama 'Aqal atau Kalam bukan dijadikan daripada cahaya (Nur). Dia dijadikan tanpa apa-apa asal pun kerana sekiranya dia dijadikan daripada cahaya bererti cahaya yang mula-mula dijadikan dan bukan malaikat. Cahaya itu pula memerlukan tempat untuk berdiri sedangkan tempat belum lagi diadakan Allah.


Dalam satu Hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah al-Mubarak daripada Muaz bin Jabal r.a. yang ringkasan intipatinya bermaksud :
"....... Aku dengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada aku : Wahai Mu'az. Kataku : 'Ya, dengan bapa ku, kau dan ibu ku wahai Rasullullah'. Sabdanya : 'Aku mengkhabarkan kepada engkau satu Hadis jika kau menghafaznya nescaya memberi manfaat kepada engkau dan jika kau mencuaikannya dan tidak menghafaznya nescaya terputus hujjah engkau di sisi Allah pada Hari Kiamat. Wahai Muaz bahawasanya Allah SWT mengadakan tujuh orang malaikat sebelum mengadakan segala lapisan langit dan bumi. Kemudian Ia mengadakan segala lapisan langit dan Ia jadikan tiap-tiap satu lapisan langit itu seorang malaikat yang menjaga pintu ke atasnya dan membesarkannya kemuliaan Allah.......' " [hingga akhir Hadis ]
Hadis ini dengan jelas menerangkan sebelum diadakan lapisan langit dan bumi Allah mengadakan terlebih dahulu tujuh [7] orang malaikat khusus untuk menapis cahaya pahala ibadat orang-orang mukmin daripada sifat-sifat mazmumah sebelum diterima Allah sedangkan Nabi Adam a.s. dan semua manusia belum lagi wujud diadakan Allah. Hakikat ini memperjelaskan lagi bahawa malaikat dan ibadat itu amat mulia dan lebih diutamakan di sisi Allah berbanding makhluk-makhluk lain walaupun segala lapisan langit dan bumi.


Makhluk Allah itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu :
i.  Makhluk Allah yang zatnya [dirinya] ada berjuzuk tetapi tidak boleh dibahagi-bahagi dan ianya boleh ada dengan tidak perlu ada tempat. Makhluk ini dinamakan Alam Al-'Ammar. Alam di sini bukan dimaksudkan sebagai tempat bagi sesuatu tetapi adalah nama bagi sesuatu barang atau makhluk Allah ataupun boleh ditakrifkan sebagai tiap-tiap barang yang ada selain daripada Allah dinamakan alam. 
Ini bererti roh, bulan, bintang ,matahari, cahaya dan sebagainya itu selain daripada Allah dinamakan alam. Roh malaikat yang mempunyai hakikat iaitu ianya ada mempunyai juzuk yang tiada menerima bahagian-bahagian dan tidak perlu adanya tempat ia boleh ada, maka ini atas nama Alam Al-'Ammar .
 ii.  Al-Arasy, al-Qursi dan yang lain-lain lagi itu mempunyai juzuk dan menerima bahagi-bahagi mempunyai sukatan dan hanya boleh ada setelah diadakan tempat dan ini dinamakan Alam Al-Khaliq. .
Berdasarkan penjelasan ini dapat difahami bahawa sekiranya terdapat istilah atau sebutan perkataan Alam Al-Roh bukanlah dimaksudkan sebagai tempat roh berada di dalamnya tetapi diertikan sebagai tiap-tiap satu roh itu dinamakan alam. Sekiranya dirujukkan kepada perbincangan apakah awal makhluk, ianya dimaksudkan sebagai roh malaikat dan bukan roh manusia.

Ini memberi erti bahawa Alam Al-Roh yang disangka atau sering dirujuk sebagai tempat roh manusia berada sebelum wujudnya jasad adalah ternafi sama sekali kerana tidak ada tempat untuk menyimpan roh atau pun ada tempat roh menunggu sebelum diadakan manusia. Wujudnya roh Nabi Adam a.s. hanya berlaku apabila Malaikat Roh meniupkan roh kepada lembaga Adam yang diperbuat daripada tanah oleh para malaikat dengan perintah Allah. Begitu juga dengan roh Nabi Muhammad s.a.w. hanya wujud dengan serta merta apabila Malaikat Roh meniupkan roh kepadanya ketika ia berada dalam kandungan rahim perut ibunya dengan perintah Allah.

Dalam hal ini Malaikat Roh tidak menyimpan di dalam dirinya roh Nabi Muhammad s.a.w., Nabi Adam a.s., kesemua Nabi-nabi a.s. dan roh semua manusia. Malaikat Roh meniupkan roh pada jasad manusia ini adalah dengan perintah Allah hanya sebagai syarat atau penyebab sahaja untuk menyempurnakan kejadian manusia yang berbeza daripada binatang.

Kesemuanya ini menunjukkan keajaiban perbuatan Allah dan hakikat Qadrat Allah yang Qadim yang tidak dapat difikirkan sama sekali oleh akal minda manusia dan semua makhluk-Nya yang serba lemah dan terbatas keupayaannya. Maka tertolaklah dakwaan-dakwaan atau fahaman-fahaman yang mengatakan bahawa 'Nuur Muhammad'(نورمحمد) itu ialah 'awal-awal makhluk' yang dijadikan Allah sebelum diadakan masa, tempat dan segala makhluk Allah .
Bagi menyelesai dan memperbetulkan kepercayaan-kepercayaan dan kefahaman-kefahaman yang mengelirukan dan boleh merosakkan aqidah keimanan seseorang Muslim usaha-usaha hendaklah dibuat untuk membuang kesemua fahaman yang bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menggantikannya dengan kefahaman yang sahih kebenarannya seperti yang terkandung di dalam kitab Al-Ihya' Ulumuddin dalam bab Qawaid Al-Aqaid yang menghuraikan dengan jelas Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Syahadat Al-Tawhid dan Syahdat Al Rasul , Asma' Allah Al-Husna , Hadis Rasulullah s.a.w.  yang menjelaskan Allah Memuji Diri-Nya Sendiri dan bahan-bahan rujukan lain yang berkaitan. 

Dalam konteks ini satu perancangan strategi dan pelaksanaan bagi jangka pendek dan jangka panjang hendaklah dilakukan oleh semua pihak yang dipertanggungjawabkan agar bahan-bahan rujukan penting tersebut diterjemahkan dengan sebaik-baiknya ke dalam Bahasa Melayu mengikut kehendak ilmu para ulama' karyawan asal yang menghasilkannya dan selaras dengan pengertian sebenar ilmu aqidah At-Tawhid yang hak.

Pengajaran aqidah yang mantap dan sahih mengikut pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terdapat di dalam bahan-bahan rujukan tersebut hendaklah diajar dan diterapkan dengan mantap sebagai ilmu teras kepada semua golongan masyarakat daripada peringkat keluarga, kariah surau dan masjid, sistem pendidikan dan pembelajaran agama di sekolah-sekolah dan media massa secara menyeluruh dan berterusan. 

Persoalan ini adalah tersangat penting dan perlu diberikan keutamaan kerana kesalahan atau kebenaran dalam bab aqidah At-Tawhid dan keimanan menentukan seseorang itu berkekalan hidup penuh kebahagaian dan kenikmatan  di dalam syurga atau berkekalan selama-lamanya menerima azab seksa di dalam nerakaWallahu 'Alam.

[  Lihat : 
              i.   Perbandingan Iktiqad Orang Melayu Bhg 1
           ii.  Pembinaan Iktiqad Ahli As-Sunnah ]


*******************************************
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
                           Maksudnya :
"Manusia itu adalah umat yang satu, (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi ingatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus."
                       [Al-Quran  سورة البقرة surah Al-Baqarah : 213 ] 

                               ***********************************************

               Rasulullah s.a.w. bersabda :
وَقِيلَ يَا رَسُولَ الله : اَيُّ الاَعْمَالِ اَفْضَل. فَقَالَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَقِيلَ اَيُّ الْعِلْمِ تُرِيدُ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَمَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ سُبْحَانَهُ. فَقِيلَ لَهُ: نَسْأَلُ عَنِ الْعَمَلِ وَتُجِيبُ عَنِ الْعِلْمِ . فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ:  اِنَّ قَلِيلَ الْعَمَلِ يَنْفَعُ مَعَ الْعِلْمِ بِاللهِ وَاِنَّ كَثِيرَ العَمَلِ لَا يَنْفَعُ مَعَ الجَهْلِ بِاللهِ.
                            Maksudnya : 
" Sesungguhnya telah dikatakan kepada Rasulullah s.a.w.:  'Apakah amalan-amalan yang lebih afdhal?'. Maka sabdanya : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah Azawajalla.' Maka ditanya : 'Apakah dia ilmu yang engkau kehendaki itu?.' Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah SWT.' Maka ditanya kepadanya: 'Kami menanya daripada amalan dan engkau menjawab daripada ilmu.' Maka sabda Nabi Muhammad s.a.w.: 'Bahawasanya sedikit amalan itu memberi manfaat berserta adanya ilmu pengenalan kepada Allah SWT dan bahawasanya banyak amalan itu tiada memberi manfaat berserta kejahilan ilmu pengenalan kepada Allah Subhanahuwatalla'."



 

   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...