Rabu, 28 Ogos 2013

KAEDAH MUDAH UNTUK MEMAHAMI ASAS ILMU AQIDAH PADA MAKNA SYAHDAT AT- TAUHID DAN SYAHDAT AR-RASUL


                                                                     



     Related image

                                       

                                              بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْمَلِكِ الْحَقِّ الْمُبِيْنِ، الَّذِي حَبَانَا بِالْإِيْمَانِ واليقينِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد،ٍ خَاتَمِ الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِين، وَعَلَى آلِهِ الطَّيِّبِيِن، وَأَصْحَابِهِ الأَخْيَارِ أَجْمَعِين، وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.    
أَمَّا بَعْدُ                                        

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

                       Maksudnya :
"Sesungguhnya Aku ini adalah Allah; tidak ada Tuhan selain Aku; maka ibadatkanlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.
                              [Al-Quran سورة طه‎‎ surah Thaahaa : 14] 
          ********************************
Setelah membaca dan memahami  Kitab Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Syahdat At Tauhid dan Syahdat Ar-Rasul
       أشهد أن لا اله الا الله وأشهد ان محمد رسول الله 
adalah amat penting ibu bapa mengajar anak-anak mereka mengenai kandungan Ilmu At-Tauhid yang terkandung di dalamnya agar anak-anak dapat memahami, meyakini dan menghayatinya di sepanjang hayat sebagai pegangan aqidah keimanan yang hak. 

Bagi memudahkan lagi kefahaman mereka terhadap ilmu fardhu ‘ain yang dianggap rumit tetapi sangat penting ini adalah amat bermanfaat sekiranya kaedah pemahaman melalui SOALAN (S) dan JAWAB (J)  seperti di bawah ini dapat digunakan sebagai panduan.

MENGENAL ALLAH


S.            Siapa Tuhan kita?

J.        Tuhan kita ialah Allah Yang mengadakan sekalian alam.


S.         Apa itu alam?

J.          Apa jua barang yang diadakan oleh Allah yang tiada terkira banyaknya, dinamakan alam.                        


S.          Sebelum Allah mengadakan alam, apakah yang ada?


J.          Hanya Allah Taala Azawajalla sahaja  yang ada, tiada tempat, tiada lapang, tiada masa dan lain-lainnya.

                     

S.          Dengan apa kita mengenal dan mengetahui Allah?

J.          Kita mengenal dan mengetahui adanya Allah itu dengan “akal pada syarat iaitu  mata hati atau dinamakan juga 'ainul qalbi atau  al-basirah. 
            Kita mengenal dan mengetahui makhluk Allah dengan “akal fikiran” melalui   pancaindera yang  lima.


S.          Apa itu pancaindera yang lima?

J.           Pancaindera yang lima ialah:

                i.          deria bau (hidung)
                ii.          deria sentuh (kulit)
                iii.         deria rasa (lidah)
                iv.         deria dengar (telinga)
                v.          deria lihat (mata)

S.            Bagaimana kita boleh mengenal Allah?

J.        Kita mengenal Allah melalui kitab-Nya (al-Quran) yang mulia yang dipersampaikan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w yang dibangkitkan oleh Allah menjadi Rasul-Nya  kepada sekalian manusia dan jin. Maka mengetahuilah sekalian hamba-Nya  bahawa Allah Taala itu Ada, Maujudun (موجود), Qadimun (قديم) , Azaliun (ازلي) , Baqin (باق)  .


S.          Apakah maksud  “Maujudun (موجود), Qadimun (قديم) , Azaliun (ازلي) , Baqin ( باق ?

J.           Maksudnya ialah bahawa Allah Taala itu Ianya:

1.            sentiasa ada,
2.            selama-lamanya ada,
3.            tiada berkeputusan ada-Nya,
4.            tiada bagi-Nya permulaan,
5.            tiada bagi-Nya kesudahan,
6.            tiada bagi-Nya misal atau umpama,
7.            tiada bagi-Nya bandingan,
8.            tiada bagi-Nya keadaan yang berlawanan.

         Dan Allah Taala itu sentiasa mempunyai:

            1.      Kemuliaan dan
            2.       Kesempurnaan. 

                   Firman Allah:
                " هو الأول والأخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم".
                Maksudnya :
(Allah Taala) Dialah yang awal (yang tiada berawal bagi-Nya) dan Dialah yang akhir (yang tiada berakhir bagi-Nya) dan Dialah yang Zahir, dan Dialah yang Batin dan Dia itu dengan tiap-tiap sesuatu Amat Mengetahui”.
                        [Al-Quran surah Al-Hadid : 3

S.            Apa maksud  “Dialah yang Zahir dan Dialah yang Batin dalam ayat tersebut ?

J.             1.  Maksud “Dialah yang Zahir ialah:
Dialah Yang Maha Tinggi dan Maha Suci dari segala kekurangan yakni  tidak sekali-kali Allah Taala itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya.

       2.       Maksud “Dialah yang  Batin ialah:
      Dialah Yang terdinding dari segala pendapatan pancaindera   yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya. 

      
  AT-TANZIHU  -الـتـنـزيه -(perihal mensucikan Allah Taala):

S.            Adakah Allah Taala itu di luar atau di dalam sesuatu?

J.        Allah Taala bukan di luar atau di dalam sesuatu.


S.       Apakah ertinya "Allah Taala itu bukan di dalam dan bukan di luar sesuatu?"

J.      Ertinya Tuhan kita tidak menyamai  sama sekali mana-mana dan apa jua makhluk-Nya iaitu walau barang apa juga yang diadakan-Nya, kerana keadaan di dalam atau  di luar sesuatu itu adalah sifat bagi makhluk.


S.       Adakah Allah Taala bercampur dengan sesuatu  atau meliputi-Nya?

J.      Allah Taala tidak bercampur dengan sesuatu atau meliputi sesuatu.


S.       Adakah Allah Taala ada menyamai sesuatu dengan barang yang diadakan-Nya?

J.       Allah Taala tidak sesekali menyamai apa jua barang yang diadakan oleh-Nya atas jalan mana sekalipun.


J.      Adanya Allah Taala itu tidak bertempat , tidak berpihak dengan sesuatu (atas,bawah, kiri,kanan, depan,belakang, bersatu-padu) dan tidak mengenai (melibatkan) masa.



S.            Adakah Allah Taala ada bagi-Nya sukatan  atau bilangan?

J.             Allah Taala tidak ada bagi-Nya sukatan atau bilangan atau sebaliknya.



S.         Apakah Allah Taala di atas sesuatu atau di bawah sesuatu?

J.          Allah Taala tidak di atas sesuatu atau di bawah sesuatu.



S.     Apakah yang dimaksudkan “tidak di atas sesuatu dan tidak di   bawah sesuatu”?

J.     Maksudnya Allah Taala tidak menyamai segala makhluk-Nya. Hanya makhluk Allah sahaja yang bertempat atau memerlukan tempat dan berada di atas atau di bawah sesuatu. Maha Suci Allah itu daripada mengenai pihak dan tmpat (atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang, meliputi dan bersatu padu) yang diadakan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada.


S.      Apakah mafhum Allah Taala itu di atas 'Arasy?

J.      Mafhum makna Allah itu di atas 'Arasy ialah dengan makna Allah yang memiliki dan memerintah 'Arasy. Kalimah tersebut  bukanlah bermakna atas itu arah atas dan tempat , tidaklah sesekali Allah Taala itu menerima pihak (arah) dan tempat.


S.        Apakah Allah Taala di luar tujuh lapis langit dan bumi?

J.       Allah Taala tidak di luar tujuh lapis langit dan bumi , tidak di  dalamnya, tidak  meliputinya dan tidak bercampur dengannya.


S.          Adakah Allah Taala di luar syurga atau di dalamnya?

J.    Allah Taala tidak di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak  bercampur dengannya. Bahkan Allah Taala itu lain dan segala barang/sesuatu  yang diadakan-Nya itu lain. Maka Allah Taala sangat berlainan dan tiada suatu apa pun yang menyamai-Nya.


S.     Bagaimana adanya Allah Taala sebelum ada apa-apa sesuatu benda pun barang yang diadakan oleh-Nya ?

J.        Sebelum ada:
·         Masa
·         Tempat
·         Lapang
·         Cahaya
·         Warna
·         Rupa
·         Huruf
·         Suara
·         Sukatan
·         Bilangan
·         Ukuran
·         Gerak
·         Diam
·         Sunyi
·         Senyap
·         Arasy
·         Syurga
·         Neraka
·         Tujuh lapis langit
·  Tujuh lapis bumi dan segala barang/sesuatu yang diadakan-Nya, adalah Allah Subhanahu Wa Taala, Tuhan kita Jalla Wa Azza itu Ia-Nya ada sebagai mana Ia ada itu juga, sentiasanya ada, selama-lamanya ada dan Ia mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan.

S.            Apa makna hampir Allah?

J.       Makna hampir Allah ialah hampir rahmat dan nikmat-Nya. Maka     tidak  menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk.


S.      Apa makna "berserta Allah"?

J.      Makna berserta Allah ialah berserta rahmat pertolongan-Nya dan nikmat-Nya.  Maka tidaklah menyamai persertaan Allah itu dengan persertaan makhluk.


S.       Adakah Allah boleh menerima perubahan dan perpindahan?

J.  Allah Taala tidak menerima perubahan dan tidak menerimai perpindahan  sebagaimana Zat (Diri)  Allah itu tiada menyamai dengan zat makhluk.


S.   Adakah Zat Allah menyamai dengan segala zat yang baharu atau sebaliknya?

J.     Zat Allah tidak menyamai segala zat yang baharu, begitu juga dengan segala zat yang baharu itu tidak menyamai  Zat Tuhan.


S.    Adakah Zat Tuhan itu masuk bersatu-padu pada zat yang baharu atau sebaliknya?

J.     Zat Tuhan itu tidak masuk bersatu-padu pada zat-zat yang baharu dan tidak zat-zat yang baharu itu masuk bersatu-padu pada Zat Tuhan. Bahkan Allah Taala itu sentiasalah dengan kemuliaan-Nya dan kesempurnaan-Nya.


S.   Adakah kemuliaan Allah dan kesempurnaan-Nya itu berlebih berkurang, selepas atau sebelum diadakan segala makhluk-Nya?

J.    Kemuliaan dan kesempurnaan Allah Taala tidak sesekali mengenai sebarang kekurangan, tidak sesekali menyamai sesuatu dari segala makhluk-Nya dan tidak sesekali menerimai berlebih berkurang kemuliaan Allah Taala sama ada sebelum atau selepas diadakan makhluk-makhluk-Nya.


S.   Adakah kita dapat mengetahui Zat Allah itu dengan akal dan dapat melihat Allah dengan mata kepala di akhirat kelak?

J.     Sesungguhnya Zat Tuhan itu dapat diketahui  ada-Nya dengan ‘akal’ dan dapat dilihat di akhirat kelak dengan pemandangan mata, sebagaimana yang diketahui dengan ‘akal’ itu juga. Itulah nikmat dari Allah dan murah kurniaan-Nya kepada sekalian hamba-hamba-Nya yang ahli kebahagian dalam negeri akhirat kelak bagi menyempurnakan segala nikmat yang ada disediakan di dalam syurga dengan dapat melihat Zat Allah Yang Mulia itu.


S.      Adakah ada apa-apa atau sesuatu yang menyamai Tuhan?

J.    Maha suci Allah dari apa jua yang menyamai-Nya. Allah itu bukanlah suatu benda atau suatu barang atau suatu bangsa atau suatu jenis.


S.      Apa maksudnya  “Allah itu bukan suatu benda”  dan apakah kesimpulannya?

J.      Maksudnya, segala barang  yang Allah Taala adakan tak kira apa jua, tetap merupkan suatu benda. Setiap benda itu sama ada besar, sebesar-besar mana sekalipun atau pun sekecil, sekecil-kecilnya, mestilah ada baginya itu:

·         Tempat.
·         Arah (atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang)
·         Bilangan
·         Sukatan (panjang-pendek dan sebagainya)
·         Jauh-dekat
·         Gerak-diam
·         Besar-kecil
·         Berat- ringan
·         Tinggi rendah
·         Luar- dalam
·         Warna
·         Rupa
·         Elok-buruk
·         Dan lain-lain yang seumpamanya.

Kesimpulannya:
Apabila Allah itu bukan suatu benda maka ternafilah dari segala sifat-sifat makhluk.


AL-HAYATU  WAL QUDRATU  ( الحياة والقدرة )


S.          Adakah Allah Taala itu hidup dan berkuasa?

J.      Ya, Allah Taala itu hidup dan Amat  Berkuasa. Tidak mengenai lemah, tidak  mengenai  binasa dan tidak mengenai mati.

S.       Adakah Allah itu mengenai lupa atau lalai?

J.       Allah Taala tidak mengenai lupa ataupun lalai.

S.      Bagaimana pemerintahan Allah?

J.  Allah Taala mempunyai pemerintahan dan memiliki semua perkaranya.  Mempunyai kemuliaan dan kebesaran.  Segala tujuh lapis langit dan bumi dan sekalian makhluk Allah adalah semuanya terletak di bawah kuasa Allah, tadbir Allah dan di bawah kehendak Allah belaka. Dia-lah jua yang mengadakan sekalian makhluk-Nya itu dan mengadakan segala amalan pekerjaan mereka. 

   Dia jugalah yang mentadbirkan segala rezeki mereka dan mentakdirkan segala ajal mati mereka.  Dialah sahaja Yang Amat Berkuasa mengadakan sesuatu dan mentiadakannya, tidak ada sesuatu apapun barang yang di bawah kuasa Allah itu terlepas daripada kuasa Allah dan milik Allah dan di bawah perintah Allah. Tidaklah terhingga segala barang yang di bawah kuasa Allah, tiada berhad kuasa-Nya itu, tiada berkesudahan segala barang yang diketahui-Nya.


AL-ILMU (العلم)

S.         Adakah Allah mengetahui segala benda?

J.      Allah Taala Amat Mengetahui  semua barang yang di bawah ilmu Allah yang  tiada berhingga dan mengetahui akan segala apa juga barang yang berlaku  daripada bawah tujuh lapis bumi hingga terkeatas daripada tujuh lapis langit.


S.     Apakah ada sesuatu yang tersembunyi daripada  ilmu Allah?

J.     Tidak ada sebarang apa pun yang tersembunyi daripada Ilmu Allah walau sekadar  sebiji debu juapun pada bumi dan pada langit melainkan semuanya itu diketahui oleh-Nya belaka, bahkan Ia Amat Mengetahui perjalanan semut hitam, binatang-binatang yang halus di atas batu pejal yang hitam pada waktu malam yang sangat gelap itu dan Ia Amat mengetahui gerak tiap-tiap sebiji debu yang berterbangan di udara.

S.      Mengetahuikah Allah akan rahsia-rahsia?

J.       Allah Amat Mengetahui segala rahsia dan segala barang yang lebih tersembunyi. Dia Amat Mengetahui sebarang apa juga gerak-geri  tujuan dan cadangan-cadangan hati sekalian hamba-Nya dan segala apa juga barang yang terlintas di hati mereka. Dia Amat Mengetahui segala pati kemahuan hati dari rahsia-rahsia yang disembunyikan oleh mereka. 

       Maka diketahui oleh Allah akan yang demikian itu semuanya ialah dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali yang sentiasalah Allah itu mengetahuinya pada Azalil-azal. Maka Ilmu Allah itu tidak sama sekali berdatang-datang, tidak menerimai berbilang-bilang dan tidak menerimai berubah-ubah dan berpindah-pindah.


AL-IRADATUH  (الارادة)

S.          Adakah  bagi Allah itu Iradah yakni kehendak?

J.        Ya, sesungguhnya Allah mempunyai kehendak. Maka semua barang yang ada dan akan ada dari segala makhluk Allah itu adalah semuanya itu Allah Taala jua yang mengkehendaki bagi mengadakan semua barang itu.


S.      Siapakah yang mentadbir dan memiliki segala barang yang ada yang diadakan    oleh Allah itu?

J.      Allah jualah yang mentadbir dan memiliki segala barang yang diadakan-Nya.  Maka  tidak berlaku pada sesuatu, sebarang apa juga daripada milik Allah itu sedikitnya, banyaknya, kecilnya, besarnya, kebajikannya, jahatnya, manfaatnya, mudaratnya, imannya, kufurnya, mengenalnya, ingkarnya, kebahagiaannya, untungnya, ruginya, lebihnya, kurangnya, taatnya, maksiatnya, melainkan adalah semuanya itu dengan ‘Qadak’ dan Takdir Allah dan hikmah Allah dan kehendak Allah belaka.

S.       Adakah boleh  berlakunya sesuatu tanpa kehendak Allah?

J.       Tidak boleh berlaku sebarang apa pun melainkan dengan kehendak Allah. Maka apa yang dikehendaki oleh Allah itulah sahaja yang berlaku dan apa yang tidak dikehendaki oleh Allah tidaklah berlaku, tidak terkeluar daripada kehendak Allah berlakunya sesuatu perkara itu sekadar sekerlipan mata dan sekadar lintasan hati jua pun.


S.          Siapakah yang menjadikan  permulaan sesuatu?

J.         Allah Taala jualah yang menjadikan permulaan sesuatu dan Dia jugalah yang mengembalikannya.


S.         Adakah  kuasa-kuasa lain  yang boleh menghalang kuasa Allah?

J.    Tiada sebarang kuasa yang boleh menghalang kuasa Allah dan Allah Amat Berkuasa berbuat bagi barang apa sahaja yang Ia kehendaki.


S.      Adakah  sesiapa yang dapat lari dari kehendak  Allah?

J.      Tidak ada seseorang  hamba Allah yang dapat lari dari ‘Qadak’ Allah atau dari berbuat  maksiat kepada Allah melainkan ialah semata-mata dengan pertolongan Allah dan rahmat-Nya; dan tiada terdaya mengekalkan di atas berbuat  taat kepada Allah melainkan ialah semata-mata dengan kehendak Allah.


S.  Jika berhimpun sekalian manusia, jin, malaikat dan syaitan untuk menggerakkan sebiji debu dalam alam ini, bolehkah mereka itu melakukannya?

J.   Jikalau berhimpun sekalian manusia, jin, malaikat dan syaitan berkehendak menggerakkan walaupun sebiji debu dalam alam ini atau hendak memberhentikan sebiji debu yang bergerak itu supaya diam, tetapi bukan dengan kehendak Allah tentulah tiada terdaya mereka itu semuanya melakukan yang demikian itu.

S.      Bagaimana Allah itu berkehendak?

J.       Sebagaimana Allah Taala mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali maka begitulah juga Allah itu berkehendak dengan kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali. Dan sentiasalah Allah Taala itu berkehendak pada Azal-Nya. Sebarang apa yang Allah Taala kehendaki adanya pada Azal-Nya pada masa yang ditakdirkan adanya maka didapatilah adanya barang itu pada waktu yang Allah Taala telah takdirkan adanya menurut sebagaimana yang Ia kehendaki pada Azal-Nya itu juga dengan tiada terdahulu dan tiada terkemudian, bahkan berlakunya berbetulan dengan Ilmu-Nya dan kehendak-Nya dengan tiada bertukar dan tiada berubah.


S.      Bagaimana pula Allah Taala mentadbir?

J.    Allah Taala mentadbir semua perkaranya bukan dengan susunan fikiran dan tidak mengenai masa kerana yang demikian itu tidak membimbangkan Allah itu oleh sesuatu pekerjaan daripada sesuatu pekerjaan.


السمع والبصر ) AS-SAMA'U WALBASARU)

S.         Bahawasanya Allah Taala itu  Amat Melihat dan Amat Mendengar. Adakah  tidak ada sesuatu barang atau perkara  pun yang ada tidak didengari-Nya atau tidak dilihati-Nya?

J.      Tidak ada apa-apa pun yang tidak didengari oleh Allah Taala melainkan didengari belaka walaupun perkara itu tersangat  tersembunyinya dan tidak ada apa-apa pun yang tidak dilihat oleh Allah Taala melainkan dilihat-Nya belaka walaupun perkara itu dan barang itu tersangat halus dan berada di dalam kegelapan.


S.     Adakah pendengaran Allah itu terdinding dengan sebab jauh atau terdinding penglihatan-Nya oleh sebab kegelapan?

J.      Tidak terdinding sama sekali daripada pendengaran Allah itu dengan sebab jauh dan tidak terdinding sama sekali daripada penglihatan Allah itu  dengan kegelapan. Allah melihat tidak seperti sekalian makhluk-Nya melihat, bahkan Ia melihat tidak dengan mata dan Ia mendengar tidak dengan telinga sebagaimana juga Ia mengetahui tidak dengan hati dan berbuat sesuatu tidak dengan anggota dan mengadakan sesuatu tidak dengan alat kerana keadaan Allah Taala itu tidaklah sesekali menyamai dengan segala keadaan makhluk atas jalan mana sekalipun yang sebagaimana juga Zat Allah itu tidak sesekali menyamai dengan segala zat  makhluk (segala barang yang diadakan oleh-Nya).


AL-KALAM (الكلام)

S.          Adakah Allah Taala itu Berkata-kata?

J.   Ya, sesungguhnya Allah Taala itu berkata-kata, menyuruh, menegah, menjanjikan balasan kebaikan, menjanjikan balasan kejahatan. Ia berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim lagi Azali, sentiasanya berkata-kata, selama-lamanya berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim, tidak sesekali Kalam Allah itu menyamai dengan segala kalam makhluk. Maka tidaklah Kalam Allah Taala itu dengan berhuruf dan tidak dengan bersuara dan tidak berkafiat bagaimana-bagaimananya pun.


S.         Kalam Allah Taala tidak berhuruf dan tidak bersuara maka bagaimana dengan al-Quran dan Kitabullah-kitabullah yang lain?

J.      Walaupun Al-Quran, At-Taurat, Al-Injil dan Az-Zabur iaitu kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada Rasul-rasul-Nya Alaihumussalam yang dibangkitkan itu dibaca dengan lidah, ditulis dalam mashhaf, dihafaz dalam hati tetapi Kalam Allah Taala itu tetap Qadim, berdiri kepada Zat Allah yang Qadim, tidak sesekali menerimai  berhubung, bercerai,  berpindah kepada hati-hati, kertas-kertas atau kepada lidah-lidah. Sesungguhnya  Nabi Musa AS telah mendengar Kalam Allah Taala di dunia dengan tiada bersuara dan tiada berhuruf sebagaimana juga orang-orang mukmin yang ahli kebahagiaan melihat Zat Allah di negeri akhirat dengan tiada rupa,  tiada warna, tiada berpihak (arah), tiada bertempat dan tiada kafiat akan bagaiamana-bagaimananya pun.  

Manakala sedemikian itulah keadaan Allah Taala, maka mengetahuilah kita bahawa Allah Taala itu Ia-Nya hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Ia-Nya mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim, Ia-Nya berkuasa dengan Kudrat-Nya yang Qadim, Ia berkehendak dengan kehendak-Nya yang Qadim, Ia mendengar dengan pendengaran-Nya yang Qadim, Ia melihat dengan penglihatan-Nya yang Qadim dan Ia berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim, tidaklah semata-mata Zat-Nya sahaja yang Qadim.


[Untuk penjelasan lanjut sila lihat : Allah Berkata-kata Dengan Kalam-Nya Yang Qadim]



AL-AFA’AL (Perbuatan Allah) (الافعال)

S.        Segala barang yang diadakan oleh Allah dikenali (dipanggil) sebagai apa?

J.      Semua yang ada selain dari Allah adalah makhluk Allah belaka dan dinamakan barang-barang yang baharu. Jadi yang ada hanya dua sahaja iaitu Allah (al-Khaliq) dan makhluk-Nya (barang-barang yang diadakan oleh-Nya)  tanpa ada yang ketiga. Allah Taala jualah yang mengadakan semua barang itu dengan perbuatan-Nya dan limpah murah daripada keadilan-Nya. 

        Segala sesuatu dan barang perbuatan Allah itu adalah atas keadaan yang sehabis-habis elok sempurnanya, berbetulan sangat pada tempat letaknya dan susunannya dan timbangannya. Maka adalah Allah Taala Ia mempunyai hikmah pada segala barang perbuatan-Nya itu lagi Ia sangat adil pada segala hukumannya. 


S.       Apakah  kiasannya bagi keadilan Allah?

J.     Tidaklah sesekalii dapat dikiaskan keadilan Allah Taala itu dengan keadilan sekalian hamba-hamba-Nya kerana hamba Allah boleh berlaku kezaliman, terbit dari sebab memerintah pada hak milik orang lain, tetapi tidak sesekali boleh berlaku kezaliman daripada Allah Taala sebab tidak ada suatu barang apa pun yang tidak dimiliki oleh Allah melainkan semuanya itu dimiliki oleh Allah belaka dan tidak ada bagi yang lain daripada  Allah itu memiliki sesuatu apa pun.


S.          Apakah yang dimaksudkan dengan “barang-barang yang baharu”?

J.          Semua barang yang ada selain daripada Allah iaitu sekalian:
·         Manusia
·         Jin
·         Malaikat
·         Syaitan 
      dan segala sesuatu seperti:
·         Langit
·         Bumi
·         Binatang
·         Pokok
·         Batu
·         Segala jenis kebendaan
·         Segala khasiat benda-benda dan kekuatannya
·      Segala barang yang didapati dengan segala pancaindera yang lima
·         Segala jenis cahaya
·         Segala jenis rupa dan warna
·         Masa
·         Lapang
·         Tempat
·         Suara
·         Huruf
·         Bilangan
·         Ukuran
·         Sukatan
·         Gerak
·         Diam
dan lain-lain lagi. Maka semuanya itu adalah barang-barang  yang baru iaitu barang yang diadakan oleh Allah dengan Kudrat-Nya yang Qadim, kemudian daripada tidak adanya barang-barang itu sama sekali kepada adanya barang itu diadakan oleh Allah Taala.
Maka ada atau tidak ada atau belum ada atau rosak binasa, barang perbuatan Allah itu maka adalah Allah Taala itu Ia ada sebagaimana Ia ada itu juga, kerana adalah yang ada pada Azal itu ialah Allah Taala sahaja yang ada dan tidak ada yang lain daripada-Nya.


S.         Apakah  faedahnya  bagi Allah mengadakan segala makhluk-Nya itu?

J.     Allah Taala telah mengadakan segala makhluk-Nya itu daripada semata-matanya tidak ada barang itu kepada adanya ialah kerana menzahirkan bagi kuasa-Nya dan mentahkikkan bagi barang apa yang telah terdahulu daripada kehendak-Nya dan kerana kebenaran-Nya bagi barang apa yang ada pada Azal-Nya daripada Kalam-Nya dan bukan kerana mengambil faedah kepadanya dan bukan kerana mengenai sesuatu hajat kepadanya bahkan Allah Taala itu Amat Terkaya daripada yang demikian itu dan adalah Allah Taala itu mempunyai kelebihan dan kemurahan dan sentiasanya memberi berbagai rahmat yang tiada terhingga.


S.         Adakah terwajib ke atas Allah itu berbuat sesuatu?

J.   Allah Taala berbuat sesuatu itu semata-mata limpah murah kurniaan-Nya dan nikmat pemberian-Nya dan bukan terwajib di atas Allah itu berbuat sesuatu dan tidak termestinya dan tidak termustahak di atas-Nya kerana adalah Allah Taala itu amat berkuasa di atas menurunkan berbagai azab ke atas hamba-hamba-Nya dan mengazabkan mereka itu semuanya dengan bermacam-macam jenis kesakitan dan penderitaan dan jikalau pun Allah Taala itu berbuat sedemikian itu ke atas hamba-hamba-Nya nescaya adalah yang demikian itu ialah semata-mata kerana keadilan daripada Allah juga dan tidak ada daripada-Nya itu kezaliman dan tidak ada daripa-Nya itu kekejian.


S.     Apakah  terwajib ke atas Allah itu memberikan pahala kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin atas keataan mereka?

J.         Sesungguhnya Allah Taala itu memberikan pahala kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin di atas ketaatan mereka ialah semata-mata dengan hukuman kemurahan dan janjian-Nya dan bukan dengan hukuman termestinya dan terwajibnya dan termustahaknya bagi Allah itu berbuat demikian itu kerana tiada terwajib di atas Allah itu berbuat sesuatu bagi hamba-Nya dan tidak sesekali ada  daripada Allah itu kezaliman.


S.         Adakah tidak wajib bagi hamba Allah hak ke atas Allah?

J.        Tidak ada wajib bagi hamba Allah itu sama sekali sebarang hak ke atas Allah dan haknya itu adalah pada berbuat taat kepada Allah sahaja. Maka wajiblah di atas hamba Allah itu berbuat taat kepada Allah Taala dengan sebab adalah pekerjaan taat itu diwajibkan oleh Allah ke atas hamba-Nya berbuat yang demikian itu atas perkhabaran daripada lidah Nabi-nabi-Nya Alaihimussalam dan bukan semata-mata akal. Dalam hal  yang demikian itu ialah bahawa Allah Taala telah membangkitkan Rasul-rasul dan telah menzahirkan kebenaran mereka itu dengan beberapa banyak mukjizat yang nyata dan terang. Maka berkerjalah mereka itu untuk menyampaikan segala suruhan Allah dan barang-barang tegahan-Nya dan janjian-janjian balasan pahalanya dan janjian-janjian balasan azab-Nya. 

    Maka wajiblah di atas sekalian hamba Allah ini beriman, mempercayai kebenaran mereka itu dan menerima segala seruan Rasul-rasul itu pada sebarang apa juga barang yang didatangkan dan dipersampaikan oleh mereka.


TERJEMAHAN  AQIDAH AHLI  AS SUNNAH WAL JAMAAH  PADA  KALIMAH SYAHDAT  AR-RASUL:
S.       Siapakah Nabi kita?

J.       Nabi kita ialah Muhammad s.a.w.


S.      Kepada siapakah Nabi Muhammad s.a.w dibangkitkan menjadi Rasul?

J.      Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala telah membangkitkan Nabi Ummi Quraisyi Muhammad s.a.w itu menjadi Rasul-Nya (Pesuruh-Nya) kepada sekalian bangsa Arab dan ‘Ajam dan jin dan manusia. Maka termansuhlah segala syariat-syariat yang lainnya dengan sebab adanya syariat Nabi Muhammad s.a.w itu melainkan apa yang disabitkannya daripadanya.


S.     Adakah Nabi kita Muhammad s.a.w terlebih afdalnya jika dibandingkan dengan para Nabi lainnya?

J.      Benar, Nabi Muhammad s.a.w itu terlebih afdalnya daripada sekalian Nabi dan dijadikan oleh Allah ianya itu penghulu sekalian manusia.

S.           Adakah tertegah kesempurnaan iman dengan mengucap syahadat at-Tahuhid (أشهد أن لا إله إلا الله)  selamanya tidak disertakan dengan ucapan syahadat ar-Rasul أشهد أن محمدا رسول الله ?

J.           Ya, tertegah kesempurnaan iman dengan mengucap syahadat at-Tauhid iaitu أشهد أن لا إله إلا الله  tanpa disertakan ucapan syahadat ar-Rasul iaitu أشهد أن محمدا رسول الله  yang  ertinya: “Aku menaik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah”.

S.    Wajibkah kita mempercayai segala apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w?

J.  Adalah wajib bagi sekalian hamba Allah itu beriman dan mempercayai kebenarannya pada semua perkara sebarang apa juga yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. itu daripada perkara dunia dan akhirat. Tidaklah diterima oleh Allah Taala iman seseorang hamba Allah itu melainkan hingga ia beriman dengan semua perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. bersangkutan dengan perkara yang kemudian daripada mati (selepas mati). Maka sesungguhnya  awal perkara itu ialah soal Munkar dan Nakir. 

      Kedua-duanya itu adalah dua malaikat yang sangat besar dan sangat menggerunkan rupanya lagi sangat dahsyatnya mendudukkan hamba Allah itu di dalam kuburnya setelah dikembalikan balik nyawa (roh) itu kepada badan. Kedua-duanya menanyakan dia bersangkutan dengan perkara Tauhid dan Rasul. Kata mereka kedua kepadanya: 

          "Siapakah Tuhan kamu, dan apa agama kamu       dan siapa Nabi kamu?".   
            Kedua-duanya iaitu Munkar dan Nakir adalah dua orang fitnah kubur. Pertanyaan mereka berdua itu adalah awal-awal fitnah kemudian daripada mati.


S.       Adakah kita dikehendaki beriman dengan azab kubur dan kesenangannya?

J.    Kita hendaklah beriman dengan azab kubur dan kesenangannya. Sesungguhnya balasan azab dan kesenangan dalam kubur itu adalah benar sebagai hukum keadilan, berlakunya ke atas jisim (jasad/badan) dan roh atas barang yang dikehendaki Allah.


S.   Bagaimana dengan neraca, apakah wajib beriman dengannya?

J.      Kita adalah wajib dan dikehendaki beriman dengan neraca iaitu penimbangan segala amalan kita semasa di dunia. Neraca itu mempunyai dua daun neraca dan ada baginya lidah.


S.      Besar manakah neraca itu?

J.      Besarnya daun neraca itu adalah menyamai besar tujuh lapis langit dan bumi. Maka ditimbang padanya segala amalan-amalan hamba Allah dengan sehabis-habis sempurnanya kerana kesempurnaan keadilan Allah. Maka  diletakkan segala suratan amalan-amalan kebajikan yang dalam rupa keelokan itu pada daun neraca kecahayaan maka beratlah timbangan itu dengannya atas kadar darjat-darjat kelebihannya dan kemuliaannya di sisi Allah dengan kemurahan Allah. Maka diletakkan segala amalan-amalan kejahatan yang di dalam rupa keburukan kegelapan itu pada daun neraca kegelapan maka ringanlah timbangan itu dengannya dengan keadilan Allah.

S.   Kita dikehendaki beriman dengan 'Sirat' صراط , apakah dia 'Sirat' itu?

J.         Kita hendaklah beriman dengan 'Sirat' (titi) iaitu satu titian yang sangat panjang, terbentang di atas muka api Neraka Jahannam, terlebih tajam dari mata pedang, lebih halus dari rambut, tergelincir di atasnya segala kaki orang-orang kafirin dengan hukuman Allah Taala. Maka jatuhlah mereka ke dalam api neraka dan Allah tetapkan segala kaki orang-orang mukmin dengan semata-mata kemurahan Allah Taala maka masuklah mereka ke dalam syurga.


S.      Kita juga dikehendaki beriman dengan 'Haudh', apakah dia 'Haudh' itu?

J.         Kita dikehendaki beriman dengan 'Haudh'حوض iaitu kolam air yang disediakan bagi Nabi Muhammad s.a.w di sana. Maka sekalian orang-orang mukmin dapat meminuminya dari air kolam itu terlebih dahulu sebelum masuk ke syurga  selepas selamat meniti titian ‘sirat’ yang panjang itu. Barangsiapa telah meminumi air itu satu minuman dia tidak akan merasai dahaga selama-lamanya.


S.      Besar manakah kolam itu?

J.         Besar dan luasnya kolam itu adalah perjalanan satu bulan dan airnya terlebih putih dari susu, lebih manis dan lebih sedap dari al-A’sal (madu). Sekelilingnya  ada banyak kendi-kendi bekas air sebanyak bilangan bintang-bintang di langit. Airnya itu mengalir ke dalamnya daripada al-Kauthar.( (الكوثر

S.   Adakah kita dikehendaki beriman dengan perkiraan bagi segala amalan-amalan yang telah kita lakukan di dunia? 


J.    Kita hendaklah beriman dengan hisab iaitu perkiraan bagi segala amalan- amalan itu. Berkurang  berlebihlah seseorang itu dalam perkiraannya. Ada mereka yang diberatkan perkiraannya, ada mereka yang diringankan perkiraannya dan ada mereka yang tidak dikenakan apa-apa perkiraannya melainkan teruslah mereka itu dimasukkan ke dalam syurga iaitulah mereka yang muqarrabun (مقربون)  .

S.         Adakah Allah Taala akan menanya sesiapa yang dikehendaki-Nya?

J.         Allah Taala akan menanya sesiapa yang dikehendaki ditanya di kalangan Nabi-nabi mengenai perkara-perkara yang mereka persampaikan, bersangkutan dengan pekerjaan mereka itu menjadi Rasul (Pesuruh-Nya) dan di kalangan orang-orang kafir itu ditanya sebab-sebab mereka mendustakan Rasul-rasul itu. Di kalangan orang-orang ahli bida’ah dan sesat pada agama itu ditanya sebab-sebab  kesesatan dan bida’ah mereka daripada mengikuti jalan Ahli As Sunnah dan di kalangan orang-orang muslimin itu ditanya daripada segala amalan-amalan mereka.


S.     Orang-orang yang beriman tetapi dimasukkan ke dalam api neraka disebabkan dosa-dosa mereka, adakah mereka itu akan dikeluarkan atau dikekalkan di dalam api neraka ?

J.      Kita hendaklah beriman dengan bahawa orang-orang yang beriman itu akan dikeluarkan dari api neraka selepas dikenakan balasan seksa ke atas mereka dengan sebab dosa-dosa mereka itu sehinggalah tidak tertinggalnya seorang pun ahli at-tauhid di dalam api Neraka Jahannam dengan kemurahan Allah Taala. Maka tidaklah dikekalkan orang yang ahli at-tauhid itu di dalam api neraka.


S.      Bagaimanakah dengan syafaat Nabi-nabi, ulamak-ulamak, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang mukmin?

J.      Mengenai syafaat, kita dikehendaki beriman dengan syafaat Nabi-nabi dan kemudiannya syafaat ulamak-ulamak, kemudiannya orang-orang yang mati syahid dan kemudiannya syafaat orang-orang mukmin atas kadar martabat kemegahan dan kemuliaan mereka itu di sisi Allah Taala. Barangsiapa yang tertinggal di kalangan orang-orang mukmin di dalam api neraka dan tiada baginya sesiapa orang yang mensyafaatkannya maka Allah Taala akan mengeluarkannya dari api neraka dengan kemurahan Allah Taala. Maka tidaklah dikekalkan seseorang mukmin (yang berbuat maksiat) itu dalam api neraka bahkan  dikeluarkan daripadanya sesiapa mereka yang ada pada hatinya setimbang berat zarrah daripada iman.

S.   Mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, adakah kita dikehendaki mengiktiqadkan kelebihan martabat sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w itu dan tertib-tertib mereka itu?

J.   Kita dikehendaki mengiktikadkan kelebihan martabat sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dan tertib-tertib kelebihan mereka itu.  Adalah seafdal-afdal manusia kemudian daripada Nabi Muhammad s.a.w itu ialah Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian Uthman, kemudian Ali Radiallahu a’nhum(رضي الله عنهم)  dan hendaklah menaruh baik sangkaan kepada sekalian sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dan hendaklah dipuji mereka itu sebagaimana Allah Taala dan Rasul-Nya memuji mereka sekalian. Semuanya itu ada tersebut (pujian-pujian ) itu di dalam al-Quran al-A’zim dan beberapa Hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w.

        Maka barangsiapa beriktiqad di hatinya semua kandungan iktiqad yang tersebut dalam makna dua kalimah syahadat At-Tahuhid dan syahadat Ar-Rasul yang tersebut ini dan berkeyakinan di hatinya dengan iktiqad ini semuanya adalah orang itu termasuk dalam jumlah orang-orang ahli al-hak, berpegang kepada iktiqad Ahli As Sunnah Wal Jamaah dan bercerailah daripada ahli puak sesat dan ahli bida’h.
  فنسأل الله كمال اليقين وحسن الثبات في الدين لنا ولكافة المسلمين برحمته انه ارحم الراحمين  وصلى الله على سيدنا محمد وعلى كل عبد مصطفى
       [ Mudah-mudahan segala panduan yang dipaparkan di sini dapat dibaca, difahami, diimani, dihayati sepenuhnya serta dimanfaatkan bersama keluarga dan anak-anak dalam usaha kita untuk memperkukuh serta memantapkan lagi pemahaman ilmu dan pegangan akidah keimanan kita  terhadap Allah Subhanahu Wa Taalla dan Rasulullah s.a.w. Amin.]


**************************************************

             Rasulullah s.a.w. bersabda :
وَقِيلَ يَا رَسُولَ الله : اَيُّ الاَعْمَالِ اَفْضَل. فَقَالَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَقِيلَ اَيُّ الْعِلْمِ تُرِيدُ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَمَ: اَلْعِلْمُ بِاللهِ سُبْحَانَهُ. فَقِيلَ لَهُ: نَسْأَلُ عَنِ الْعَمَلِ وَتُجِيبُ عَنِ الْعِلْمِ . فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ:  اِنَّ قَلِيلَ الْعَمَلِ يَنْفَعُ مَعَ الْعِلْمِ بِاللهِ وَاِنَّ كَثِيرَ العَمَلِ لَا يَنْفَعُ مَعَ الجَهْلِ بِاللهِ.
                            Maksudnya : 
" Sesungguhnya telah dikatakan kepada Rasulullah s.a.w.:  'Apakah amalan-amalan yang lebih afdhal?'. Maka sabdanya : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah Azawajalla.' Maka ditanya : 'Apakah dia ilmu yang engkau kehendaki itu?.' Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : 'Ialah ilmu dengan pengenalan kepada Allah SWT.' Maka ditanya kepadanya: 'Kami menanya daripada amalan dan engkau menjawab daripada ilmu.' Maka sabda Nabi Muhammad s.a.w.: 'Bahawasanya sedikit amalan itu memberi manfaat berserta adanya ilmu pengenalan kepada Allah SWT dan bahawasanya banyak amalan itu tiada memberi manfaat berserta kejahilan ilmu pengenalan kepada Allah Subhanahuwatalla'."


              






                                         

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...