Jumaat, 2 Disember 2011

PENGERTIAN "HAMPIR" ALLAH



                                                                       

       [ Lihat : Allah Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim ]                                                                 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيم        
الحمد رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ  نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

                                       Maksudnya : 

"Dan sesungguhnya Kami telah mengadakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih 'dekat'kepadanya daripada urat lehernya....."

                                       [  Al-Quran سورة ق‎‎  surah Qaf : 16 ]

                          **********************************                         
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ 
                        Maksudnya : 
"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." 
                  [Al-Quran سورة النحل‎‎  surah An-Nahl : 43
                                ********************************
Sungguhpun pengajaran ilmu agama Islam itu adalah jelas dan terang untuk memberi pertunjuk jalan beragama yang benar kepada manusia supaya beriman kepada Allah dan Rasul-Nya seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi terdapat juga nas-nas yang kesamaran maksudnya menyebabkan orang awam kurang memahaminya dan boleh terkeliru mengenainya.

Berbagai implikasi boleh berlaku yang mendorong kepada kekeliruan dan perpecahan/bertentangan pendapat atau menimbulkan berbagai-bagai kefahaman yang boleh merosakkan pegangan akidah keimanan seseorang. Penjelasan yang dipaparkan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. adalah selari dan saling sokong menyokong untuk memperkukuhkan kebenaran agama Islam dan tidak ada baginya keadaan yang berlawanan. 

Namun jika sekiranya terdapat ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. apabila dibaca sepintas lalu pada zahirnya sahaja dan diterjemahkan secara literal mengikut kefahaman luaran bahasa persuratan biasa seolah-olah bertentangan/ berlawanan di antara satu sama lain, maka sewajarnya para ulamak dan cendekiawan Islam bangkit untuk memberikan "takwil" atau penjelasan dan penerangan yang tepat lagi benar agar dapat menangkis segala fitnah keilmuan agama yang berpunca daripada salah faham atau tersalah tafsir daripada nas-nas yang kesamaran maksudnya ["mutasyabiha" ] itu.

Firman Allah dala surah Al-'Imran ayat 7 ada memperingatkan permasalahan ini yang sewajarnya diberikan perhatian serius khususnya di kalangan para ilmuan demi menjaga dan memelihara kesucian agama Islam dan kesejahteraan umat:
هُوَ الَّذِى أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَـبَ مِنْهُ آيَـتٌ مُّحْكَمَـتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَـبِ وَأُخَرُ مُتَشَـبِهَـتٌفَأَمَّا الَّذِينَ فى قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَـبَهَ مِنْهُ ابْتِغَآءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَآءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللَّهُوَالرَسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَـبِ     
                     Maksudnya :
 " Dia-lah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamaat (terang dan tegas), itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat (kesamaran maksud pengertiannya). Adapun orang-orang yang di dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, pada hal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata : 'Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan Kami.' Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orng yang berakal."
Peringatan Allah SWT di dalam ayat tersebut sememangnya sudah berlaku dan terus melanda umat Islam pada setiap zaman atas takdir dan Kehendak Allah sebagai salah satu ujian-Nya kepada mereka yang mengaku sudah beriman. Hanya golongan ulamak yang hak dan mempunyai keilmuan yang luas serta mendalam dan benar-benar ikhlas beramal dengannya sahaja dikurniakan Allah hidayah bagi memperbetulkan fitnah ilmu yang amat sulit ini.

Sekiranya tidak diberikan "takwil" terhadap pengertian sebenar ayat-ayat atau kalimah-kalimah tersebut orang awam terdedah kepada berbagai-bagai pentafsiran dan andaian daripada golongan-golongan tertentu yang akhirnya boleh menyebabkan mereka menjadi keliru dan mempercayai sahaja dan menerima bulat-bulat apa juga huraian yang diberikan walaupun mungkin bertentangan dengan maksud sebenar ayat tersebut mengikut hukum syarak. Orang awam adalah diibaratkan seperti kain putih.  Ataupun diibaratkan seperti tanah subur yang akan menghidupkan apa jua benih tanaman yang disemai di dalamnya. Adalah menjadi tanggungjawab para ulamak untuk mencorakkan apa jua bentuk warna yang bersesuaian atau menyemai benih-benih ilmu yang hak berteraskan keilmuan kurniaan Allah berpandukan al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Golongan ulama-ulama salafi pada zaman tabi'en dan tabi'en-tabi'en tidak memberikan "takwil" mereka secara khusus terhadap ayat-ayat al-Quran dan juga Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang "mutasyabiha" ini kerana mereka cukup memahami kandungan maksud sebenar nas-nas tersebut dan tidak menjadi masalah atau boleh menimbulkan fitnah keilmuan agama yang boleh menggugat kesucian agama Islam dan pegangan iktiqad aqidah keimanan umat Islam pada zaman mereka.

Apabila bangkit golongan-golongan tertentu yang ramai muncul bermula pada kurun ketiga Hijriyyah menggunakan hujah-hujah hukum "akal" atas nama ilmu falsafah yang didokong oleh ulamak golongan Mu'tazilah maka bermulalah tercetusnya berbagai-bagai masalah apabila golongan ini mentafsirkan beberapa ayat al-Quran yang kesamaran maksud ini berpandukan kefahaman Bahasa Arab dan dan logik akal mereka sahaja. Di samping itu mereka juga amat terpengaruh dengan pemikiran ilmu yang dihasilkan oleh ahli-ahli  falsafah Yunani yang semakin tersebar luas di kalangan umat Islam serta kefahaman pemikiran ilmu yang diwarisi sejak zaman berzaman sebelum diturunkan wahyu al-Quran.  


Selepas itu bangkit pula golongan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk memperbetulkan kefahaman ilmu berhubung ayat-ayat al-Quran yang kesamaran maksud ini dengan memberikan "takwil-takwil" ilmiah bepandukan nas-nas yang sahih dan ijtihad ilmu mereka agar fitnah agama yang berkaitan dengannya dapat dikekang dan dibenteras dengan berkesan.

Di dalam al-Quran dan juga Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. terdapat ayat- ayat yang boleh memberikan pengertian yang kesamaran maksudnya ("mutasyabiha") dan memerlukan penjelasan lebih mendalam oleh ulamak-ulamak yang hak lagi benar-benar arif agar orang awam tidak tersalah faham dan berfikiran yang boleh menjejaskan aqidah keimanannya. Antara ayat-ayat al-Quran yang sering dirujuk dan diperkatakan ialah :               
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
                           Maksudnya : 
i." Dan sesungguhnya Kami telah mengadakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih DEKAT kepadanya daripada urat lehernya. [Iaitu] ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri."
                                    [ Al-Quran  سورة ق  surah Qaaf : 16]
 وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا  
              دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
                              Maksudnya :
ii." Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah 'dekat'. Aku makbulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." 
         [ Al-Quran سورة البقرة  surah al-Baqarah : 186 ]
وَلاَ تُفْسِدُواْ فِى الاٌّرْضِ بَعْدَ إِصْلَـحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا 
إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ
                           Maksudnya :
iii." Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdo'alah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya Rahmat Allah amat DEKAT kepada orang-orang yang berbuat baik."
          [Al-Quran surah Al-A'raaf : 56]
 وَمَآ أَمْوَلُكُمْ وَلاَ أَوْلَـدُكُمْ بِالَّتِى تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَى إِلاَّ مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـلِحاًفَأُوْلَـئِكَ لَهُمْ جَزَآءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُواْ وَهُمْ فِى لْغُرُفَـتِ ءَامِنُونَ
                         Maksudnya :
iv."Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang MENDEKATKAN kamu kepada Kami sedikitpun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal salih, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang  telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga.)"
                               [Al-Quran surah Saba' : 37]
 إِلا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
                     Maksudnya :  
v." Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada temannya : 'Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah BERSERTA kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi, Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." 
                                        [Al-Quran surah At-Taubah : 40]
هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الأرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ 
                                  Maksudnya : 
vi." Dialah yang mengadakan langit dan bumi dalam enam hari. Kemudian Dia 'beristiwa' di atas 'Arasy. Dia Mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia BERSAMA  kamu di mana sahaja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."
                                           [Al-Quran surah Al-Hadid : 4]

 Hadis Rasulullah s.a.w. pula ada menyebut yang antara lainnya bermaksud :


 عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَعَنْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ “قاَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنَا عِنْدَ ظَنَّ عَبْدِيْ بِيْ وَأَنَا مَعَهُ حَيْثُ يَذْكُرُنِيْ وَاللهِ لَلهُ اَفْرَحُ بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ يَجِدُ ضَاّلَّتَهُ بِا لْفَلاَةِ. وَمَنْ تَقَرِّبَ إِلَيَّ شِبْرًا، تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعاً وَمَنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ باَعاً وَإِذَا أَقْبَلَ إِلَيَّ يَمْشِيْ أَقْبَلْتُ إِلَيْهِ أُهَرْوِلُ 
             Maksudnya : 
i."Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda:     “ Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman: “ Aku menurut dugaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya ketika ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih suka kepada taubat hamba-Nya dari pada salah seorang di antaramu yang menemukan barangnya yang hilang di padang. Barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaku sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barang siapa yang mendekatkan diri kepadaKu sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepadaKu berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil”.[HR.Muslim]
ii." Dan sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Firman Allah Tabaraka Wataala : Apabila menyebutkan akan Daku oleh hamba-Ku pada dirinya nescaya Aku menyebutnya pada diri-Ku,  dan apabila ia menyebutkan akan Daku pada puak perhimpunan nescaya Aku menyebutkan dia pada puak perhimpunan yang lebih baik daripada puak perhimpunannya. Dan apabila dia menghampiri daripada Aku satu jengkal nescaya Aku hampiri daripadanya satu hasta dan apabila ia menghampiri daripada Aku satu hasta nescaya Aku hampiri daripadanya satu depa. Dan apabila ia berjalan kepada Aku nescaya Aku berlari-lari kepadanya......"
Dalam maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang lain pula ada menyebut :
i. "Allah "turun" setiap malam ke langit dunia tatkala telah tersisa sepertiga malam terakhir, kemudian berfirman : Adakah orang berdo'a, maka Aku akan menkabulkan kepadanya. Adakah orang yang meminta rahmat, maka Aku akan merahmatinya"
ii." Firman Allah Taala kepada Nabi Musa a.s. : Aku sakit maka tidak engkau menziarahi Aku. Maka katanya: Wahai Tuhan bagaimanakah yang demikian itu? Firman-Nya : Sakit hamba-Ku si-polan, maka engkau tidak menziarahinya, jika sekiranya engkau menziarahinya nescaya engkau dapati akan Daku pada 'sisinya'."
Apabila membaca dengan sepintas lalu sahaja terhadap nas-nas tersebut tanpa membuat penilitian maksud sebenar pemahaman ilmu yang terkandung di dalamnya maka akan terbitlah bermacam-macam persepsi, tanggapan, andaian dan persangka buruk di dalam hati dan pemikiran seseorang dengan berbagai-bagai tuduhan yang tidak layak bagi Allah seperti Allah itu berada di dalam urat leher manusia, berjalan, berlari, sakit, berada dan bersemayam seperti seorang raja  di atas Arasy, bergerak turun dan naik pada akhir malam ke langit dunia, berada di dalam gua dan sebagainya yang kesemuanya menuduhkan Allah sama seperti makhluk-makhluk-Nya dengan menyamakan "hampir" atau "dekat" atau "bersama " Allah itu sama seperti hampir atau dekat seperti makhluk yang memerlukan tempat, mempunyai juzuk dan Allah berhajat dan mengambil faedah daripada makhluk dan lain-lain fahaman, andaian dan persepsi lagi yang seumpama dengannya.
Justeru akan timbul persoalan jika ditakdirkan seseorang mukmin itu dimasukkan ke dalam neraka atas kadar kesalahan-kesalahannya adakah Tuhan pun akan masuk neraka juga kerana Allah itu lebih hampir daripada urat lehernya?

Sebagai asas pemahaman nas-nas tersebut hendaklah sentiasa ditanamkan di dalam minda dan hati [qalbu] dengan pemahaman bahawa Allah itu BUKAN makhluk dan TIDAK  sama sekali menyamai makhluk-makhluk-Nya dalam apa jua cara, jalan dan hal keadaan sekalipun dan TIDAK berhajat, mengambil faedah atau memerlukan sekalian makhluk-Nya. 
[Untuk kefahaman yang lebih jelas sila rujuk dan fahami kandungan kitab:  Terjemah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Pada Makna Dua Kalimah Syahdah  yang terkandung di dalam bolg ini].  Di dalam kitab tersebut ada diperjelaskan maksud Al-'Ilmu yang antara lain bererti :
 " ......dan bahawasanya Allah Taala itu Amat Mengetahui akan semua barang yang di bawah ilmu Allah yang tiada terhingga itu dan Mengetahui akan segala apa juga barang yang berlaku daripada bawah tujuh lapis bumi hingga terkeatas daripada tujuh lapis langit.  Dan tidak pun ada barang yang tersembunyi daripada ilmu Allah itu kadar sebiji debu jua pun pada bumi dan pada langit melainkan semuanya itu diketahui oleh-Nya belaka. 
Bahkan Ia Amat Mengetahui perjalanan semut hitam binatang-binatang yang halus di atas batu pejal yang hitam pada waktu malam yang sangat gelap itu, dan Mengetahui gerak tiap-tiap sebiji debu yang berterbangan di udara, dan Ia Amat Mengetahui segala rahsia dan segala barang yang lebih tersembunyi. Allah SWT Amat Mengetahui sebarang apa juga gerak-gerak tujuan dan cadangan-cadangan hati sekalian hamba-Nya, dan segala apa juga barang yang terlintas di hati mereka. Ia Amat Mengetahui segala pati kemahuan-kemahuan hati dari rahsia-rahsia yang disembunyikan oleh mereka. 
Maka diketahui oleh Allah SWT akan yang demikian itu semuanya ialah dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali yang sentiasanyalah Allah itu Mengetahuinya pada Azalul-Azal, dan tidak Ilmu Allah itu berdatang-datang, dan tidak menerimai berbilang-bilang, tidak menerimai berubah-ubah dan berpindah-pindah". 
Di dalam bab "At-Tanzihu" kitab tersebut memperjelaskan  juga bahawa pengertian "hampir" Allah  diertikan sebagai :
"...Maka makna hampir Tuhan itu ialah hampir rahmat dan nikmat-Nya; dan berserta Tuhan itu ialah berserta rahmat pertolongan dan nikmat-Nya. Maka tidak menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk dan tidak menyamai persertaan Tuhan itu dengan persertaan makhluk,..."
[Lihat juga :

Berdasarkan penjelasan ini dapat difahami bahawa maksud "hampir" Allah di peringkat ini ialah Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim lagi Azali  yang meliputi setiap makhluk-Nya daripada yang paling kecil dan seni hinggalah kepada yang paling besar zatnya sama ada yang nyata atau yang tersembunyi/ghaib dari pemandangan mata manusia sama ada terlalu jauh atau terlalu halus kerana semuanya adalah makhluk Allah belaka. Kesemuanya Allah yang mengadakannya daripada semata-mata tiada kepada ada dengan Qadrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 91 memberikan penjelasan :
كَذَلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا
                    Maksudnya :
" demikianlah. Dan sesungguhnya Ilmu Kami meliputi segala apa yang ada padanya."
Setelah memahami pengertian Al-'Ilmu hendaklah dibaca dan fahami pula pengertian ADA Allah, At-Tanzihu dan As-Sama'u Wal Basaru yang terkandung di dalam kitab tersebut yang sangat jelas maksudnya bahawa Allah itu tidak menyamai sama sekali dengan sifat-sifat makhluk yang boleh diringkaskan pengertiannya dengan kata-kata :

"........Allah Taala itu Ianya  Hidup dengan Hayat-Nya yang Qadim, Ia Mengetahui dengan Ilmu-Nya yang Qadim, Ia Berkuasa dengan Qadrat-Nya yang Qadim, Ia Berkehendak dengan dengan Kehendak-Nya yang Qadim, Ia Mendengar dengan Pendengaran-Nya yang Qadim dan Ia Berkata-kata dangan Kalam-Nya yang Qadim....."
Sebagaimana yang telah diperjelaskan berulang-ulang kali di dalam tajuk-tajuk lain di dalam entri-entri lain blog ini, pengertian kalimah Qadim hanya boleh digunakan untuk menerangkan Zat dan Sifat-Sifat Allah sahaja yang membawa maksud "tidak sama sekali menyamai makhluk-makhluk-Nya dalam apa jua jalan, hal dan cara sekalipun tanpa kaifiat, misal, ibarat dan tanpa umpama."

Di dalam Asma' Ul-Husna pula ada terkandung nama Allah yang bersifat: 

Al-'Alim   العليم
                Yang bererti:
"Dan Yang mempunyai Ilmu yang Azali,  Ia dengan tiap-tiap sesuatu Amat Mengetahui." Ia Mengetahui pada Azal akan tiap-tiap sesuatu sama ada yang wajib, yang harus atau yang mustahil atas jalan menghabisi ketahui-Nya di atas barang apa yang ada dengan-Nya dengan tiada mendahului tersembunyi, yakni tiada tersembunyi daripada Ilmu Allah itu walau sekadar sebiji zarrah jua pun melainkan diketahui-Nya belaka dan tidak tersembunyi di atas-Nya daripada segala perkara yang tersembunyi."

AL-MUHAIMIN   المهيم

                      Yang bererti:

"Yang Amat Melihat yang bersangat-sangatan pada Penjagaan dan Pemeliharaan (atau) Mengetahui yakni Yang Amat Mengetahui dan Yang Mempunyai Ilmu yang tidak tersembunyi daripada-Nya kadar walau satu biji debu jua pun."
 AL-SAMI' dan AL-BASIR السميع البصير
                  Yang bererti:
"Yang Amat Mendengar lagi Yang Amat Melihat pada Azal, bagi semua yang ada, bukan dengan pancaindera dan bukan dengan alat kerana Maha Suci Allah Taala itu dari menyamai segala barang yang baharu. Maka tiada terselindung dari penglihatan-Nya itu sebarang apa yang dilintaskan oleh hati dan sebarang apa yang disembunyikan oleh sangkaan dan pemikiran, dan tiada terselindung dari pendengaran-Nya oleh perjalanan semut hitam pada malam yang gelap di atas batu pejal yang hitam. “Tidak seperti seumpamanya, suatu apa pun dan Ia Amat Mendengar lagi Amat Melihat.”
Maksud yang hampir sama juga terkandung di dalam kandungan Do'a Nabi Allah Hidzir Alaihisalam yang bererti :
"Ya Allah! , sebagaimana Engkau Amat Mengasihani kepada kebesaran Engkau tanpa ada bandingannya kasih sayang Engkau dan Engkau mengatasi dengan kebesaran Engkau ke atas kebesaran ( makhluk ) Engkau dan Engkau Amat Mengetahui barang apa yang di bawah bumi Engkau sebagaimana Engkau Amat Mengetahui dengan barang apa di atas 'Arasy Engkau, dan segala waswas dalam dada adalah seperti terdedah di sisi Engkau dan apa yang terdedah daripada kata-kata tidak tersembunyi pada Ilmu Engkau dan patuh setiap sesuatu kepada kebesaran Engkau dan tunduk setiap yang mempunyai kuasa kepada kekuasaan Engkau dan jadilah perkara dunia dan akhirat semuanya dalam kekuasaan Engkau, maka jadikanlah bagi ku daripada setiap dukacita yang aku berpetang-petang di dalamnya kelepasan".
Sebahagian daripada kandungan Do'a Khalifah Abu Bakr As-Siddiq berikut ketika menghampiri saat kewafatannya juga memberikan pengertian bahawa sungguhpun Allah mengadakan makhluk-makhluk-Nya tetapi Dia tidak berhajat atau mengambil apa-apa faedah sama sekali daripada setiap makhluk-Nya: 
اللَّهُمَّ اِنَّكَ اِبْتَدَأْتَ الْخَلْقَ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ بِكَ اِلَيْهِمْ ثُمَّ جَعَلْتَهُمْ فَرِيْقَيْنِ فَرِيْقًا لِلنَّعِيمِ وَفَرِيْقًا لِلسَّعِيرِ فَاجْعَلْنِي لِلنَّعِيْمِ وَلَا تَجْعَلْنِي لِلسَّعِيْرِ.
                      Yang bermaksud:  
"Ya Allah!, bahawasanya Engkau telah mengadakan permulaan makhluk daripada ketiadaan apa-apa hajat dengan Engkau kepada mereka itu, kemudian Engkau jadikan mereka itu dua puak, satu puak untuk syurga dan satu puak untuk neraka. Maka,  Engkau jadikanlah daku untuk syurga dan jangan Engkau jadikan daku untuk api neraka." 
Penjelasan ini dapat memberi kefahaman bahawa maksud  "hampir" atau "dekat" Allah Taala itu "lebih dekat daripada urat leher" adalah hampir Ilmu Allah dan bukan bermaksud hampir Zat atau Diri Allah seperti zat makhluk sesama makhluk.  Sekiranya difahami lalu  dituduhkan bahawa maksud "hampir" Allah dengan makhluk-Nya itu ialah hampir Zat atau Diri Allah, maka kalimah-kalimah ini bermaksud Zat atau Diri Allah itu berjuzuk dan memerlukan TEMPAT, sedangkan Zat Allah yang Qadim itu TIDAK berjuzuk dan tidak memerlukan atau berhajatkan kepada adanya TEMPAT sama seperti yang melazimkan kepada semua zat makhluk yang kesemuanya berjuzuk belaka.

Sebagaimana yang dijelaskan di dalam tajuk: "Masa dan Tempat  Makhluk Allah yang terkandung di dalam entri blog ini, Masa dan Tempat adalah makhluk Allah juga yang diadakan daripada semata-mata TIADA kepada ADA dengan tiada berasal daripada apa-apa jua pun. Maksud TEMPAT  di dalam konteks Ilmu At-Tawhid adalah merujuk kepada semua tempat yang dapat difikirkan oleh otak pemikiran dan yang terlintas di hati manusia seperti
"...ruang, kosong, di atas, di bawah, di dalam, di luar, kiri, kanan, atas arasy, di dalam arasy, di syurga , di neraka, di mana-mana. pihak, di atas di bawah,  di dalam/di luar tujuh lapisan langit dan bumi di dalam diri makhluk manusia, atau bersatu-padu dan apa juga yang dapat diertikan sebagai TEMPAT.
Kesemua TEMPAT ini adalah makhluk Allah belaka yang diadakan Allah dengan Qadrat-Nya yang Qadim berbetulan dengan Ilmu dan Kehendak-Nya yang Qadim lagi Azali tanpa misal, umpama, tanpa kaifiat dan tanpa ibarat.
Adapun maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut sesiapa yang menghampiri Allah satu jengkal, maka Allah akan menghampirinya satu hasta dan seterusnaya siapa yang "berjalan" kepada Allah nescaya Allah akan "berlari-lari" kepadanya itu adalah untuk memberi kefahaman contoh kiasan bahawa Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih itu segera menerima/ makbulkan do'a dan amalan ibadat yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya dengan penuh ikhlas. 

Demikian juga jika seseorang itu mentaati Allah dengan melakukan ibadat kepada Allah bererti dia sangat "hampir" kepada "RAHMAT ALLAH".  Orang yang ingkar dan berbuat maksiat kepada Allah bererti dia "jauh" daripada mendapat "RAHMAT ALLAH". Sebagimana yang dimaksudkan di dalam kalimah 'AL-WADUD' di dalam Asma' Ullah al-Husna  Allah Taala Yang Maha Pemurah sangat kasihkan hamba-hamba-Nya yang taat dan berbuat ibadat kepada-Nya dengan melimpahkan Nikmat-Nya. Dengan sedikit sahaja melakukan ibadat Allah segera menerimanya dan diberi balasan pahala yang berlipat-lipat kali ganda banyaknya seperti yang dijanjikan. Inilah yang dimaksudkan dengan kalimah:

"..apabila hamba-Nya menghampiri-Nya satu jengkal maka Allah menghampirinya satu hasta...." 
Hal keadaan yang sama juga merujuk kepada Hadis Rasulullah s.a.w.yang mengatakan :
"Allah 'turun' ke langit dunia pada stiap akhir malam" untuk melimpahkan Rahmat-Nya kepada orang-orang mukmin yang memohon ampun dan berdo'a kepada-Nya." 
Hadis ini tidaklah  bermaksud Allah itu bertempat di atas langit atau di dalam dan bercampur dengan 'Arasy dan bergerak turun naik ke langit dunia seperti makhluk pada setiap akhir malam tetapi diertikan sebagai Malaikat Rahmat yang dimuliakan Allah diperintahkan untuk menyampaikan Rahmat-rahmat-Nya kepada orang-orang mukmin salih yang memenuhi akhir malam melakukan ibadat kepada-Nya dengan penuh ikhlas. Perlu difahami bahawa sifat bergerak dan diam adalah sifat makhluk yang dijadikan Allah untuk makhluk-makhluk-Nya dan dan bukanlah sifat Allah yang Qadim. 


Demikian juga dengan maksud nas yang mengatakan "menziarahi Aku sakit..." bukanlah bermaksud Allah yang sakit tetapi orang mukmin salih yang sedang sakit dan yang berada "di sisinya" bukanlah Allah tetapi bermaksud sesiapa yang menziarahinya akan mendapat Rahmat Allah. Perlu difahami bahwa Allah Amat Mengasihi sekalian hamba-Nya yang mukmin beramal salih dan Allah juga melimpahkan Rahmat-Nya yang tidak terhingga kepada orang mukmin yang berkasih sayang sesama mukmin semata-mata ikhlas kerana agama dan Allah.

Allah juga menjanjikan balasan tempat yang paling istimewa di syurga kepada mereka yang berkasih sayang kerana agama. Demikianlah betapa mulianya seseorang hamba Allah mukmin/mukminat yang salih di sisi Allah hinggakan Nabi Allah pun disuruh menziarahi orang mukmin/mukminat yang sakit kerana sangat besar Rahmat Allah terhadapnya.

Hadis Rasulullah s.a.w. ada memperjelaskan bahawa apabila seorang mukmin yang salih itu berbuat ibadat dengan penuh sempurna mengikut kaifiat peraturan hukum yang ditetapkan syarak dan benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah, maka Allah akan memerintahkan 160 orang Malaikat Rahmat untuk melindungi dan mendo'akan kesejahteraannya daripada gangguan-gangguan syiatan yang sentiasa berusaha merosak dan membinasakan anak-anak Adam (manusia) dengan menjerumuskan mereka ke jalan kesesatan beragama dan menjadi kafir agar menerima hukuman seksa Allah yang berkekalan di dalam api neraka bersama-sama syiatan iblis laknatullah.

Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang memperjelaskan betapa para malaikat mendo'akan orang-orang mukmin yang salih seperti yang terkandung pada surah Al-Mu'min ayat 7 :
الَّذِينَ يَحۡمِلُونَ الۡعَرۡشَ وَمَنۡ حَوۡلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَيُؤۡمِنُونَ بِهِ وَيَسۡتَغۡفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعۡتَ كُلَّ شَيۡءٍ رَّحۡمَةً وَعِلۡمًا فَاغۡفِرۡ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمۡ عَذَابَ الۡجَحِيمِ  
            Maksudnya :
"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya  dan mereka beriman kepada-Nya serta meminta keampunan bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): 'Ya Tuhan kami, Rahmat dan Ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala'."
                                      [Al-Quran surah Mu'min  : 7 ]
         
Setelah memahami kesemua penjelasan ini mudah-mudahan para pembaca dapat mengetahui bahawa maksud dan 'takwil' kefahaman ilmu mengenai pengertian "hampir" Allah di sini ialah hampir "Rahmat" dan "Pertolongan" Allah terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya dan bukan hampir Zat atau Diri-Nya. Hal ini ada ditegaskan di dalam pegangan iktiqad Ahli Sunnah wal Jamaah seperti yang terkandungan di dalam Terjemah Aqidah Ahli Sunnah wal Jemaah Pada Makna Syahdat At-Tawhid :
"Maka sebelum ada masa, sebelum ada tempat, sebelum ada lapang, sebelum ada cahaya, sebelum ada warna, sebelum ada rupa, sebelum ada huruf, sebelum ada suara, sebelum ada sukatan, bilangan, ukuran, gerak, diam, sunyi, senyap dan sebelum ada arasy, qursi, syurga, neraka, tujuh lapis langit dan bumi dan segala isinya, sebelum ada apa-apa benda pun barang yang diadakan oleh Allah SWT itu adalah Allah SWT itu Tuhan kita Jalla Wa'azza itu ia-Nya ADA sebagaimana Dia ADA itu juga, yang sentiasa ADA, selama-lamanya ADA, mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan.Makna hampir Tuhan itu ialah hampir Rahmat dan Nikmat-Nya, dan makna berserta Tuhan itu ialah berserta Rahmat pertolongan-Nya dan Nikmat-Nya, maka tidak menyamai hampir Tuhan itu dengan hampir makhluk dan tidak menyamai persertaan Tuhan itu dengan persertaan makhluk yang sebagaimana juga Zat Tuhan itu tidak menyamai zat makhluk...
Tuhan itu tidak menerimai perubahan, tidak menerimai perpindahan dan Zat Tuhan itu  tidak menyamai dengan segala zat yang baharu dan segala zat yang baru itu tidak menyamai dengan Zat Tuhan dan Zat Tuhan itu tidak masuk bersatu-padu pada zat-zat yang baru dan tidak zat-zat yang baru itu masuk bersatu-padu pada Zat Tuhan. Bahkan sentiasalah Allah SWT Tuhan kita Aza Wajalla itu  dengan kemuliaan dan kesempurnaan-Nya yang tidak sekali-kali menyamai sesuatu daripada segala makhluk-Nya dan tidak sekali-kali menerimai berlebih dan berkurang kemuliaan Allah SWT itu."
 Maksud "beristiwa' di atas 'Arasy (عَرْش) pula diperjeleskan bahawa :
"..Tuhan itu tidak di atas sesuatu, tidak di bawah sesuatu dan mafhum makna bahawa "Tuhan itu atas Arasy (عَرْش)" ialah dengan makna bahawa Tuhan itu memerintah dan memiliki 'Arasy dan bukan makna atas itu pihak dan tempat.Sesungguhnya Tuhan itu tidak sekali-kali menerimai pihak dan tempat dan Tuhan itu tidak di luar tujuh lapis langit dan bumi, tidak di dalamnya, tidak meliputinya dan tidak bercampur dengannya."
Penjelasan dan pegangan iktiqad ini bertepatan dengan sifat-sifat Allah yang terkandung di dalam Asma' Ullah al-Husna :
      "AR-RAHMAN الرحمن yang bererti:  
Yang Maha Pemurah dengan apa Ia tutupi segala dosa dalam  dunia. 
        AR-RAHIM الرحيم yang bererti: 
Yang Maha Pengasih dengan apa Ia ampuni dosa-dosa di negeri akhirat."
Firman Allah di salam al-Quran  surah Asy-Syuura ayat 11 sewajarnya dijadikan panduan untuk memahami pengertian 'Syai' atau 'sesuatu' yang membawa maksud bahawa Allah itu "tiada menyamai 'sesuatu' dalam apa jua hal, jalan dan cara sekalipun termasuk pengertian "hampir' Allah yang tidak menyamai sama sekali seperti 'hampir' makhluk-Nya tanpa misal, umpama dan tanpa ibarat:
 فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الأنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْـلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ                   
                       Maksudnya : 
" (Dia) yang mengadakan langit dan bumi. Dia menjadikan kamu sendiri berpasang-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Allah SWT itu tiada seperti seumpama 'SESUATU' apa pun dan Ia Amat Mendengar lagi Amat Melihat." 
Mudah-mudahan hujah-hujah dan penjelasan yang dipaparkan ini tidak menimbulkan sebarang kekeliruan serta dapat memberi kekuatan ilmu di samping membantu sesiapa juga yang memerlukan khususnya apabila mereka berhadapan dengan orang yang beriktiqad menyatukan Zat Allah dengan zat makhluk dengan bermacam-macam alasan yang bertentangan dengan pegangan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hak.

Ilmu dan persoalan berkaitan mengenali Allah dan yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam (6) perkara adalah tunjang dan teras utama kepada segala pokok ilmu yang amat sukar difahami manusia dan menjadi punca utama yang menjerumuskan seseorang itu menjadi kafir/munafik dan menentang kebenaran beragama. Dalam permasalahan ini jugalah yang menjadi sasaran utama syaitan menyesatkan manusia agar manusia menjadi kufur dengan menyekutukan Allah. Sesungguhnya sebesar-besar bala kelaknatan Allah yang diturunkan terhadap hamba-hamba-Nya ialah hidup dan mati dalam kekafiran dan kemunafikan beragama. Wallahu 'alam.



********************************************
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ 
                     Maksudnya:
"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)." 
                  [Al-Quran surah Al-An' aam : 116 ]
                                 **********************************************
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِنْ تَسْأَلُوا عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللَّهُ عَنْهَا وَاللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ 
                        Maksudnya : 
" Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu dan jika menanyakannya di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun." 
                           [Al-Quran surah Al-Maaidah : 101 ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ALLAH 'ISTIWA' DI ATAS AL 'ARASY الْعَرْشِ ?

  Sambugan daripada : UNTUKMU AGAMAMU, DAN UNTUK AKULAH AGAMAKU                      بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم    ال...