Isnin, 21 Januari 2013

Polemik Penggunaan Kalimah “ALLAH” Dalam Terjemahan Bible Versi Bahasa Melayu




                                                                

                  بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ 
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله 
وصحبه أجمعين
                                           
    وَاِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِاللهِ اِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَ وَإِنْ هُمْ إِلَّايَخْرُصُوْنَ   
                                           Maksudnya:
“Dan apabila kamu mentaati/menuruti kebanyakan orang di muka  bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan (agama) Allah, tidak mereka mengikuti kecuali (hanya) persangkaan belaka, dan mereka  tidak lain kecuali (hanya)  berbohong (berdusta).” 
      [Al-Quran Surah سورة الأنعام Al-An'aam : 116] 
                    *******************************************
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأولِي الألْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ 
                      Maksudnya : 
" Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman."
    [Al-Quran surah  سورة يوسف Yusuf : 111 ]
**************************************************************


Isu penggunaan kalimah “ALLAH” bagi maksud penterjemahan kitab-kitab agama bukan Islam khususnya kitab Injil/Bible kerap diperkatakan oleh masyarakat umum Malaysia. Isu ini menjadi semakin panas apabila seorang pemimpin kanan parti politik menyuarakan agar kalimah “Allah” ini digunakan dalam teks penterjemahan kitab Injil/Bible versi Bahasa Melayu dengan alasan kalimah ini dikatakan sudah lama dan biasa digunakan oleh masyarakat peribumi beragama Kristian di Sabah dan Sarawak. Cadangan beliau disokong penuh oleh Majlis Gereja Malaysia (Church Council of Malaysia ) dan badan/pertubuhan agama Kristian yang lain.

Isu yang sudah dibangkitkan sejak beberapa tahun dulu dan telah diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 supaya kalimah “Allah” tidak boleh digunakan dalam fahaman atau pengajaran/penerbitan agama-agama lain ini disensasikan lagi apabila DYMM Sultan Selangor bertitah dengan menegaskan supaya keputusan yang telah diwartakan di dalam Enekmen Agama Bukan Islam 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah “Allah” dipatuhi.

Banyak pihak dari kalangan penganut agama Kristian dan agama-agama lain tidak bersetuju atas titah DYMM Sultan Selangor ini kerana pada anggapan atau pemahaman mereka adalah bertentangan dengan Perkara 3 - (1) dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan di samping merujuk keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 dalam kes Jill Ireland. Sekiranya semua pihak yang terlibat tidak mencari jalan penyelesaian muktamad yang diterima baik oleh semua pihak yang terlibat adalah dijangkakan isu ini akan terus berlarutan hingga boleh mencetuskan perbalahan antara agama yang serius. Sebagaimana biasa parti-parti politik akan mengeksploitasikan apa juga isu yang dijangka boleh dijadikan rencah penyedap selera umum dalam menghadapi perkembangan politik semasa.

Sesiapa juga yang berkesempatan boleh menilai respons daripada pembaca-pembaca media sosial yang terkandung di dalam berita-berita “on-line” seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Malaysia Chronicles dan isu-isu yang dipaparkan di dalam laman-laman portal dan blog.  Boleh dikatakan terdapat perbalahan pendapat yang begitu ketara di kalangan responden yang di antaranya meluahkan cetusan sentimen kata-kata sensatif penuh emosi. Sekiranya tidak diredakan dan ditangani dengan bijaksana suasana kekeruhan ini boleh menjadi salah satu elemen pencetus ketegangan perhubungan antara kaum/agama. Isu ini juga membangkitkan perbalahan pendapat di kalangan para pemimpin beragama Islam, ketua-ketua agama Islam dan ahli-ahli parti politik orang Melayu berorintasi Islam. 

Keinginan pihak gereja di Malaysia untuk menggunakan kalimah “Allah” di dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu ini besar kemungkinan berpunca daripada beberapa faktor.  Antaranya ialah :

i.   Keberkesanan sistem pendidikan nasional yang berteraskan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris hanya diajar sebagai satu subjek dalam kurikulum sekolah.

ii.        Liputan/Publisiti menyeluruh dalam Bahasa Melayu pada setiap hari menggunakan pelbagai media cetak dan elektronik yang dikuasai kerajaan terhadap program-program agama Islam yang semestinya tidak dapat dipisahkan dengan penggunaan kalimah “Allah” atau dikaitkan dengan kalimah "Allah"

iii.  Pengaruh negara-negara jiran khususnya Indonesia yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam tetapi menggunakan Bahasa Melayu (Indonesia) dalam edisi Terjemahan Bible Indonesia dan program-program keagamaan yang diadakan di gereja, media television, malahan terdapat juga gereja yang dinamakan dalam Bahasa Melayu Indonesia, umpamanya : “Gereja Sidang Jamaah Allah”.           

Berdasarkan sumber maklumat yang diterima persoalan kalimah “Allah” ini tidak menjadi isu sensatif yang mencetuskan perbalahan besar di kalangan penganut berbagai fahaman agama di dunia ini. Kalimah “Allah” ini begitu berleluasa digunakan di dalam kitab Bible versi Bahasa Arab dan sudah sebati digunakan oleh masyarakat Arab beragama Kristian/Nasrani buat sekian lamanya. 
Antara kalimah/istilah berbentuk tulisan yang bermaksud “Allah” dalam beberapa bahasa dunia dapat dikesan seperti berikut:

Bengali: আল্লাহ Allah
Bosnian: Allah
China: 阿拉 Ālā, 安拉 Ānlā; 真主 Zhēnzhǔ (terjemahan semantik ), 胡大 Huda (Khoda,daripada Bahasa Parsi)
Czech, Slovak: Allách                                                                                                                                            
Greek: Αλλάχ Allách, Θεός Theós (God)
                                                                
Hebrew :אללה Allah
Hindi: अल्लाह Allāh
Malayalam: അള്ളാഹ് Aaah
Jepun: アラー Arā, アッラー Arrā, アッラーフ Arrāfu
Maltese: Alla
Korea: 알라 Alla
Polish: Allah, juga archaic Allach atau Ałłach
Russia, Ukrain, Bulgaria: Алла́х Allakh
Serbia, Belarus, Macedonia: Алах Alah
Spanyol, Portugis: Alá
Thai: อัลลอฮ์ Anláw
Punjabi (Gurmukhi): ਅੱਲਾਹ Allāh (archaic ਅਲਹੁ dalam tulisan Sikh)
Urdu: اللہ Allah


Sejauh manakah bunyi makhraj sebutan kalimah "Allah" yang dituturkan oleh berbagai suku kaum/bangsa di dunia ini menyamai sebutan sebenar mengikut makhraj Bahasa Arab yang terkandung di dalam al-Quran memerlukan penyelidikan lanjut dengan lebih teliti. Perkara pokok yang paling diutamakan ialah kandungan pemahaman pentafsiran ilmu yang diperjelaskan pada kalimah "Allah" ini. Kita boleh mengemukakan persoalan kepada golongan pendesak ini; adakah kalimah "Allah" yang digunakan itu bertepatan dengan maksud "Allah" sebagai Tuhan yang memiliki Zat (Diri) dan segala Sifat yang Qadim yang bersalahan dengan sifat-sifat "baharu" sekalian makhluk yang dijadikan-Nya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w atau hanya sebagai sebutan nama Tuhan sahaja mengikut pemahaman akal fikiran manusia sendiri?

Jika jawapan yang diberikan adalah bertentangan dengan maksud Qadim Zat dan Sifat Allah sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. kita hendaklah menamatkan segera "perbalahan" ini kerana akan kedapatan banyak lagi kesalahan pegangan pemahaman mengekorinya yang amat bebeza dan bertentangan dengan pengajaran agama Islam walaupun dia masih mempercayai Allah sebagai Tuhan.

Adalah amat sukar untuk mempastikan bagaimana rupa bentuk tulisan kalimah “Allah” yang terkandung di dalam kitabullah-kitabullah asal yang diturunkan kepada Nabi Allah-Nabi Allah Alaihimussalam iaitu Kitab Zabur (kepada Nabi Daud Alaihisalam), Kitab Taurah (kepada  Nabi Musa Alaihisalam) dan Kitab Injil (kepada Nabi Isa Alaihisalam). Kesemua kitabullah asal yang belum dipinda wajib diimani oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya termasuk umat Islam kerana kesemuanya adalah Wahyu dan Kalam Allah yang mengandungi ilmu yang sama dalam segala perkara mengenai Zat dan Sifat-sifat Allah serta yang berkaitan dengan hari akhirat dan Rukun Iman. Kesemua perkara ini menjadi syarat mutlak kepada manusia untuk menjadi orang yang beriman. Kitabullah-kitabullah ini diturunkan kepada Rasul-rasulNya melalui perantaraan Malaikat Jibrael Alaihisalam untuk disampaikan kepada umat manusia agar dapat dijadikan panduan dan ilmu pedoman hidup yang benar untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Umat Islam yang tidak mempercayai dan beriman kepada kitabullah-kitabullah sebenar yang diturunkan kepada Nabi-nabi Alaihimussalam tersebut adalah tergolong sebagai orang yang tidak beriman dan terbatallah keislamannya. Dijangkakan semua sedia maklum bahawa kitabullah-kitabullah tersebut sudah pupus dan besar kemungkinan tidak kedapatan lagi walau senaskah pun di dunia ini ataupun “disembunyikan” oleh individu tertentu pada satu tempat amat sulit yang dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu.

Saki baki kitabullah asal yang belum dipinda masih terdapat pada zaman Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. menjadi pegangan beberapa orang mukmin salih dari kalangan ahli al-kitab yang sebenar. Namun apabila al-Quran telah lengkap dan sempurna 30 juzuk diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Nabi Muhammad s.a.w. di Makkah dan Madinah, sebilangan besar ahli kitab tersebut telah memeluk agama Islam beriman kepada Allah, Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. dan kitab al-Quran walaupun mereka masih beriman kepada kitabullah asal yang belum dipinda terkandung di dalam bahasa asal Nabi Musa dan Nabi Isa Alaihisalam. Mereka memeluk agama Islam adalah disebabkan di dalam kitabullah sebenar yang asal ada menerangkan kebangkitan Nabi Muhammad sebagai Nabi dan Rasulullah terakhir dan memperjelaskan tanda-tanda kenabian dan kemuliaan yang terdapat pada diri baginda. Mereka adalah insan mukmin dari golongan ahli al-kitab sebenar yang amat bertuah kerana mendapat rahmat Allah menyaksikan sendiri kebenaran yang terkandung di dalam kitabullah asal yang menjadi pegangan mereka berhubung kebangkitan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah s.a.w. terakhir yang dijanjikan.

Kita dapat mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa  kesemua kitabullah asal yang diwahyukan kepada Nabi-nabi Allah berkenaan ada menyebut kalimah “Allah” sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran kerana kalimah ini adalah Wahyu Allah bagi memperjelaskan sifat-sifat-Nya yang Qadim supaya dapat difahami oleh manusia. Setiap kalimah Kalam Allah termasuk kalimah "Allah" adalah Wahyu Allah dan bukan kalam makhluk dari kalangan Malaikat, Nabi, manusia dan jin. Kalimah ini bukan kalimah yang sengaja diada-adakan atau direka oleh para Malaikat, Nabi Allah  atau para sahabat mereka yang beriman dan turut sama menegakkan kebenaran hidup beragama kepada umat zaman tersebut. Para Nabi dan Rasul adalah insan maksum yang dipilih dan dibangkitkan Allah khusus untuk memberi petunjuk kebenaran jalan beragama kepada seluruh umat manusia. Setiap gerak hati, perbuatan dan kata-kata mereka adalah apa yang diwahyukan Allah dan bukan mengikut sesuka hati menggunakan kebijaksanaan akal fikiran sendiri. 

Kepupusan dan ketiadaan kitabulah-kitabullah yang asal ini menyebabkan teramat sukar bagi kita untuk merujuk dan mempastikan dengan tepat rupa bentuk tulisan kalimah “Allah” serta bunyi makhraj sebutan sebenar di dalam kitabullah berkenaan yang dibaca oleh umat yang beriman pada zaman tersebut.

Sebagaimana yang sedia dimaklumi al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibrael Alaihisalam diturunkan dalam Bahasa Arab adalah kitabullah terakhir yang berkekalan hingga ke akhir zaman. Perkara ini diperjelaskan di dalam al-Quran surah Ar-Ra’d  سورة الرعد‎‎ ayat 37 : 
وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَمَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا وَاقٍ 
                         Maksudnya :
"Dan demikianlah, Kami telah menurnkan al-Quran itu sebagai peraturan [yang benar] dalam Bahasa Arab…..[hingga akhir ayat].
 Firman Allah dalam surah سورة إبراهيم‎‎  Ibrahim ayat 4 pula diperjelaskan lagi :
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 
                   Maksudnya :
"Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana."
Kepupusan kitab asal Az-Zabur, At-Taurat dan Al-Injil memberi erti bahawa kitabullah yang dibaca oleh penganut agama Kristian/Nasrani dan Yahudi pada hari ini hanya menggunkan kitab terjemahan daripada kitab yang sudah diedit/dipinda/diubahsuai oleh golongan "munafiqin" dari kalangan ahli al-kitab terdahulu mengikut kehendak dan kefahaman mereka walaupun mungkin masih mengandungi mesej yang hampir sama dan terdapat beberapa elemen persamaan dengan kitab asal yang tulen termasuk penggunaan kalimah “Allah” yang menggunakan bahasa persuratan dan tulisan asal yang terdapat pada zaman kebangkitan Nabi Allah berkenaan.

Terjemahan ayat-ayat al-Quran yang boleh didapati dalam berbagai bahasa utama dunia hari ini tidak disebut sebagai Kitab al-Quran tetapi hanya disebut sebagai Terjemahan al-Quran sahaja yang kesuciannya tidak terjamin dan sejauh mana kebenaran hasil terjemahan dan pentafsirannya adalah tertakluk kepada kewibawaan penterjemah dan pentafsiranya yang masih boleh berlaku kesilapan dan terbuka kepada persoalan di kalangan para ilmuan. Kalimah-kalimah dan ayat-ayat al-Quran yang asal masih terus dibaca oleh umat Islam dari pelbagai suku bangsa manusia di seluruh dunia menggunakan kaedah pembacaan sebutan makhraj Bahasa Arab yang sama berpandukan Ilmu Tajwid dan sistem pembacaan standard yang diwarisi dari zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Rasyideen.

Pembacaan kalimah dan ayat-ayat al-Quran mengikut kaedah pembacaan yang ditetapkan mengikut hukum syarak juga dijadikan salah satu syarat mutlak dalam pembacaan ibadat sembahyang. Sekiranya peraturan hukum ini gagal dipatuhi maka terbatallah ibadat sembahyang seseorang. Ini adalah disebabkan sekiranya sebutan Bahasa Arab tidak dilafazkan dengan tepat akan memberi maksud yang berlainan. Justeru pembacaan al-Quran berpandukan Ilmu Tajwid yang standard amat dititikberatkan dan diajarkan kepada umat Islam sejak kecil lagi.

Jaminan Allah terhadap pengekalan dan pemeliharaan kitab al-Quran diperjelaskan di dalam surah Al-Hijr سورة الحجر  ayat 9 :
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ  
                 Maksudnya :
" Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya."
Maksud yang sama juga dinyatakan dalam surah  سورة الأنعام  Al-An'aam ayat 115 : 
وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلا لا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ 
                      Maksudnya :
"Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah-rubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Ayat-ayat tersebut memberi erti bahawa kitabullah-kitabullah yang diwahyukan kepada Rasul-rasul yang diutuskan menggunakan tatabahasa dan persuratan yang lumrah digunakan kaumnya agar mudah difahami untuk disebarkan pula kepada umat manusia yang wujud pada zaman tersebut. Atas berbagai faktor yang tidak dapat dielakkan kitabullah-kitabullah yang asal menghadapi kepupusan hingga tidak dapat dikesan lagi kewujudannya. Sementara al-Quran pula terus berkekalan dan terpelihara keasliannya tanpa sebarang pindaan sehingga ke Hari Kiamat.

Isu yang dibangkitkan hingga menjadi kegemparan umum sekarang ialah mengenai cadangan menggunakan kalimah “Allah” di dalam kitab terjemahan Bible versi Bahasa Melayu bagi menggantikan kalimah “God” dan "Lord" kerana kalimah “Allah” ini dikatakan begitu lumrah digunakan sejak sekian lamanya di dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu dan upacara keagamaan penganut agama Kristian masyarakat peribumi dalam urusan gereja di Sabah dan Sarawak. Dakwaan ini mungkin ada kebenarannya kerana sebagai masyarakat peribumi yang tersebar di seluruh 'Dunia Melayu' atau Nusantara mereka adalah terjumlah dalam rumpun Melayu yang mengandungi berbagai-bagai etnik. 

Mereka bertutur dalam pelbagai dialek Bahasa Melayu, mengamalkan budaya adat resam dan sistem kepercayaan yang berteraskan falsafah hidup sebagai orang Melayu. Sungguhpun sebilangan besar masyarakat Melayu telah beagama Islam sejak bermulanya proses pengislaman  'Dunia Melayu' pada kurun ke-14-15 Masehi tetapi masih ramai yang terus mengekalkan budaya dan kefahaman asal mereka sama ada Hinduisme, Buddhisme, Anamisme dan kepercayaan warisan tradisi nenek moyang terdahulu. Kedatangan kuasa-kuasa kolonial barat bermula pada kurun ke-16 Masehi turut memperluaskan lagi penyebaran ajaran agama Kristian/Nasrani di kalangan penduduk tempatan yang belum memeluk agama Islam.
                                                                                                               
Namun sebagai bangsa serumpun perhubungan sosio-budaya dan sosio-ekonomi mereka yang telah terjalin sejak berkurun-kurun lamanya masih berterusan seperti biasa menggunakan bahasa dan istilah yang mudah difahami dan lumrah dituturkan sesama mereka. Para mubaligh Kristian juga bebas bergerak di kawasan pendalaman untuk menyebarkan fahaman Kristian menggunakan bahasa Melayu/dialek tempatan dan istilah-istilah yang mudah difahami dan biasa digunakan oleh penduduk tempatan termasuk penggunaan kalimah-kalimah Tuhan, Allah (mengikut sebutan loghat tempatan) dan sebagainya tanpa memahami pengertian sebenar mengikut lunas dan prinsip ilmu agama Islam. 

                             Image result for batu bersurat terengganu

                                                              Batu Bersurat Terengganu

Pada zaman transisi kemasukan agama Islam di Nusantara kalimah-kalimah yang berunsur kepercayaan fahaman Hinduisme masih ketara dan lumrah digunakan. Ini dapat diteliti pada epigrafi kalimah:“Dewata Mulia Raya” yang terpahat pada inskripsi Bahasa Melayu tulisan jawi “Batu Bersurat Terengganu” yang dipercayai dipahat pada 702H/1303 M. Tidak terdapat secara khusus kalimah “Allah” pada batu bersurat tersebut walaupun terdapat kalimah-kalimah yang merujuk kepada agama Islam seperti; “Rasulullah Sallallhiwassalam”,  "Islam", bulan "Rajab" dan hari "Juma'at". 

Adalah dijangkakan pengertian Tuhan dan Allah yang dimaksudkan oleh para mubaligh Kristian ketika itu adalah berteraskan konsep “Trinity” yang dilambangkan pada "CROSS/CRUCIFIX" (Salib) menjadi doktrin asas kepercayaan agama Kristian. Kalimah dan lambang ini digunakan untuk memperjelaskan konsep ketuhanan berdasarkan pengertian di dalam kitab Terjemahan Bible yang sudah dipinda. 

Penggunaan kalimah Allah begitu lumrah dituturkan oleh pelbagai etnik rumpun Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai ‘lingua-franca’ yang menghubungkan mereka dalam urusan seharian dan tidak terhad khusus dalam urusan agama sahaja. Kemungkinan besar pemahaman masyarakat Melayu terhadap kalimah Allah pada ketika itu hanya setakat sebagai Tuhan yang menjadikan sekalian alam yang mudah difahami oleh logik akal mereka.

Pemahaman Ilmu At-Tawhid yang menghuraikan dengan lebih mendalam mengenai Allah Subhanahuwataal Tuhan Jalla Wa Azza sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. adalah terlalu asing bagi mereka atau tidak pernah diajarkan. Adalah terlalu sukar bagi orang Melayu/Islam awam biasa untuk memahami bahawa Allah Taala itu Qadim, bukan makhluk dan Zat (Diri) dan Sifat Allah itu Qadim yang tidak menyamai sama sekali dengan zat dan sifat makhluk walau dalam apa jua hal sekalipun. Penggunaan kalimah “Allah” terlalu kerap diucapkan pada setiap masa bukan sahaja dalam urusan agama bahkan dalam berbagai urusan lain termasuk ketika terkejut, melatah, bersumpah, bergurau-senda dan sebagainya tanpa mengambil kira atau mengetahui ianya kalimah al-Quran yang mengandungi pengertian ilmu yang amat mendalam di sebaliknya.

Kebiasaan ungkapan kata orang Melayu beragama Islam ini dicontohi pula oleh kaum peribumi lain yang belum beragama Islam tetapi mempercayai adanya Tuhan mengikut kefahaman masing-masing. Sebagaimana orang Melayu beragama Islam yang hanya memahami bahawa Allah itu ialah nama Tuhan yang menjadikan alam ini, kaum peribumi yang belum beragama Islam pun mempunyai kefahaman yang hampir serupa walaupun mereka tidak beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan segala fahaman ilmu yang terkandung di dalam Rukun Iman yang enam perkara. Kedatangan kaum emigran Cina yang hampir kesemuanya bukan beragama Islam pada sekitar kurun ke-19 turut mempelajari daripada  orang Melayu bahawa kalimah/istilah "Allah" itu dimaksudkan sebagai Tuhan yang menjadikan alam ini. Mereka menyebut kalimah Allah itu mengikut dialek/loghat lidah Cina; Tuan Ala”. Hal yang sama juga berlaku di kalangan kebanyakan masyarakat peribumi di Sarawak dan Sabah yang menyebut kalimah Allah dengan dialek masing-masing yang kadangkala berbunyi "Alla" dan sebagainya.

Kedatangan kuasa kolonial Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu bermula dengan pemajakan Pulau Pinang daripada Kedah pada tahun 1786, “penyerahan” Singapura daripada Johor pada tahun 1819 dan Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang memperkenalkan pemerintahan Sistem Residen Inggeris di Perak dan seterusnya disusuli pula dengan perjanjian yang sama di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan mengizinkan Inggeris mengendalikan pemerintahan negeri-negeri Melayu. Pihak Inggeris cukup memahami betapa sensitifnya orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu yang kesemuanya beragama Islam terhadap pegangan agama dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Maka segala hal mengenai agama Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu dan Adat Melayu diserahkan pengurusannya kepada Raja-raja Melayu tanpa sebarang campurtangan pihak Inggeris.

Image result for Kitab Bibel dalam Bahasa Arab dan Melayu                   Manuskrip tulisan tangan terjemahan kitab Kitab Injil tulisan Jawi 

Kewujudan dan pembangunan bandar-bandar baru di bawah pentadbiran kuasa kolonial Inggeris di kawasan-kawasan pusat kegiatan ekonomi lebih menonjolkan kewibawaan sistem pemerintahan Inggeris dan cara hidup mereka yang menganut agama Kristian. Justeru muncul sekolah-sekolah Inggeris peringkat Rendah dan Menengah yang kebanyakannya dibina di bandar-bandar utama.  Pihak gereja Anglican dan Catholic turut membina dan menggerakkan sepenuhnya banyak sekolah Inggeris berorientasikan gereja (Mission Schools) di atas tanah milik kekal gereja kurniaan kerajaan Inggeris di kawasan-kawasan strategik di bandar-bandar.  Bangunan-bangunan yang menjadi identiti seni bina zaman kolonial ini menjadi mercutanda utama di bandar-bandar baru ini yang berkekalan hingga sekarang. Sistem pendidikan Inggeris begitu menyeluruh dan menjadi teras dan acuan dalam dasar pelajaran di Tanah Melayu.

Keadaan ini berbeza sedikit di Melaka yang ditakluk dan dijajah sepenuhnya oleh kuasa Portugis pada tahun 1511 dan diikuti pula oleh kuasa Belanda pada tahun 1642 sebelum diserahkan kepada pemerintahan Inggeris selepas Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824. Bermula daripda tahun 1511 Melaka tidak lagi tertakluk kepada sistem pemerintahan beraja di bawah kesultanan Melayu.  Ini memberi erti bermula pada tahun 1511 perkembangan dan pentadbiran agama Islam di Melaka tidak lagi tertakluk dan diuruskan institusi raja tetapi oleh badan-badan agama yang diterajui oleh ketua-ketua orang Melayu dan ulama-ulama/ilmuan Islam yang dilantik oleh pemerintah.


  Gereja Christ Church Melaka yang dibina pada tahun 1753 ini adalah antara gereja terawal dibina di Tanah Melayu selain daripada Gereja St Paul yang dibina pada tahun 1521 dan Gereja St Peter's pada tahun 1710 di Melaka.


Pada peringkat awal kebanyakan orang Melayu enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris yang dianggap sebagai sekolah orang “kafir” yang menyemaikan ilmu pelajaran agama "kafir". Kebanyakan orang Melayu kampung menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama rakyat dan pondok yang terdapat di desa dan pinggir-pinggir kota tradisi yang dibangun dan digerakkan secara persendirian oleh guru-guru agama lepasan pendidikan agama dari dalam negeri dan Timur Tengah. Setelah sekian lamanya masa berlalu akhirnya mereka mengubah haluan dan mula menghantar anak-anak belajar di sekolah-sekolah Inggeris di bandar. 

Antara faktor utama yang menjadi daya dorongan terhadap perubahan sikap ini adalah perbezaan dan perubahan ketara dalam sistem pemerintahan negeri-negeri Melayu daripada tradisi monarki mutlak kepada struktur pemerintahan kolonial yang bekiblat ke England beridentiti barat dan berdaya maju. Mereka dapat memberikan penilaian sendiri betapa pelajar-pelajar lepasan sekolah Inggeris mendapat pekerjaan berjawatan sebagai golongan elit pegawai kolonial berprestij tinggi dan profesional dalam berbagai agensi kerajaan. Mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran tinggi di England/Eropah di bawah tajaan biasiswa kerajaan kolonial.  Di samping itu hampir kesemua agensi kerajaan berteraskan konsep sistem pengurusan Inggeris yang tidak dapat memisahkan penggunaan dan penghayatan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi yang menjadi teras utama dalam sistem pemerintahan, pembangunan, perundangan dan perhubungan komunikasi.


Tegasnya acuan dan pelaksanaan pelan tindakan strategi sistem pemerintahan kolonial Inggeris telah berjaya mengubah dan membudayai bukan sahaja dalam sistem berkerajaan bahkan dalam pemikiran dan sistem nilai penduduk tempatan. Senario ini berjalan lancar dengan mantap dan kukuh dalam tempoh masa begitu lama sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September, 1963.

                                                                                                                 
Pada ketika itu tidak timbul sebarang isu untuk menterjemahkan Bible ke dalam Bahasa Melayu kerana sistem pendidikan kolonial adalah berteraskan Bahasa Inggeris. Di samping itu semua gereja yang terdapat di Tanah Melayu digerakkan oleh paderi-paderi Inggeris dan anak-anak didik mereka yang kesemuanya terdiri daripada kaum Cina, India, Portugis dan kaum-kaum lain yang bukan orang Melayu. Demikian juga para penganut agama Kristian adalah kesemuanya terdiri daripada kaum bukan Melayu.

Sungguhpun tidak diwartakan secara rasmi di dalam dokumen bertulis kerajaan yang menetapkan/mewajibkan bahawa orang Melayu yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu itu beragama Islam tetapi tanggapan umum demikianlah keadaannya.  Walaupun Orang Asli itu pada hakikatnya adalah salah satu etnik rumpun Melayu tetapi bagi orang Melayu di Semenenjung Tanah Melayu sekiranya mereka tidak memeluk agama Islam mereka tidak dianggap sebagai orang Melayu. Bahkan adalah begitu sinonim dan menjadi tanggapan umum bagi kebanyakan penduduk di Tanah Melayu mengatakan apabila seseorang itu "masuk" Islam bererti dia "masuk/jadi" Melayu. 


Masjid Kampung Hulu, Melaka yang dibina pada tahun 1728 adalah antara masjid tertua di Tanah Melayu
Berdasarkan hakikat ini pada ketika itu adalah amat janggal atau tidak mungkin sama sekali bagi pihak gereja menterjemahkan Bible ke dalam Bahasa Melayu, apa tah lagi untuk mengubah kalimah nama Tuhan “God” dan “Lord” yang tertera di dalam kitab terjemahan Bible versi Bahasa Inggeris itu kepada “Allah”. Bagi sesetengah penganut Kristian mungkin beranggapan penggunaan kalimah "Allah" iaitu kalimah daripada al-Quran yang sentiasa diucapkan oleh umat Islam boleh memberi erti sebagai menerima kebenaran al-Quran dan Islam yang secara langsung menolak fahaman "Christianity" yang mereka fahami dan anuti selama ini.


Dalam pada itu bagi kebanyakan orang awam Melayu pada ketika itu tidak timbul persoalan pemahaman ilmu yang lebih mendalam bagi memperjelaskan maksud kalimah “Allah”. Bagi kebanyakan mereka sebagai orang Islam adalah memadai memahami sepintas lalu sahaja  pengertian  “Kalimah Syahdat At-Tawhid dan Syahdat Ar-Rasul” dengan melafazkan dengan lidah ucapan Dua Kalimah Syahdat tersebut dan beriktiqadkan di hati dengan pengertian bahawa: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. 

Mereka yang  mendalami Ilmu At-Tawhid akan diajarkan pula ilmu mengenali Allah yang terkandung di dalam Sifat 20”. Pemahaman ilmu yang terkandung di dalam “20 Sifat Allah” ini dijadikan pelajaran wajib di sekolah-sekolah dan pengajaran agama di masjid, surau dan institusi agama Islam buat sekian lamanya. Adalah menjadi tanggapan umum di kalangan masyarakat Melayu bahawa sesiapa yang tidak menghafaz “Sifat 20” maka keimanan dan keislamannya tidak sempurna. Dalam erti kata lain jika seseorang Islam itu tidak membaca dan menghafal “Sifat 20” maka dia tidak mengenali Allah sebagai Tuhan dan dengan sendiri rosaklah akidah keimanannya.

Di dalam al-Quran ada menyebut penggunaan kalimah “Allah” di kalangan orang yang tidak beriman seperti yang dimaksudkan di dalam surah Al-Zukhruf  سورة الزخرف‎‎ ayat 87-88 :
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ (87) وَقِيلِهِ يَا رَبِّ إِنَّ هَؤُلاءِ قَوْمٌ لا يُؤْمِنُونَ (88 
                    Maksudnya :
“Dan sungguh jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang mengadakan mereka? Nescaya mereka menjawab : “ALLAH”, maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)?, (87)
dan  (Allah mengetahui) ucapan Muhammad  : 'Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman'.” (88)
Berbagai pendapat telah diutarakan oleh para ilmuan mengenai penggunaan kalimah “Allah” oleh golongan yang tidak beriman pada zaman Rasulullah dan ketika ayat-ayat al-Quran ini diturunkan. Ramai yang berpendapat bahawa masyarakat Arab jahilliah ketika itu memang sudah biasa menggunakan kalimah “Allah”  sejak Nabi Ibrahim Khalilullah Alaihisalam menerima wahyu Allah memerintahkannya membina semula Kaabah Baitullah untuk dijadikan kiblat bagi semua orang yang beriman melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Peristiwa bersejarah yang diwarisi setiap generasi ini ada diwahyukan di dalam kitabullah dan diperjelaskan dengan lebih terang lagi di dalam al-Quran sebagai ingatan dan panduan kepada umat Islam mengerjakan ibadat Haji. Bermula dari itu Mekah menjadi kota suci agama Islam dan terus berkembang maju tanpa henti sehingga kini. Kemungkinan besar kalimah “Allah” yang dirujuk sebagai Tuhan memang sudah sebati digunakan oleh berbagai suku kaum Arab sejak zaman Nabi Ismail Alaihisalam, putera Nabi Ibrahim berada di Mekah menjaga Ka'abah Baitullah. 
Lama kelamaan selepas kewafatan Nabi Ismail dan para ilmuan mukmin ahli al-kitab semakin berkurangan dan tidak ada pengganti yang berkemampuan  menyampaikan Ilmu At-Tawhid berasaskan ilmu wahyu al-kitab sebenar pemahaman mereka terhadap Allah semakin pudar hingga menjadikan mereka jahil terhadap pengertian sebenar ilmu mengenali “Allah” Tuhan yang mengadakan semesta alam serta segala hal berkaitan dengan Rukun Iman. Lalu mereka membuat andaian yang munasabah pada logik akal fikiran mereka terhadap Tuhan Allah dengan membuat berbagai jenis patung berhala pelbagai nama dan ukuran untuk disembah sebagai objek perantaran beribadat kepada Tuhan. 

Maka berkurun-kurun lamanya Ka'abah Baitullah itu dikuasai puak Arab jahilliah yang menempatkan berbagai jenis patung berhala di sekelilingnya sehingga dibangkitkan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah s.a.w. dan diturunkan wahyu al-Quran untuk membersihkannya. Penggunaan kalimah "Allah" yang merujuk kepada Tuhan begitu lumrah mereka ucapkan tetapi mereka jahil terhadap pengertian sebenar kalimah tersebut.

[Sebagaimana yang berlaku kepada umat terdahulu selepas sekian lama ketiadaan Rasul-rasul hingga berani membuat berbagai-bagai tafsiran sendiri mengenai pengertian ilmu terhadap Allah sebagai Tuhan yang wajib diibadatkan, perkara yang sama juga boleh berlaku di kalangan umat Islam walaupun masih membaca al-Quran sebenar yang dijamin Allah terus menjaga kesuciannya. Maka tidak hairanlah sehingga kini terdapat bermacam-macam ajaran dan pemahaman khusus mengenai ilmu mengenali Allah di kalangan umat Islam.
 
Ramai daripada kaum Bani Israel yang mengikuti Nabi Musa a.s. kembali menyembah patung lembu tidak lama selepas selamat menyeberangi laut yang terbelah dua apabila dikejar Firaun dan tentera-tenteranya. Mereka menyaksikan sendiri dengan mata kepala tentang keajaiban mukjizat Nabi Musa a.s. itu tetapi tidak lama selepas Nabi Musa a.s. pergi dan meninggalkan mereka seketika di bawah kelolaan Nabi Harun a.s. mereka mengingkari hukum Allah kerana kejahilan dan ketidakikhlasan mereka beragama. Hakikat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa manusia amat sukar memahami mukjizat yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya. Mereka amat mudah menjadi sesat jalan agamanya jika tidak berilmu dan terlalu mencintai duniawi. ]

Berdasarkan pemahaman ilmu yang banyak disebut di dalam al-Quran kalimah “Allah” adalah salah satu nama Allah yang terkandung di dalam Asma’ Ul Husna iaitu nama-nama Allah yang amat indah yang tidak terhingga banyaknya dan disebut di dalam al-Quran sebanyak 99 nama bagi memperjelaskan Zat dan Sifat-sifat-Nya yang Qadim. Kalimah "Allah" di dalam Asma’ Ul Husna اسماء الله الحسنى diertikan sebagai:
"ALLAH ialah sebesar-besar nama bagi Allah untuk menunjukkan ke atas Zat yang Maha Tinggi Martabat yang berhimpun ke semua sifat ketuhanan."
Pengertian ini memberi erti bahawa di dalam kalimah “Allah” ini terhimpun segala Asma’ Ul Husna Allah yang amat indah lagi amat luas tafsiran ilmunya bagi memperjelaskan Zat (Diri) dan kesemua Sifat Allah yang Qadim lagi Azali. Hakikat ini memberi kefahaman bahawa kalimah “Allah” ini adalah nama yang diwahyukan Allah sendiri bagi memperjelaskan Diri-Nya sendiri yang sebenar agar manusia dapat memahaminya dengan betul di bawah bimbingan Rasulullah s.a.w. dan Malaikat Jibrael Alaihisalam yang menyampaikan wahyu Allah kepada para Nabi dan Rasul yang dibangkitkan. Dengan cara ini manusia berpegang kepada keimanan yang betul dan tidak tersesat jalan agamanya apabila melakukan ibadat untuk mendapat keredhaan-Nya serta dikurniakan pahala dan rahmat-Nya tanpa menyekutukan/menyamakan Allah dengan segala makhluk-Nya.
Kepentingan dan keutamaan Asma’ Ul Husna اسماء الله الحسنى ini diperjelaskan di dalam al-Quran surah سورة الأعراف‎‎  Al-A’raaf aya180  :
وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 
                     Maksudnya :
“Allah mempunyai nama-nama yang sangat indah Asma' Ul Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asma' Ul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam [meneyebut] nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
Dalam Hadis sahih ada menjelaskan yang ertinya bermaksud :
"...... bahawasanya bagi Allah itu 99 nama, 100 melainkan satu, barangsiapa mengiranya nescaya ia masuk syurga. Bahawasanya ia ialah yang witir ( yang tiada mempunyai pasangan ), Ia kasihkan bilangan yang gasal (bilangan yang tiada mempunyai pasangan) ."
Dalam Hadis riwayat Al-Bukhari pula memperjelaskan yang bermaksud :
"... dan tiada menghafaznya oleh seseorang melainkan dia masuk syurga."
Maksud mengiranya itu ialah menghafaznya. Kata satu qaul ia bermaksud memahami segala maknanya dan beriman dengannya. Sementara satu qaul yang lain pula berkata maksud mengira di sini ialah beradab baik dengan barang yang membolehkannya beramal dengan segala maknanya.
Adapun yang dimaksudkan dengan makna "masuk syurga" yang dijelaskan di dalam Hadis ini bukanlah bererti bahawa apabila seseorang itu tahu mengiranya daripada 1 hingga 99 nescaya ia masuk syurga. Bahkan maksud mengira dalam Hadis ini ialah dengan makna menghafaznya dan maksud menghafaznya pula ialah memahami segala maknanya dan maksud memahami segala maknanya itu ialah beriman dengannya.

Dalam konteks ini orang-orang yang tidak beriman (kafir) dan munafiqin boleh membaca dan menghafal Asma' Allah Al-Husna tetapi mereka tidak memahami segala maknanya.  Jika mereka diberi faham segala maknanya sekalipun mereka tetap tidak mahu beriman dengan segala maknanya oleh sebab segala makna yang terkandung pada Asma' Allah Al-Husna ini berlawanan/bertentangan dengan apa yang diiktiqadkan oleh hati-hati (qalbu) mereka. Oleh itu orang yang mendapat balasan syurga kerana menghafaz Asma' Allah Al-Husna adalah mereka yang bukan sekadar membaca dan menghafaz Asma' Allah Al-Husna ini sahaja bahkan memahami dan beriman dengan segala kehendak maknanya yang sebenar.

Perlu difahami juga  bahawa apabila seseorang itu membaca pengertian Asma’ Ul Husna dia hendaklah sentiasa berhati-hati dan penuh wasapada agar tidak tersalah fahaman mengenai pengertian sesetengah nama Allah di dalam Asma’ Ul Husna yang boleh merosakkan akidah keimanan terhadap Allah kerana menyamakanNya dengan makhluk.  Contohnya apabila membaca kalimah An-Nuur boleh merosakkan Asma' Allah Al-Husna sekiranya diertikan sebagai cahaya atau Al-Dhau un' yang bererti cahaya iaitu seperti cahaya terang yang disinari lampu, cahaya matahari dan sebagainya yang mempunyai rupa, ukuran dan berjuzuk. An-Nuur dalam Asma Allah Al-Husna dikhususkan kepada Allah sahaja yang bererti :
" yang menzahirkan bagi tiap-tiap barang yang tersembunyi  (tidak ada) dengan mengeluarkannya kepada ada yakni yang mengadakan tiap-tiap sesuatu yang tidak ada daripada semata-mata tidak ada wujudnya sama sekali kepada ada."
Firman Allah yang bererti :
"Wahai orang-orang yang beriman jika kamu sekalian takut kepada Allah nescaya Ia menjadikan bagi kamu Furqana."
Kata satu qaul maksud Furqana ini ialah cahaya yang membezakan dengannya di antara yang benar dan yang salah dan mengeluarkan dengannya daripada segala perkara syubhat yakni perkara-perkara yang tidak jelas di antara benar dan salahnya. Oleh itu al-Quran dinamakan Nuur kerana al-Quran menerangkan yang mana benar dan yang mana salah pada hukuman Allah.

Demikian juga apabila membaca kalimah "Al-Quddus" yang bererti "Maha Suci Allah daripada mengenai segala sifat kekurangan dan segala sifat baharu," maka  hendaklah menolak segala lintasan dan was-was di hati   yang hendak menuduhkan yang Allah SWT itu menyamai makhluk-makhlukNya.

Pengertian kalimah "Al-Wahidu Al-Ahadu" di dalam Asma’ Ul Husna  ialah :
" Hanya Ia (Allah) sahaja yang bersifat ketuhanan dan bersifat pemilikan tiap-tiap sesuatu. Tidak ada sesuatu apa pun yang menyekutui bagi-Nya pada keduanya itu yakni pada sifat ketuhanan dan sifat pemilikan tiap-tiap sesuatu. Al-Wahid itu pula ialah tidak ada juzuk bagi-Nya dan tidak menerimai bahagi-bahagi iaitu tiada sukatan atau ukuran seperti kecil, besar, panjang, lebar dan apa juga yang seumpama dengannya. Dikehendaki juga dengan makna Al-Wahid itu ialah Allah tidak ada bandingan bagi-Nya dengan sesuatu apa pun pada martabat-Nya."
Kalimah "ALLAHU AKBAR" yang sentiasaa diucapkan ketika mendirikan ibadat sembahyang, zikirullah, serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan termasuk juga digunakan sebagai kata-kata semangat kepada seseorang yang berhadapan dengan sesuatu cabaran sering diertikan dengan hanya "Allah Yang Maha Besar" sahaja. Sekiranya pengertian ini tidak diberikan penjelasan yang lebih lanjut boleh memberi erti kepada seseorang itu bahawa Allah itu mempunyai saiz ukuran besar yang melazimkan bagi sesuatu yang mempunyai juzuk. Adapun maksud sebenar yang lebih jelas terhadap kalimah Allahu Akhbar ini ialah:
" Allah Yang Maha Besar daripada dapat dikenali dengan segala pancaindera yang lima. Yang Maha Besar daripada dapat diketahui akan hakikat kemulian-Nya. Yang Maha Besar daripada dapat mengetahui akan hakikat Zat-Nya. Bahawasanya tiada dapat mengetahui akan hakikat Zat Allah SWT itu melainkan Allah."
Sungguhpun kalimah Allahu Akhbar ini tidak terkandung di dalam Asma' Allah Al-Husna tetapi ia dikaitkan dengan kalimah Al-'Azim yang diertikan :
"Yang tiada dapat memikirkannya oleh akal dan tiada dapat mengetahui akan hakikat kemuliaan Zat-Nya oleh mata hati." 
Ia juga boleh dikaitkan dengan kalimah Al-Kabir yang bererti :
"Yang mengatasi pujian orang-orang yang memuji dan mengatasi kesifatan orang-orang yang mensifati (atau) yang amat mempunyai kebesaran."
Kalimah-kalimah lain yang terkandung di dalam Asma’Ul Husna yang perlu berwaspada apabila membacanya ialah : Al-Awal, Al-Akhir, Al-Zahir, Al-Batin, Al-Hayy, Al-Qayyum, Al-Sami’, Al-Basir dan Al-Khaliq. Andainya pemahaman pengertian kalimah-kalimah ini memberi maksud bahawa Allah itu menyamai zat dan sifat makhluk maka terbatallah kesemua Asma’ Ul Husna Allah yang amat mulia dan rosaklah akidah orang yang membacanya.

Bagi memperkukuhkan lagi pemahaman Asma’ Ul Husna seseorang yang berhasrat untuk memahami ilmu mengenali Allah dengan lebih mendalam lagi hendaklah membaca, memahami dan beriman kepada kandungan ilmu yang terkandungan di dalam Kitab Ihya' Ulumuddin juzuk pertama dalam bab- Qawaid Al-Aqaid-Aqidah ahlil alsunnah fi kalimati alsyahadah . Di dalamnya terkandung huraian Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jemaah Pada Makna Syahdah AtTauhid dan Syahdah Al Rasul yang panjang dan jelas pentafsirannya bagi memperjelaskan khusus mengenali Allah, Rasul-Nya  dan perkara-perkara pokok mengenai Rukun Iman yang enam perkara. Apabila seseorang itu sudah membaca dan memahami dengan betul kandungan ilmu yang dihuraikan di dalam kitab ini nescaya dia memahami bahawa pengertian syahdat At-Tawhid itu ialah :
Aku menaik saksi memberi pengakuan yang teguh dengan lidah dan berkeyakinan penuh di hati mengakui akan bahawasanya tiada yang sah DIIBADATKAN dengan sebenarnya melainkan Allah [ LA M’ABUDA BIHAQQIN ILLALLAH (لامعبود بحق إلا الله) ]
Adalah dengan kitab-Nya yang mulia yang diturunkan kepada Nabi-Nya yang dibangkitkan menjadi Pesuruh-Nya "Rasul-Nya" itu mengetahuilah kita sekalian hamba Allah ini atas lidah Rasul-Nya itu akan bahawasanya Allah SWT, Tuhan kita Jalla Waa'zza itu ianya ada maujud, qadim, azali, baqi dan adanya Allah SWT itu Ia-Nya sentiasa ada,selama-lamanya ada, tiada berkeputusan ada-Nya.
Adanya Allah SWT itu tiada bagiNya permulaan, tiada bagi-Nya kesudahan, Allah SWT itu tiada bagiNya misal, tiada bagi-Nya bandingan, tidak ada bagi-Nya umpama dan tidak ada bagi-Nya keadaan yang berlawanan.
Bahawasanya Allah SWT itu sentiasa mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan " Bal Hual Auwalu wal-Aakhiru Wazzahiru Wal-batinu Wahuwa Bikulli Syaia'in 'Alim" (  بلهوالأول والآخر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم ).  Bahkan Allah SWT itu ialah yang awal yang tiada berawal bagi-Nya, ialah yang akhir yang tiada berakhir bagi-Nya, ialah yang zahir ertinya Al-A'ali (العالي) yakni Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan tidak sesekali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa juga barang yang diadakan oleh-Nya. Dialah yang batin bererti Al-Muhtajibu A'nil-Hawasi Bihajbi Kibria-ihi (  المحتجب عن الحواس بحجب كبريائه) yakni ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya dan Allah SWT itu dengan tiap-tiap sesuatu Ia amat mengetahui.
Seterusnya dia hendaklah membaca dan memahami pengertian At-Tanzihu yang ringkasan maksudnya memberi erti bahawa :
"Bahawasanya Allah SWT itu IaNya bukan suatu benda, bukan suatu barang, bukan suatu bangsa, bukan suatu jenis, bukan di luar sesuatu, bukan di dalam sesuatu, bukan bercampur dengan sesuatu, bukan meliputi sesuatu dan tidak sekali-kali Allah SWT itu menyamai dengan segala apa jua barang yang diadakan olehNya atas apa jua jalan sekalipun.


Allah SWT itu tidak menyamai sesuatu, tidak ada sesuatu apa barang pun yang ada yang menyamai Allah, Allah itu tidak mengenai tempat, tidak mengenai masa, tidak mengenai pihak, tidak mengenai sukatan, tidak mengenai bilangan.

Allah itu tidak di atas sesuatu, tidak di bawah sesuatu dan mafhum makna bahawa Tuhan itu atas 'Arasy ialah dengan makna bahawa Allah itu memerintah dan memiliki 'Arasy dan bukan makna atas itu pihak dan tempat. 
Sesungguhnya Allah itu tidak sekali-kali menerimai pihak dan tempat dan Allah itu tidak di luar tujuh lapis langit dan bumi, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya.

Tuhan itu tidak di luar syurga, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur bersatu padu dengannya, bahkan Allah SWT Tuhan kita Jalla Wa'azza itu lain dan segala barang yang ada yang diadakan oleh Allah SWT itu lain, bahkan Allah SWT itu sangat berlainan dan sehabis-habis berlainan yang tiada sesuatu pun yang menyamaiNya.

Maka sebelum ada masa, sebelum ada tempat, sebelum ada lapang, sebelum ada cahaya, sebelum ada warna, sebelum ada rupa, sebelum ada huruf, sebelum ada suara, sebelum ada sukatan, bilangan, ukuran, gerak, diam, sunyi, senyap dan sebelum ada 'Arasy, Qursi, syurga, neraka, tujuh lapis langit dan bumi dan segala isinya, dan sebelum ada apa-apa benda pun barang yang diadakan oleh Allah SWT itu adalah Allah SWT itu Tuhan kita Jalla Wa'azza itu Ia-Nya ADA sebagaimana Dia ADA itu juga, yang sentiasa ADA, selama-lamanya ADA, mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan.
Bagi melengkapi pemahaman bab mengenal Allah ini seseorang itu hendaklah membaca dan memahami kesemua kandungan ilmu yang diperjelaskan di dalam tajuk-tajuk kecil di dalamnya iaitu : Al-Hayatu wal-Qudratu, Al-Ilmu, Al-Iradatu, Assma’u wal Basaru, Al-Kalamu dan Al-Afa’al. Rumusan daripada pemahaman dalam bab ini dapat dikatakan bahawa :
"Apabila Allah SWT itu sedemikian keadaan-Nya maka Allah SWT itu Ia-Nya yang Hidup, yang Berilmu, yang Berkuasa, yang Berkehendak, yang Mendengar, yang Melihat, yang Berkata-kata dan Dia hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Dia Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim, Dia Berkuasa dengan Qadrat-Nya yang Qadim, Dia Berkehendak dengan Kehendak-Nya yang Qadim, Dia Mendengar dengan Pendengaran-Nya yang Qadim, Dia Melihat dengan Penglihatan-Nya yang Qadim dan Dia Berkata-kata dengan Kalam-Nya yang Qadim (tanpa huruf dan tanpa suara). Kesemua Sifat Allah ini berdiri pada Zat-Nya yang Qadim."
Sekiranya seseorang itu hendak memperkukuhkan lagi pemahamannya terhadap ilmu mengenali Allah maka amat elok sekiranya dia dapat membaca dan memahami maksud Hadis berikut :
"Dan ertinya meriwayatkan oleh Ali Bin Ali Talib Karamallahu Wajhah daripada Nabi Muhammad s.a.w. , bahawasanya ia bersabda: 

Bahawasanya Allah SWT memuji Diri-Nya sendiri tiap-tiap hari dan Ia berfirman :
Bahawasanya Aku ialah Allah Tuhan yang memiliki sekalian alam.  Bahawasanya Aku ialah Allah yang tiada sah diibadatkan dengan sebenarnya melainkan Aku yang hidup lagi sentiasa ada dan selama-lamanya ada. Bahawasanya Aku ialah Allah yang tiada sah diibadatkan dengan sebenarnya melainkan Aku Yang Maha Tinggi Martabat lagi yang Amat Mempunyai Kebesaran. Bahawasanya Aku ialah
Allah yang tiada sah diibadatkan dengan sebenarnya melainkan Aku, tiada Aku beranak dan tiada Aku diperanakkan. Bahawasanya Aku ialah Allah yang tiada sah diibadatkan dengan sebenarnya melainkan Aku,Yang Amat Memaafi lagi Amat Mengampuni .
Bahawasanya Aku ialah Allah yang tiada sah diibadatkan dengan sebenarnya melainkan Aku yang mengadakan permulaan tiap-tiap sesuatu dan kepada di bawah pentadbiran milik Aku ia kembali, Yang Amat Mempunyai Kekuatan dan Yang Amat Mempunyai Hikmat,  Yang Amat Pemurah lagi yang Amat Mengasihani, yang memiliki hari agama (yakni hari kiamat besar), yang mengadakan kebajikan dan kejahatan, yang mengadakan syurga dan neraka, yang tiada menyamai sesuatu lagi yang tiada mempunyai juzuk lagi yang Ia sahaja yang ada mempunyai sifat ketuhanan, yang berhajat semua makhluk kepada-Nya kerana kesempurnaan QadratNya lagi yang tiada menjadikan bagi-Nya isteri dan anak, yang tiada mempunyai lawanan, yang tiada mempunyai pasangan, Yang Amat Mengetahui segala perkara yang ghaib dan segala perkara yang tiada ghaib,

Yang Amat Mempunyai pemilikan dan kesultanan lagi Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan segala ketandaan baru [ seperti masa dan tempat ] ,Yang Amat Sejahtera daripada segala kekurangan yang membenarkan Diri-Nya dan RasulNya dan kitab-kitabNya, lagi Yang Amat Mengetahui yang tiada tersembunyi daripada ilmuNya kadar sebesar debu jua pun, Yang Amat Mempunyai Kekuatan lagi Yang Amat Mempunyai Kekerasan lagi yang Amat Mempunyai Kebesaran ,yang mengadakan sesuatu daripada tiada kepada ada dengan QadratNya lagi yang mengadakan bagi segala barang sesuatu dengan tiada contoh misal yang lalu lagi yang mengadakan segala rupa-rupa sekalian makhluk dan memperelokkan bagiNya,
Yang Amat Mempunyai Kebesaran, Yang Maha Suci daripada segala sifat-sifat makhluk, Yang Amat Tinggi Martabat,  yang tiada mengenai sama sekali segala kekurangan, yang mempunyai Qadrat Yang Amat Sempurna lagi yang mengalahkan bagi semua makhluk, yang tiada bersegera membalasi seksa di atas kesalahan, lagi Yang Amat Baik.

Ahli kepercayaan dan kemuliaan.  Aku mengetahui perkara yang tersembunyi dan barang yang lebih tersembunyi, yang mempunyai Qadrat Yang Amat Sempurna, yang mengadakan rezeki-rezeki hamba-hambaNya dan segala makhluk. "
[Perlu diingati bahawa kandungan maksud Hadis ini adalah himpunan maksud Asma’ Ul Husna yang amat elok jika dijadikan do’a harian kerana amat besar pahala dan fadhilatnya. Sekiranya hendak dijadikan do’a kalimah “Aku” hendaklah ditukarkan kepada kalimah “Engkau”.]


Setelah membaca dan memahami segala ilmu yang terkandung di dalam Asma’ Ul Husna, Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Hadis Rasulullah s.a.w yang memperjelaskan bahawa Allah SWT memuji Diri-Nya sendiri pada setiap hari seseorang yang berhasrat memahami lebih mendalam terhadap ilmu pengenalan terhadap Allah hendaklah memahami juga maksud 
ayat al-Quran surah سورة الشورى  Asy- Syuura' ayat 11:

                     لَيْسَ كَمِثْـلِهِ شَئٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ البَصِيرُ

              [LAISA KAMITHLIHI SYAI'UN WA HUAS-SAMI'UL BASIR ]

yang boleh di ertikan bahawa: "Allah SWT itu tiada seperti seumpama "sesuatu" apa pun dan Ia Amat Mendengar lagi Amat Melihat."                                                             
Jika diambil fahaman makna yang lebih mudah kita sebutkan masa,  tempat, rupa,  warna, gerak, diam, sukatan kecil-besar, huruf, suara, bunyi, sunyi-senyap, gelap, terang, roh, malaikat, jin, manusia dan semua barang yang ada selain daripada ALLAH SWT ialah atas nama "syai'" atau "sesuatu" yang diadakan Allah daripada semata-mata tidak ada kepada ada.

Hendaklah difahami juga bahawa Allah tidak menyamai sesuatu apa pun  daripada segala barang dan apa jua kejadian yang diadakan-Nya daripada semata-mata tidak ada kepada ada dengan Qadrat-Nya yang Qadim. Kata-kata kalimah ini dapat diringkaskan perkataannya pula dengan kalimah bahawa :
Bagi memudahkan kefahaman mengenai ilmu mengenali Allah seseorang itu hendaklah beriktiqadkan dengan penuh keyakinan di hati bahawa Allah itu BUKAN makhluk yang TIDAK sama sekali menyamai makhluk dalam apa jua hal, jalan dan cara sekalipun tanpa misal, umpama dan tanpa ibarat. Makhluk pula diertikan sebagai 'segala sesuatu' yang ada selain daripada Allah yang dapat difikirkan akal dan terlintas di hati manusia. Kebiasaannya apabila makhluk Allah itu menjadikan sesuatu benda dia  berkehendakkan sesuatu faedah daripadanya bagi keperluan hidup. Ini adalah sifat tabii makhluk. 

Hakikat ini tidak  mengenai Sifat Allah yang menjadikan setiap makhluk-Nya tanpa mempunyai apa-apa hajat untuk mengambil faedah daripadanya. Di dalam al-Quran surah سورة الذاريات Adz-Zaariyaat : 56 ada menyebut yang bermaksud :
       وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ 
                    Maksudnya :
"Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya berbahagia mereka [dengan sebab] berbuat ibadat kepada Ku. "
Kandungan Do'a Khalifah Abu Bakr As-Siddiq yang dimaksudkan seperti berikut dapat memperjelaskan lagi pemahaman ini:
"Ya Allah, bahawasanya Engkau telah mengadakan permulaan makhluk daripada ketiadaan apa-apa hajat dengan Engkau kepada mereka itu, kemudian Engkau jadikan mereka itu dua puak, satu puak untuk syurga dan satu puak untuk neraka. Maka,  Engkau jadikanlah daku untuk syurga dan jangan Engkau jadikan daku untuk api neraka......." 
Dalam al-Quran surah سورة الأنفال Al-Anfaal ayat 2-4 ada memperjelaskan sifat-sifat orang mukmin soleh seperti yang dimaksudkan:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (2) الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (3) أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (4
                   Maksudnya :
" Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambalah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan-lah mereka bertawakkal.(Iaitu) orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperolehi beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan keampunan serta rezeki dan nikmat yang mulia."
Beginilah ciri-ciri orang mukmin sebenar yang Allah sendiri memperjelaskannya di dalam al-Quran dan besar kemungkinan terdapat juga di dalam kitabullah-kitabullah yang lain. Orang mukmin salih sentiasa wujud di dunia ini kerana   rahmat Allah yang diturunkan ke dunia ini adalah semata-mata disebabkan kemurahan-Nya dan do'a orang mukmin yang sentiasa menghiasi alam dengan ibadat dan amalan salih serta tidak putus-putus berdo'a memohon rahmat perlindungan dan kesejahteraan dari Allah. 
Ketinggian martabat mereka bukanlah disebabkan banyak melakukan ibadat -ibadat sunnat tetapi berpunca dariapda pemahaman dan penghayatan lautan ilmu yang terkandung di dalam kitabullah dan pengajaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Hakikat ini dapat dinilai daripada ciri-ciri keimanan yang terpapar pada diri para sahabat Rasulullah s.a.w. ketika wahyu mula diturunkan di bumi Mekah dan Madinah. Melalui rakaman peristiwa bersejarah  kita sentiasa memperingati bagaimana sahabat Rasulullah bernama Bilal bin Rabbah r.a., seorang hamba abdi Habasyi berkulit hitam diazab seksa tanpa peri kemanusiaan oleh tuannya kerana beriman memeluk Islam dan memaksanya supaya kembali murtad menyembah berhala. Dengan sabar dan tenang dia melafazkan kalimah: "Ahad, Ahad!!..."

Kalimah "Ahad" yang dilafazkan Bilal Rabbah bukan bererti dia membilang angka yang bermaksud "Satu...."atau bermakna mengira hari "Ahad..." tetapi dia membaca dan 'ainul qalbinya karam menghayati ilmu yang terkandung pada kalimah Asma Ul Husna "Al-Wahidul Ahadu" dan kalimah "Ahad" yang disebut  di dalam al-Quran Surah al-Ikhlas yang mempunyai pengertian ilmu khusus mengenai Allah yang sangat luas dan mendalam yang secara langsung meliputi keseluruhan maksud al-Quran.

Terdapat juga di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. yang pengsan apabila membaca al-Quran kerana amat takutkan Allah serta cukup memahami dengan sepenuh jiwa raga mereka bahawa al-Quran yang sedang dibacanya adalah Kalam Allah yang mengadakan setiap sesuatu dan seluruh alam yang tidak terhingga banyak dan keluasannya dan penuh dengan keajaiban. Begitu juga Rasulullah s.a.w. sendiri kadangkala jatuh pengsan apabila membaca al-Quran Surah Al-Waaqiah kerana tersangat takut menghayati kefahaman ilmu betapa dahsyatnya Hari Kiamat dunia dan balasan azab seksa api neraka kepada golongan ingkar yang diperjelaskan di dalam surah tersebut. Bagaimana pula hati orang yang  menggunakan kalimah "Allah" di dalam terjemahan Bible?
Sebagaimana yang diperjelaskan di atas apabila disebut sahaja kalimah “ALLAH” maka tersematlah di hati segala kandungan ilmu khusus mengenai pengenalan terhadap Allah seperti yang terkandung di dalam Asma’ Ul Husna. Hakikat ini memberi erti sekiranya pihak penganut agama Kristian menggunakan nama “ALLAH’ di dalam terjemahan kitab Bible versi Bahasa Melayu sekalipun maka dengan sendirinya terbatallah fahaman Kristian yang berteraskan konsep salib “Trinity”. 

Maka dengan sendirinya termansuhlah kitab Terjemahan Bible walau di dalam apa jua versi bahasa manusia sekalipun kerana banyak kandungannya bertentangan dengan al-Quran sebagai kitabullah terakhir yang diutuskan melalui Malaikat Jibrael Alaihisalam kepada Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. untuk disampaikan sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia. 

Antara ayat-ayat al-Quran yang menentang dan menyanggah kepercayaan dan konsep fahaman "Trinity" ini ialah : 
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلا تَقُولُوا ثَلاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلا
              Maksudnya :

i. "Wahai Ahli al-Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agama mu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putra Maryam itu adalah Utusan Allah dan [yang dijadikan] dengan kalimat-Nya, yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan dengan tiupan roh [daripada Malaikat dengan perintah Allah kepada diri Maryam]. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "[Tuhan itu ] tiga," berhentilah daripada mengucapkan [kalimah]itu. [Itu] lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah itu Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukupklah Allah untuk menjadi Pemelihara."
                  [ Surah سورة النساء  An-Nisaa': 171  ]  
وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا (88) لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا (89) تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الأرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا (90) أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا (91) وَمَا يَنْبَغِي لِلرَّحْمَنِ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا (92

               Maksudnya :
 ii. "Dan mereka berkata : "Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil  (mempunyai) anak. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar. Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwakan Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak."
                                       [  Surahسورة مريم   Maryam: 88-92

Terdapat juga beberapa ayat al-Quran yang menyanggah kepercayaan salah kebanyakan ahli al-kitab terhadap Nabi Isa Alaihisalam dan mendakwanya telah dibunuh dan disalib. Hal ini diperjelaskan antaranaya seperti berikut:
مَا الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ إِلا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ وَأُمُّهُ صِدِّيقَةٌ كَانَا يَأْكُلانِ الطَّعَامَ انْظُرْ كَيْفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الآيَاتِ ثُمَّ انْظُرْ أَنَّى يُؤْفَكُونَ 
                    Maksudnya :
" Al-Maseh putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya boleh memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu)." 
                   [Al-Quran surah سورة المائدة  Al-Maa-idah : 75 ]
Demikian juga firman Allah  yang terkandung di dalam surah سورة النساء An-Nisaa' ayat 157 adaalah untuk menyanggah pegangan iktiqad ahli kitab yang mempercayai bahawa Nabi Isa a.s. dibunuh dan disalib :
وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَكِنْ شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلا اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا 
                   Maksudnya :
"Dan kerana ucapan mereka: 'Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Maseh Isa putera Maryam, Rasul Allah', pada hal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh) ialah orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu kecuali mengikut persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa, tetapi (yang sebenarnya) Allah telah 'mengangkat' Isa kepadaNya. Dan Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."  
Dalam peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. dibawa bertemu Nabi Isa Alaihisalam pada langit kedua dalam keadaan dirinya yang sebenar bersama jasad dan roh. Pertemuan ini adalah satu hikmah besar kurniaan Allah untuk difahami manusia bagi mengesahkan dengan lebih tahkik lagi bahawa Nabi Isa Alaihisalam belum diwafatkan.  Dengan rahmat mukjizat kurniaan Allah dia diselamatkan daripada kezaliman musuh-musuh yang bertujuan untuk membunuhnya dengan mengangkatnya ke langit dengan cara yang Allah sahaja yang lebih mengetahui; tanpa misal dan tanpa ibarat.

Apa yang berlaku kepada Nabi Isa Alaihisalam adalah di luar tabi'i dan semata-mata dengan Qadrat dan Kehendak Allah yang Qadim. Segala perbuatan Allah yang di luar tabi'i adalah mengatasi logik akal manusia yang tidak mampu sama sekali memikirkan hakikat dan keajaibannya. Allah Yang Maha Berkuasa amat mudah mengadakan sesuatu dengan QadratNya yang Qadim lagi Azali.

Berdasarkan penjelasan ringkas ini dapatlah disimpulkan bahawa kalimah “ALLAH” yang menjadi isu kontroversi sekarang mempunyai pengertian yang amat mendalam dalam konteks pemahaman agama Islam yang tidak sewajarnya dijadikan isu politik semasa yang melibatkan pelbagai pemahaman agama di kalangan manusia. Kalimah ini adalah Kalam Allah yang sebenar dan bukan kalam Malaikat, Nabi-nabi dan Rasul, manusia dan jin. Setiap kalimah Kalam Allah mengandungi ilmu yang sangat luas yang tidak termampu otak manusia memikirkannya tanpa bimbingan Allah sendiri melalui wahyu yang disampaikan kepada Rasul-rasul-NYa. Ia tidak boleh difikirkan sama sekali secara logik yang munasabah pada hukum akal manusia seperti membuat andaian bahawa maksud kalimah "Allah" ini adalah berkonsepkan falsafah di sebalik abjad huruf Arab: ALIFF. LAM. LAM. HA. ( ا. ل. ل. هـ ) atau huruf Roman:  A.L.L.A.H. 
Penganut fahaman agama-agama lain khususnya ahli-ahli gereja yang didokongi oleh paderi-paderi Kristian hendaklah memberikan penelitian yang serius dan mendalam terhadap paparan ini sebelum membuat sesuatu keputusan demi kebaikan bersama untuk menjaga kesejahteraan negara dan keharmonian pelbagai kaum rakyat Malaysia yang mengamalkan pelbagi fahaman agama dan tradisi kebudayaan.

Adalah dijangkakan penjelasan ini terlalu sukar untuk diterima oleh pihak gereja dan penganut Kristian kerana amat bertentangan dengan pegangan pemahaman para pendokong gereja dan lebih satu billion penganutnya di seluruh dunia yang sudah sebati dan kukuh dengan kepercayaan dan pegangan terhadap doktrin "Trinity" sebagai tunggak fahaman"Christianity" sejak sekian lamanya. 

Namun demikian demi mengelakkan sensitiviti pemahaman agama Islam sesetengah golongan orang Melayu adalah dicadangakan agar pihak gereja Kristian Malaysia mengekalkan kalimah sedia ada yang terkandung di dalam versi kitab Terjemahan Bible versi Bahasa Inggeris iaitu kalimah “God” dan “Lord” bagi maksud Tuhan. 

Ataupun adalah lebih menarik dan lebih bersesuaian jika dapat menggunakan kalimah asal yang terkandung di dalam kitab Injil asal yang diwahyukan kepada Nabi Isa Alaihisalam yang ditulis dan dibaca dalam bahasa bani Israel ketika itu. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan adalah dijangkakan isu ini tidak akan berpanjangan hingga boleh menimbulkan ketegangan kerana dieksploitasikan oleh golongan tertentu khususnya ahli-ahli politik bagi tujuan duniawi.

Adalah tidak mungkin bagi orang Melayu yang dilahirkan sebagai orang Islam boleh menjadi Kristian dengan hanya membaca kitab terjemahan Bible versi Bahasa Melayu kecuali mereka tidak pernah diajarkan membaca al-Quran dan kefahaman asas agama Islam. Namun adalah tersangat mudah bagi kebanyakan orang awam Melayu mempercayai dan berpegang kepada pengajaran bahawa kalimah "ALIFF. LAM.LAM. HA. ( ا. ل. ل. هـ )" (Allah ) dan huruf "MIM.HA. MIM. DAL.(.م. ح. م. د )  (Muhamad)" itu berada di dalam badan manusia. Pengajaran yang memberi erti "bertuhankan dan bernabikan huruf dan diri sendiri" ini dikatakan sebagai pencapaian tertinggi Ilmu Tasawwuf yang dinamakan "Ilmu Hakikat" atau "Ilmu Sirr" (Rahsia)

Pengajaran ilmu ini telah tersebar meluas di seluruh negara sejak sekian lamanya menggunakan kitab Jawi Melayu (atau mungkin telah diterbitkan semula dalam edisi baru ) oleh golongan yang mendakwa ahli tareqat tertentu yang dianggap atau diberi gelaran sebagai "Wali Allah", ahli zikir dan ahli sufi kerana memiliki "kekeramatan", "kasyaf" dan berbagai ciri kesufian lagi. 

Persoalan yang masih tertangguh atau "disenyapkan" begitu sahaja tetapi masih terus menjalar ini sewajarnya diberikan jalan penyelesaian ilmu yang mantap agar orang awam terselamat daripada kemungkaran yang amat besar ini. Golongan yang mendakwa sebagai "Ahli Hakikat" ini tidak menghiraukan fatwa rasmi mengharamkan ajaran ini yang diwartakan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri/negara. Bagi mereka segala sanggahan dan apa juga fatwa pihak berkuasa agama Islam dari golongan "orang syariat" tidak boleh diterima dan dianggap sebagai "kulit" sahaja.

Justeru adalah tidak wajar bagi umat Islam negara ini berbalah sesama sendiri khususnya di kalangan pemimpin politik dan ulama menangani isu kalimah "Allah" yang "semudah" dan "sekecil" ini yang dibangkitkan oleh sesetengah golongan penganut Kristian hingga menimbulkan keresahan atau mungkin kemarahan di kalangan golongan orang biasa umat Islam dan juga penganut Kristian. Pegangan iktiqad sesetengah umat Islam yang bertuhankan huruf "ALIFF. LAM. LAM. HA. ( ا. ل. ل. هـ ) " seperti tersebut di atas dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. untuk menyokongnya adalah lebih dahsyat implikasi dan keburukannya kepada orang Melayu beragama Islam.
Adalah lebih bermanfaat sekiranya persoalan pegangan iktiqad keimanan berhubung dengan pemahaman ilmu terhadap Allah Taala dan segala perkara mengenai akidah keimanan yang terkandung dalam Rukun Iman Enam Perkara itu disemak dengan penuh teliti dan dapat dipastikan kesahihan dan kebenarannya tanpa boleh menimbulkan sebarang syak wasangka dan ragu-ragu di kalangan seluruh umat Islam. 

Sebagaimana yang sentiasa diterapkan dengan terperinci kepada masyarakat Islam mengenai ilmu fiqah, ibadat, tajwid pembacaan al-Quran, motivasi dan kesedaran beragama dengan menggunakan berbagai sumber media pada setiap masa, adalah amat diharapkan agar ilmu yang berhubung dengan akidah At-Tawhid dan keimanan pun dapat disampaikan dengan penuh teliti, lebih mendalam dan halus lagi pada setiap masa.

Hakikat ini adalah berdasarkan kepada peringatan demi peringatan di dalam al-Quran dan banyak Hadis Rasulullah s.a.w. bahawa kesilapan dalam pemahaman ilmu terhadap Allah hingga membawa kefahaman mensyirikkan-Nya serta segala hal yang berkaitan dengan akidah keimanan adalah dosa yang teramat besar yang tidak mendapat keampunan Allah. Sekiranya seseorang Muslim itu mati dalam keadaan beriktiqadkan dengan ilmu yang sedemikian rupa boleh menjerumuskannya sebagai murtad dan mati sebagai orang kafir atau munafik.

Allah akan mendatangkan berbagai kesusahan kepada orang mukmin untuk menguji kekuatan keimanan, keluasan dan kemantapan ilmu serta keikhlasan mereka beragama. Apabila berhadapan dengan berbagai masalah dengan orang kafir atau munafik sebagai orang yang beriman kita tidak sewajarnya merasa marah atau berdendam kesumat selagi mereka tidak "memerangi" kita. Mereka adalah tergolong sebagai orang jahil yang menjadi tanggungjawab kita menyampaikan ilmu yang hak kepada mereka. Kita hendaklah menanganinya dengan hikmah dan kesabaran menggunakan ilmu dengan penuh bestari. Mudah-mudahan ada di antara mereka yang ikhlas diberi taufik hidayah ke jalan yang benar. 

Sekiranya tidak berkemampuan berhadapan dengan cabaran ini  tinggalkanlah mereka dengan dunia mereka.  Allah Maha Mengetahui dan janji Allah adalah benar seperti yang diperjelaskan di dalam al-Quran surah سورة الأعراف‎‎ Al-A’raaf ayat 180 yang bermaksud :
وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 
                      Maksudnya :
“Allah mempunyai nama-nama yang sangat indah Asma' Ul Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asma' Ul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam [meneyebut] nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
Di samping itu terdapat juga golongan manusia yuang gemar membicarakan sesuatu ilmu atau perkara yang berkaitan dengan "ALLAH" dan berbantah-bantah mengenainya tanpa bersandarkan ilmu yang hak di dalam kitabullah. Hal ini disebut dalam Firman Allah surah سورة الحج al-Hajj ayat 8-10:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتَابٍ مُنِيرٍ  (8) ثَانِيَ عِطْفِهِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَنُذِيقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَذَابَ الْحَرِيقِ (9) ذَلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ يَدَاكَ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلامٍ لِلْعَبِيدِ (10 
                     Maksudnya :
" Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan "Allah" dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana kitabullah yang menerangi kebenaran.(8)
dengan memalingkan lambungnya untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. Ia mendapat kehinaan di dunia dan pada hari kiamat Kami merasakan kepadanya azab neraka yang membakar. (9)
(Akan dikatakan kepadanya ): 'Yang demikian itu, adalah disebabkan perbuatan yang dikerjakan oleh kedua tangan kamu dahulu dan sesungguhnya Allah bukanlah sesekali penganiaya hamba-hamba-Nya'." (10) 
Sebagai orang yang beriman kepda Allah dan Rasul-Nya peringatan Firman Allah berikut hendaklah sentiasa dijadikan pegangan dan panduan dalam menyampaikan sesuatu perkara mengenai kemuliaan dan kesucian agama Islam kepada mereka yang memerlukannya: 
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ 

                   Maksudnya :
    " Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan mu Dia-lah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk."
                       [Al-Quran  سورة النحل surah An-Nahl : 125 ]    

Pegangan kita adalah seperti Firman Allah yang diperjelaskan dalam surah Al-Kafirun سورة الكافرون‎‎  ayat 1-6 :
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ   (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6
                    Maksudnya :
"Katakanlah : Hai orang-orang kafir!,(1)
 aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. (2)
Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. (3)
Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, (4)
dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. (5 )
Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku." (6)
Maklumat dan hujah-hujah yang dipaparkan di atas mudah-mudahan dapat memberi sedikit idea serta pencerahan dalam usaha ke arah memperkukuh dan memperkasakan akidah keimanan umat Islam negara ini. Amin




**************************************************************
Image result for masjid kampung laut nilam puri kelantan
 Masjid Kampung Laut yang dibina di Kampung Laut,Tumpat, Kelantan sekitar tahun 1800-an. Kini dipindahkan di Nilam Puri setelah dibaik pulih.

 Keadaan  Masjid Kampung Laut di Tumpat sebelum dipindahkan oleh Persatuan Sejarah Malysia ke lokasi sekarang.

         *********************************************************

                          Image result for kitab Bible terjemahan bahasa Melayu


                           Image result for gereja yang menggunakan nama Allah di Indonesia
                                         Gereja Sidang Jemaat Allah di Jakarta

          *********************************************
لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 
                      Maksudnya :
      " Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
                  [Al-Quran surah سورة البقرة al-Baqarah : 256 ] 

                   **************************************
      ذَلِكُم بِأَنَّهُ إِذَا دُعِىَ اللَّهُ وَحْدَهُ كَـفَرْتُمْ وَإِن يُشْرَكْ بِهِ تُؤْمِنُواْ فَالْحُكْمُ للَّهِ الْعَلِـىِّ الْكَبِيرِ
                      Maksudnya : 
" Yang demikian itu adalah kamu apabila diserukan kepada hanya Allah Yang Maha Esa (لا شريك له), kamu ingkar (kafir), dan apabila dipersekutukan [mensyirikkan] dengan-Nya, lalu kamu sekalian mengimani (mempercayai). Maka hukuman itu (sekarang) adalah milik Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Besar."   
             [  Surah سورة المؤمن  Al-Mu'min : 12 ]
                           ************************************
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ  مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
                               Maksudnya 
"Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: 'Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat, ceritakanlah tentang Bani Israil dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya) dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka'.”  
                   





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...